Sharing is caring

Download PDF

(Naratif Nusantara Siri 67)
MANIFESTO TENTANG KEBENARAN DAN KEWUJUDAN BAGI RAKYAT MALAYSIA
Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Kita sedang mengalami krisis politik, krisis ekonomi dan krisis sosial yang tidak mungkin untuk diselesaikan dalam tempoh terdekat ini. Sebenarnya tiada manifesto politik, ekonomi dan sosial yang boleh menjanjikan apa-apa bagi mengeluarkan kita dari krisis-krisis nasional ini apatah lagi untuk menunaikan janji-janji tersebut. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada tokoh-tokoh harapan demokrasi liberal yang disebut-sebut boleh memberi sinar baru kepada dunia seperti Presiden Emmanuel Macron Perancis dan Perdana Menteri Justin Trudeau Canada atau keadaan yang sedang menimpa negara-negara pelopor demokrasi liberal seperti AS dibawah Presiden Donald Trump dan UK dibawah Perdana Menteri Theresa May. Krisis politik, ekonomi dan sosial yang sedang kita lalui ketika ini berada luar dari keupayaan idea, mekanisme dan institusi demokrasi liberal untuk mengatasinya sekiranya kita masih belum berani menyebut bahawa demokrasi liberal sudah menemui jalan buntu!

Jika kita membaca dan meneliti falsafah dan pemikiran Manifesto Brenton Tarrant bertajuk “The Great Replacement” yang telah mengorbankan 50 nyawa tidak berdosa umat Islam di New Zealand baru-baru ini, beliau bukan sahaja secara jelas, terbuka malah berbangga untuk membunuh umat Islam tetapi juga beliau mengesahkan sikap anti-demokrasi, anti-liberalisme, anti-kapitalisme dan anti-hedonisme yang membina dan mewarnai pemikiran dan peradaban Eropah dan Barat selama ini. Manifesto Ketuanan Kulit Putih Brenton Tarrant yang mengkambing-hitamkan Islam dan umatnya adalah sekadar simptom psikologi Nihilisme (kehampaan kehidupan) seperti yang dibicarakan oleh Nietzsche terhadap kehilangan nilai KEBENARAN dan KEWUJUDAN masyarakat Eropah dan Barat setelah mereka membunuh Tuhan! Kepalsuan Manifesto kehidupan moden dari Era Pencerahan Abad ke 18 dengan janji-janji kemajuan, keamanan dan keadilan sejagat telah meninggalkan trauma yang tidak kepalang bagi masyarakat Eropah dan Barat.

Kini meskipun kehidupan moden masih belum berakhir, secara umumnya masyarakat dunia sedang melalui zietgeist atau semangat zaman Pascamoden sebagai reaksi dari penolakan terhadap Modeniti yang bermula dengan pengamatan Nietzsche tersebut. Misalnya dalam dunia sains tersebar gejala anti-rasionaliti yang menolak keupayaan akal-rasional dan eksperimen sains sebagai salah satu dari bukti kebenaran seperti kepercayaan kepada teori bumi-leper, ketidakwujudan pemanasan global dan perubahan iklim juga penentangan terhadap perubatan moden. Begitu juga dalam politik, berleluasanya pemikiran pasca-kebenaran, pemalsuan data, fakta dan berita yang diubahsuai menjadi kebenaran dan juga kehilangan prinsip etika, moral dan akhlak politik. Malah dalam agama itu sendiri semakin berkembang fenomena relativisme atau kenisbian nilai-nilai kebenaran agama dikalangan penganut agama disamping semakin subur gejala-gejala atheisme, skepticisme dan sinisme terhadap hal-hal keagamaan.
Selain dari Pascamodenisme dalam sains, politik dan agama, kehidupan sosial masyarakat juga tidak terlepas dari gejala-gejala Pascamoden. Lihat sahajalah fenomena TV Realiti yang menonjolkan realiti-realiti “mee segera” yang dinamakan sebagai Hyperealiti menjadikan seseorang lebih “real” dari diri mereka yang sebenar! Hyperrealiti ialah “realiti palsu” yang diciptakan melalui simulasi realiti sedia ada kepada realiti baru. Begitu juga dengan fenomena ekonomi yang disebut sebagai Kapitalis Pengguna terbit dari mobilisasi golongan Kapitalis kepada ketagihan membeli-belah dan penyebaran sikap berhutang bagi menampung ketagihan terhadap benda, jenama, gajet dan peralatan-peralatan ciptaan Kapitalisme Pascamoden. Dengan tersebarluasnya faham dan amalan Pascamodenisme dalam dunia sains, politik, agama, sosial dan ekonomi dan budaya popular, maka Pascamodenisme lebih berjaya dan berkesan pada mempengaruhi kehidupan manusia berbanding dengan Modenisme dan ideologi-ideologi sebelum ini.

Secara umumnya rakyat Malaysia termasuk golongan berpendidikan malah golongan agamawan sekalipun tidak dapat lagi mengenalpasti bahaya dan bencana yang bakal menimpa dari Pascamodenisme ini. Terdapat juga yang memperlekehkan Pascamodenisme ini atau menganggap ini bukan hal yang penting dan tidak mengganggu-gugat pemikiran dan kehidupan mereka. Sebenarnya golongan ini tidak menyedari bahawa Pascamodenisme telah lama meresapi pemikiran dan kehidupan Rakyat Malaysia melalui kemerosotan kefahaman tentang Naratif Raya Kehidupan, berleluasanya pengaruh sosial media sebagai sumber maklumat, bersemaraknya rancangan TV Realiti, kegilaan membeli-belah dan pengecilan ruang dan hubungan geografi melalaui teknologi perhubungan yang kesemua ini disebut sebagai Keadaan Pascamoden (Postmodern Conditions). Ketidakpekaan terhadap Keadaan Pascamodenisme akan lebih memudahkan faham dan amalan Pascamodenisme meresapi ke dalam darah-daging Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Pascamodenisme mengeluarkan malah melenyapkan dua bentuk nilai utama dalam kehidupan manusia iaitu KEBENARAN dan KEWUJUDAN. Inilah initipati Nihilisme (kehampaan kehidupan) Nietzsche yang sedang disebar-luaskan oleh Pascamodenisme dalam kehidupan Rakyat Malaysia dalam dimensi politik, ekonomi dan sosial sama ada kita sedar atau tidak. Krisis politik, krisis ekonomi dan krisis sosial Malaysia tidak boleh dipisahkan dari KRISIS KEBENARAN dan KRISIS KEWUJUDAN Rakyat Malaysia itu sendiri. Dalam terminologi Falsafah, Rakyat Malaysia memilih anti-rasionaliti dari rasionaliti dalam menilai KEBENARAN manakala dalam menilai KEWUJUDAN Rakyat Malaysia memilih anti-realisme dari realisme. Rakyat Malaysia kini tidak mengetahu secara sebenarnya keadaan politik, ekonomi dan sosial mereka. Majoriti Rakyat Malaysia kabur dan keliru tentang kedudukan sebenar politik, ekonomi dan sosial Tanahair mereka!

Krisis politik, krisis ekonomi dan krisis sosial yang sedang kita alami hari ini dalam banyak hal berkembang akibat dari sikap anti-rasionaliti dan anti-realisme dikalangan ahli-ahli politik dan sebahagian dari para pemimpin Kerajaan ketika ini. Para pemimpin dan ahli-ahli politik lebih banyak bersikap menafikan, menyembunyi malah mengelirukan Rakyat Malaysia dari KEBENARAN yang sepatutnya dikemukakan dari data, fakta dan berita yang mereka miliki. Para pemimpin dan ahli-ahli politik menjadi anti-rasional malah juga tidak rasional bila lebih gemar bermain emosi dan sentimen dalam perhubungan mereka dengan Rakyat. Terdapat dikalangan para pemimpin dan ahli-ahli politik hari ini lebih beriya-iya untuk menukar data, fakta dan hakikat tentang KEWUJUDAN Negara Malaysia dengan bersikap anti-realis mengangan-angan dan memaksakan hal-hal yang bukan menjadi sebahagian dari identiti atau jatidiri KEWUJUDAN Negara Malaysia selama ini.

Untuk kita keluar dari kemelut krisis politik, krisis ekonomi dan krisis sosial ini, mengapa tidak sahaja para pemimpin dan ahli-ahli politik kita menjadi lebih rasional dan realis menzahirkan sifat dan sikap yang sebenarnya terhadap KEBENARAN dan KEWUJUDAN yang sepatutnya sesuai dengan konteks latarbelakang geografi, demografi, identiti dan tradisi Rakyat Malaysia yang sedia ada selama ini? Manifesto tentang KEBENARAN yang rasional dan KEWUJUDAN yang realis inilah yang sedang didambakan oleh Rakyat Malaysia dari para pemimpin dan ahli-ahli politik mereka. Selagi Manifesto KEBENARAN dan KEWUJUDAN yang hakiki ini tidak mampu diungkapkan, selagi itu Rakyat Malaysia berada dalam keraguan, kekaburan dan kekeliruan malah mungkin mengalami Nihilisme (kehampaan kehidupan) anjuran Nietzsche!

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 67)

Download PDF

Sharing is caring

Comments

comments