Sharing is caring

Download PDF

(Naratif Nusantara Siri 64)

TANPA NARATIF NASIONAL YANG DISEPAKATI, NEGARA TERUS TERUMBANG-AMBING

Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI


Dalam konteks demokrasi rasional, terbuka dan inklusif, mana-mana kerajaan baru yang mendapat tampuk kuasa bertanggungjawab membina keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan tersebut serta membuktikan mereka lebih baik dari kerajaan sebelumnya. Hal ini seumpama ibubapa tiri bertanggungjawab membina keyakinan anak-anak tiri terhadap mereka setelah ibubapa kandung anak-anak tersebut mereka kahwini. Sepertimana juga ibubapa tiri ini tidak boleh sama sekali memaksa anak-anak tiri tersebut supaya mengikuti mereka, kerajaan baru juga tidak boleh bersikap memaksakan rakyat yang baru mereka ambil-alih dari kerajaan lama. Kerajaan baru dan ibubapa tiri mestilah lebih bijaksana, menggunakan hikmah, berlemah-lembut, sentiasa peka dan berwaspada dalam tutur-bicara, menunjukkan budi-pekerti mulia serta menjadi suri teladan dalam hubungan mereka dengan rakyat dan juga anak-anak tiri sehingga nantinya akan terbit rasa penerimaan yang semulajadi dari kedua-dua mereka kepada kerajaan dan ibubapa tiri yang baru.

Setelah hampir setahun berlalu sejak PRU14, kelihatan apa yang disebut-sebut sebagai Malaysia Baru yang lebih demokratik memiliki ciri-ciri rasional, terbuka dan inklusif ini masih belum memiliki Naratif Nasional yang disepakati bersama sama ada diperingkat rakyat jelata mahupun dikalangan para penguasa dalam kerajaan itu sendiri. Sama ada terdapat usaha-usaha serius secara ilmiah dan mendasar bagi membina Naratif Nasional Malaysia Baru sukar untuk dipastikan dek kerana kemelut politik intra dan inter parti-parti dalam kerajaan yang tidak putus-putus sejak kemenangan PRU14 tersebut. Tanpa pembinaan Naratif Nasional yang jelas, bersepadu serta mengambil kira faktor-faktor sejarah, budaya, sosio-politik dan agama Tanah Air yang panjang ini, selama itulah Negara Malaysia Baru ini akan terus terumbang-ambing tanpa pedoman dan pengarahan yang jelas kemana hendak dituju oleh para pengemudinya ditampuk Kerajaan ketika ini. Atau memang Malaysia Baru tidak memerlukan Naratif Nasional disebalik gembar-gembur demokrasi rasional, terbuka dan inklusif!

Pembinaan Naratif Nasional bagi Malaysia memasuki Abad ke 21 yang lebih berkeyakinan sangat diperlukan oleh rakyat dan negara ini memandangkan dunia kini sedang berdepan dengan pelbagai cabaran isu ekonomi global, geo-politik, keselamatan, pendidikan, budaya, teknologi dan keagamaan yang menuntut persediaan setiap rakyat di negara ini. Jika tidak rakyat dan negara Malaysia akan memasuki dunia Abad ke 21 tanpa persediaan justeru akan ketinggalan jauh kebelakang berbanding dengan rakyat dan negara jirannya sendiri seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam atau gergasi Asia seperti China dan India. Setakat ini Malaysia Baru masih belum menampilkan sebarang inisiatif-inisiatif yang perlu bagi rakyat dan negara ini lakukan dalam menghadapi cabaran zaman dan lingkungan baru Abad ke 21 ini. Bagaimana mungkin inisiatif-inisiatif berdaya saing rakyat dan negara boleh dilaksanakan jika Naratif Nasional yang menjadi pemandu dan pembimbing rakyat dan negara masih belum ada?

Meskipun pihak Kerajaan sedang bertungkus-lumus menangani perkara-perkara berkaitan dengan masalah dan isu ekonomi negara, yang juga belum menandakan wujud perkembangan yang memberangsangkan darinya; persoalan bukan-ekonomi yang berkaitan dengan pembinaan Naratif Nasional tidak boleh sama sekali diabaikan. Malah kita boleh memikirkan betapa kesukaran ekonomi semasa boleh menjadi lebih tertanggung bebannya jika rakyat dan negara disediakan dengan Naratif Nasional yang disepakati bersama yang juga meliputi langkah-langkah sumbangan dan pengorbanan seluruh warganegara bagi membantu meningkatkan prestasi dan pencapaian ekonomi negara ketika ini. Jika rakyat dan negara terus dalam kekeliruan dan kecelaruan hala-tuju tanpa satu Naratif Nasional yang boleh menyatukan mereka secara realistik dan praktikal selagi itulah juga usaha-usaha memperbaiki ekonomi negara tidak akan mendapat sokongan sepenuhnya dari rakyat jelata.

Dalam kelompongan Naratif Nasional Malaysia Baru ini, mungkin inilah masa terbaik untuk kita kembali kepada Naratif Nasional kita yang telah sedia ada terbina dari akar sejarah, budaya, sosio-politik dan agama selama ini. Bukanlah suatu yang mudah seperti yang dikatakan untuk meruntuhkan apa yang sedia ada dan untuk menggantikan dengan perkara baru yang diangan-angankan. Memang penambahbaikan itu perlu demi kelangsungan rakyat dan negara yang lebih berdaya-saing dan kuat tetapi ia tidak perlu sampai kita menghapuskan identiti dan tradisi yang menjadikan kita seperti kita hari ini. Jangan kita sampai menafikan keberadaan kita pada hari ini terbit dari kekuatan dan kesinambungan akar identiti dan tradisi Negara Malaysia yang tumbuh ratusan tahun sebelum wujud Negara Malaysia pada tahun 1957 atau 1963 itu. Sebarang usaha mengungkapkan Malaysia hanya selepas 1957 atau 1963 atau beberapa dekad sebelum itu adalah perkara yang mustahil untuk dilakukan bagi membina sebuah Negara Malaysia yang kuat lagi berdaulat.

Membiarkan rakyat dan negara terumbang-ambing tanpa Naratif Nasional yang jelas akan mengundang lebih banyak bahaya ketidaktenteraman serta menjejaskan agenda pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi dari dihayati oleh rakyat. Dalam zaman kebanjiran maklumat yang palsu atau Pasca-Kebenaran hari ini, rakyat dan negara yang tidak memiliki Naratif Nasional sebagai kerangka berfikir dan bertindak sebagai warganegara akan lebih mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir musuh dan subversif yang cuba melemahkan ketahanan pemikiran rakyat dan kekuatan negara. Sudah sampai masanya Naratif Nasional Malaysia Baru ini diungkapkan secara non-partisan/non-political, benar-benar demokratik, rasional, terbuka dan inklusif melibatkan pelbagai pihak dari Kerajaan, parti-parti politik Kerajaan, Pembangkang, pihak-pihak NGO, ahli-ahli akademik dari pelbagai latar-belakang untuk menggagaskan Naratif Nasional baru yang boleh diterima oleh semua pihak pada prinsipnya. Jika hal ini tidak boleh dilaksanakan maka sangat perlu untuk Kerajaan mengungkapkan Naratif Nasional berdasarkan apa yang kita ada sebelum ini dengan segala penambahbaikannya.

Sekiranya orang-orang politik yang menganggotai kerajaan hari ini menyangka dengan memperolehi kuasa dan menjadi kerajaan mereka boleh merubah rakyat dan negara dengan mudah, sangkaan ini teryata silap. Apatah lagi jika orang-orang politik tersebut menyangka dengan kuasa mereka boleh memaksa rakyat dan negara mengikuti kehendak mereka, sangkaan ini lagi tersasar dalam konteks demokrasi dan globalisasi abad ke 21 ini. Dalam era Pascamoden hari ini yang menyaksikan pertembungan dan persaingan pelbagai Naratif diperingkat global dan lokal berlaku secara terbuka, bebas, tanpa sekatan; hanya Naratif Nasional yang berupaya membina visi dan misi tetapi realistik dan praktikal berpotensi memperkasakan rakyat dan negara bukan kepentingan jangka pendek diri-individu orang-orang politik atau mana-mana parti politik.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 64)

Download PDF

Sharing is caring

Comments

comments