Sharing is caring

Download PDF

(Naratif Nusantara Siri 70)
MENYEDIAKAN RAKYAT MALAYSIA MEMASUKI ERA BERAKHIRNYA KEBENARAN
Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Pada tahun 2016, Kamus Oxford telah mengangkat istilah Post-Truth atau Pasca-Kebenaran sebagai istilah bagi tahun tersebut berdasarkan dua peristiwa penting yang dipacu oleh fenomena Pasca-Kebenaran iaitu pemilihan Presiden Donald Trump di USA dan Brexit atau pemilihan rakyat UK untuk keluar dari Kesatuan Eropah. Fenomena Pasca-Kebenaran Trump dan Brexit yang kemudiannya tersebar ke negara-negara Eropah, Amerika Latin dan Asia menandakan ideologi dunia global hari ini dipaksikan oleh pemalsuan Kebenaran dan Fakta, penafian Objektiviti dan Rasionaliti, dan akhirnya pemusnahan Hakikat dan Makna. Di negara kita Malaysia, fenomena Pasca-Kebenaran ini juga tidak terkecuali wujud dan sedang berleluasa terutamanya sebelum dan juga selepas PRU14 yang lalu. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan Malaysia kini juga telah memasuki Era Pasca-Kebenaran melihatkan kepada kehidupan rakyatnya yang berada dalam limbo ketidaktentuan dan ketidakpastian kebenaran politik, ekonomi dan sosial yang sedang mereka alami ketika ini!

Sebagai sebuah negara yang masyarakatnya rata-rata masih kuat mengamalkan agama masing-masing, mungkin terdapat sebilangan yang memandang remeh dan enteng tentang cabaran, serangan dan bahaya yang bakal menimpa rakyat Malaysia di Era Berakhirnya Kebenaran ini. Tetapi sangkaan simplistik dan naif ini, ternyata meleset jika mereka mengetahui betapa fenomena Pasca-Kebenaran ini telah meresapi segenap dimensi kehidupan manusia global bukan sahaja dalam dimensi politik, ekonomi dan sosial, malah lebih memeranjatkan dalam bidang sains dan lebih berbahaya dalam bidang agama! Satu demi satu ruang-ruang kehidupan manusia mula dimasuki dan diresapi dengan faham peminggiran dan perlekehan terhadap kebenaran bermula dari kebenaran mudah sehingga kebenaran mutlak dalam kehidupan. Justeru jika kita rakyat Malaysia tidak berwaspada dari dari sekarang lambat-laun dan lama-kelamaan rakyat Malaysia juga akan terjerumus ke lubang biawak Pasca-Kebenaran sama ada mereka sedar atau tidak, sama ada mereka ingin atau tidak.

Apakah contoh-contoh fenomena Pasca-Kebenaran atau Era Berakhirnya Kebenaran yang sedang melanda rakyat Malaysia untuk kita fahami tentang kewujudannya di negara kita sekarang ini? Dalam amalan politik, sering disebut “politik adalah sekadar persepsi”; “dalam politik tiada musuh sejati”; pemisahan antara kepimpinan dengan kebenaran dan prinsip-prinsip akhlak; dan kecenderungan bersahaja atau disengajakan dalam pemalsuan fakta. Dalam dunia ekonomi, berleluasanya manipulasi dan eksploitasi industri dan syarikat terhadap pelanggan dan alam sekitar; pemalsuan maklumat pengiklanan dan pemasaran; dan penggalakkan budaya kepenggunaan palsu yang jauh melebihi keperluan asas melalui penjenamaan dan pembungkusan. Dalam bidang sosial, penularan fitnah berita palsu atau “fake news” ketahap yang sangat melampau; penguasaan syarikat-syarikat media berideologi dalam mencorakkan pemikiran masyarakat supaya menerima ideologi mereka; dan kemunculan kumpulan-kumpulan melampau kiri dan kanan yang agresif dalam menyampaikan propaganda mereka.

Lebih memeranjatkan lagi dalam bidang sains yang selama ini dianggap sebagai paling rasional dan objektif juga tidak ketinggalan diserap oleh gejala-gejala Pasca-Kebenaran. Munculnya kelompok yang menafikan kewujudan pemanasan global dan kemusnahan alam sekitar, kelompok yang mempercayai bumi ini leper lagi rata, kelompok yang menolak keupayaan sistem perubatan semasa adalah sebahagian dari contoh-contoh nyata sains juga telah memasuki Era Berakhirnya Kebenaran. Meskipun kelompok-kelompok ini memiliki penghujahan masing-masing terhadap sikap dan pendapat mereka tetapi secara umumya peningkatan pendirian anti-sains, anti-rasional, anti-objektif yang dilatari oleh pemikiran Pasca-Kebenaran ini lama kelamaan akan menghilangkan langsung kepercayaan manusia atas kebenaran sains itu sendiri.

Bagaimanapun serangan Era Berakhirnya Kebenaran ini paling berbahaya bila ia mula meresap dalam dimensi agama tidak kira mana-mana agama sekalipun. Bagi kita umat Islam di Malaysia sebagai penganut agama majoriti tentu tidak boleh membiarkan agama kita diresapi oleh fenomena Pasca-Kebenaran ini yang akan memusnahkan kebenaran mutlak yang kita pegang. Cakap-cakap “semua agama itu sama”, “tiada kebenaran yang hakiki”, “Tuhan adalah sekadar cetusan, ciptaan dan konstruksi minda dan masyarakat” dan seumpamanya adalah simptom-simptom keracunan Pasca-Kebenaran yang sudah menular dalam kehidupan beragama kita. Begitu juga desakan-desakan supaya sebahagian dari kefahaman dan penghayatan agama ini diubah tidak lain dari akibat keracunan bahawa tidak ada fakta/objektiviti dalam beragama melainkan tafsiran minda manusia semata-mata seperti yang diungkapkan oleh Nietzche lama dahulu “no facts only interpretation”.

Dengan menularnya Era Berakhirnya Kebenaran ini dalam segenap dimensi politik, ekonomi, sosial, sains dan agama yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat bernegara seperti Malaysia ini, apakah rakyat Malaysia telah bersedia untuk mendepani dan melaluinya? Atau apakah kita rakyat Malaysia yang meskipun amalan beragama jelas terserlah bagi rakyatnya akan turut hanyut dan tenggelam dalam Era Pasca-Kebenaran global ini? Para pemimpin politik, ekonomi, sosial, sains dan agama di Malaysia harus menyedari jika mereka tidak berbuat sesuatu dalam menyediakan rakyat Malaysia bagi menghadapi cabaran, serangan dan pengaruh fenomena Pasca-Kebenaran ini, negara kita akan berada di ambang kemusnahan kebenaran. Kebenaran yang lazimnya didatangkan dengan rasionaliti, objektiviti dan logika berfikir akan digantikan dengan Pasca-Kebenaran yang dikuasai oleh emosi, subjektiviti dan falasi berfikir.

Sepertimana yang sedang berlaku di USA dengan Trump dan di UK dengan Brexit, rakyat yang dipacu oleh sentimen, emosi, persepsi, subjektiviti dan falasi akan terus hidup dalam limbo ketidaktentuan dan ketidakpastian tentang hala-tuju serta arah-matlamat kehidupan mereka. Mereka akan sekadar bergantung kepada pemimpin politik, ekonomi, sosial, sains dan agama untuk mengatur masadepan mereka sama ada ke arah kebaikan atau keburukkan yang tidak boleh diduga oleh mereka sendiri. Sebaliknya rakyat sesebuah negara yang hidup dalam kebenaran yang tentu lagi pasti hasil dari rasionaliti, logika dan objektiviti yang mereka fahami dan hayati akan sentiasa menghadapi cabaran nasional dengan tenang meskipun jalannya sukar dan berliku-liku. Tentu sekali dalam konteks negara beragama seperti Malaysia ini, Era Berakhirnya Kebenaran ini perlu kita depani dan lalui dengan benteng rasionaliti, logika dan objektiviti sekiranya kita benar-benar yakin dengan keupayaan Agama Islam itu dalam mengithbat atau mengesahkan atau menetapkan Kebenaran-Kebenaran dalam kehidupan ini. Atau jika tidak kita akan turut sama menjadi agen-agen pemusnah dan penghancur Kebenaran-Kebenaran akibat kealpaan dan kejahilan kita terhadap perkembangan pemikiran global semasa yang sedang meracuni umat manusia ketika ini.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 70)

Download PDF

Sharing is caring

Comments

comments