Sharing is caring

Download PDF

(Naratif Nusantara Siri 65)

TRUMP, BREXIT DAN PH: KEBENARAN BAGI POLITIK PASCAMODEN

Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

 

Sedar atau tidak sedar, kita semua kini hidup di zaman Pascamoden dimana relativiti (kenisbian) mengambilalih rasionaliti (kewarasan) dalam setiap perkiraan dan penilaian kehidupan. Sejak Nietzsche mengisytiharkan “Tuhan telah mati” dan “Kitalah yang telah membunuh Tuhan”, peradaban Barat semasa mula menolak wujudnya rujukan kebenaran yang mutlak iaitu Tuhan dan pasrah menerima hakikat tiada lagi kebenaran dan kewujudan yang hakiki dalam kehidupan ini. Pemikiran falsafah Nihilisme (kekosongan/kehampaan hidup dari nilai dan makna) cetusan Nietzsche ini kemudian menyebar dan meresap masuk dalam penghayatan kehidupan manusia Barat dan Timur dalam bentuk budaya popular dan juga amalan berpolitik. Ketika ini Donald Trump di USA dikatakan sebagai manifestasi Presiden Pascamoden dengan ungkapan popular “Fake News” beliau manakala Theresa May di UK digelar sebagai Perdana Menteri Pascamoden dengan ungkapan popular “Brexit is Brexit”!

Rakyat USA dan UK kini dalam kekeliruan, kebingungan dan kemarahan tentang apa yang berlaku dengan kerajaan masing-masing kerana setelah dua tahun berlalu gelagat ketidakpresidenan (unpresidential) Trump dan kemelut kebuntuan Brexit masih terus menghantui rakyat USA dan UK. Hal ini terjadi akibat dari pendekatan politik Pascamoden yang berlebih-lebihan dikalangan penyokong Trump dan penyokong Brexit sehinggakan rakyat kedua-dua negara tersebut hilang pertimbangan yang tepat serta dipengaruhi oleh emosi dan sentimen mereka untuk memilih Trump dan Brexit meskipun secara umumnya rakyat USA tidak menyukai Trump dan rakyat UK tidak menerima Brexit. Inilah kekuatan pemikiran Pascamoden dimana persepsi boleh mengalahkan realiti dan perasaan boleh menewaskan kebenaran!

 

Jika pemikiran politik moden dengan segala kelemahannya masih lagi menyanjung tinggi kebenaran dalam kehidupan, pemikiran politik pascamoden pula sebaliknya berbangga dengan pengisytiharan bahawa kebenaran telah lenyap dalam kehidupan manusia. Bermula dari cetusan Nietzsche kemudiannya berkembang teori-teori pemikiran pascamoden melalui Jean-Francois Lyotard, Jacques Derrida dan Paul-Michel Foucault sejak beberapa dekad yang lalu, rasionaliti sebagai penanda-aras kebenaran bagi modeniti beransur-ansur digantikan kepada relativiti (kenisbian) sebagai norma-norma baru kehidupan. Relativisme yang berdasarkan sentimen dan perasaan kini melenyapkan rasionalisme yang berpandukan logik dan kewarasan. Inilah realiti politik pascamoden yang perlu kita fahami sekarang ini.

 

Misalnya di AS, Trump berjaya memainkan sentimen dan perasaan para pengundi menggunakan strategi dan taktik pasca-kebenaran atau pasca-fakta atau fakta alternatif dengan memanipulasi malah bersahaja melakukan penipuan dan penafian terhadap pelbagai fakta dan data yang didatangkan kepada beliau mengikut kepentingan kempen beliau. Malah Trump telah mengemukakan ungkapan “Fake News” atau “Berita Palsu” bagi menolak segala data dan fakta yang tidak selari atau bertentangan dengan pendapat beliau. Malah terdapat satu kajian menunjukkan bahawa Trump telah membuat 7,645 kenyataan yang palsu dan mengelirukan sepanjang beliau menjadi Presiden! Bukan itu sahaja Presiden Trump terus menggunakan pendekatan Pascamoden menukar fakta asal kepad fakta alternatif yang sesuai dengan beliau seperti dalam kes penutupan pentadbiran Kerajaan serta pembinaan tembok di sempadan Mexico yang beliau isytiharkan sebagai Krisis Darurat Nasional meskipun mendapat tentangan hatta dikalangan parti Republikan beliau sendiri!

 

Dalam kes Brexit di UK keadaan menjadi lebih sadis. Secara konvensyen dalam konteks geo-politik global semasa, pendekatan multilateral yang melibatkan pelbagai negara membuat keputusan secara kolektif dianggap lebih munasabah dan rasional. Kesatuan Eropah yang mana UK sendiri merupakan negara tunggak sejak dari pembentukannya diakui mendapat lebih banyak faedah berbanding hal-hal yang dikatakan kerugian oleh penyokong Pro-Brexit. Tetapi melalui pendekatan Pasca-Kebenaran, memanipulasi fakta dan data serta mengilangkan fakta dan data palsu tentang dominasi imigran, Brussels dan Kesatuan Eropah itu sendiri terhadap kedaulatan UK, maka rakyat UK dikelirukan untuk memilih Brexit. Padahnya bagi rakyat UK kini mereka seperti menyesal yang tidak berkesudahan malah terdapat ura-ura untuk membuat referendum baru membatalkan referendum Brexit dahulu. Atau pun bagi Perdana Menteri Theresa May ungkapan “Brexit is Brexit” itu boleh menjadi pelbagai kemungkinan bagi beliau termasuklah “Brexit” yang akhirnya bukan “Brexit”.

 

Analisis senario Kerajaan Pascamoden, Presiden Pascamoden dan Perdana Menteri Pascamoden yang berlaku di US dan UK juga boleh kita teliti dalam konteks Kerajaan Malaysia dibawah PH pada hari ini setelah hampir setahun PH mengambil-alih kuasa dari BN. Adakah Malaysia kini berada dalam sebuah Kerajaan Pasacmoden yang diketuai oleh Perdana Menteri Pascamoden sangat menarik untuk dianalisis memandangkan pemikiran falsafah Pascamoden telah jelas meresap masuk dalam kehidupan manusia hari ini sama ada kita sedar atau tidak sedar atau sama ada kita setuju atau tidak setuju. Sebagai rakyat Malaysia yang sepatutnya matang dalam dunia global yang saling bertentangan pemikiran, ideologi dan falsafah, sangat perlu untuk kita memahami aliran-aliran pemikiran, ideologi dan falsafah yang sedang mencorakkan faham dan amalan politik kita.

 

Misalnya apakah faham dan amalan ahli-ahli politik dalam Kerajaan PH dan juga bukan PH dikalangan ahli politik pembangkang tentang Kebenaran? Adakah Kerajaan PH dan juga para pembangkang juga terjebak dengan gelaja Pasca-Kebenaran, Pasca-Fakta atau Fakta Alternatif melalui manipulasi dan permainan berita, fakta dan data? Sejauhmana rakyat Malaysia hari ini benar-benar disajikan dengan Kebenaran yang hakiki ataupun sekadar Kebenaran palsu yang dihidangkan oleh kedua-dua belah pihak Kerajaan PH dan pembangkang. Dan apakah jaminan dan penanda-aras bagi Kebenaran yang dikemukakan oleh Kerajaan PH dan pembangkang? Ini adalah soalan paling penting mengenali beza Kerajaan Pascamoden dan Kerajaan yang benar!

 

Kemudiannya faham dan amalan Pascamoden sentiasa berusaha mengelirukan dan membingungkan manusia dari realiti dan persepsi atau realiti dari representasi. Ahli-ahli politik dan Kerajaan Pascamoden juga cenderung untuk mengeliru dan membingungkan rakyat jelata malah lebih berminat mencetuskan kemarahan rakyat dari menenangkan kehidupan mereka. Sangat perlu untuk Kerajaan PH jangan sampai dilihat berterus-terusan menjadikan rakyat Malaysia keliru, bingung dan marah atas penyampaian berita, fakta dan data yang saling bercanggah malah tidak menepati “commonsense” yang paling asas!

 

Dunia Pascamoden memang dunia yang keliru dan haru-biru, justeru bagi Kerajaan yang bertanggungjawab dan peka, ketenangan, kestabilan dan keharmonian pemikiran dan kehidupan rakyat wajib menjadi keutamaan Kerajaan. Kerajaan mestilah berusaha bersungguh—sungguh memberitahu Kebenaran kepada rakyat dengan Kerajaan itu sendiri berada dalam Kebenaran. Jika Kerajaan sebagai bahtera pun hanyut dalam lautan Pasca Kebenaran Pascamoden yang bergelora ini, maka lambat-laun rakyat jelata akan turut mati kelemasan ditelan pusaran ganas kekeliruan dan kebingungan!

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 65)

Download PDF

Sharing is caring

Comments

comments