Sharing is caring

Download PDF

ISSI MENGALU-ALUKAN PENEGASAN YAB PERDANA MENTERI UNTUK KITA MENGETEPIKAN ISLAM SEBAGAI IDEOLOGI POLITIK KEPARTIAN DI MALAYSIA – “KITA BUKAN SAHAJA ISLAM TETAPI PEGANGAN KITA SAMA IAITU AHLI SUNNAH WAL JAMAAH PIMPINAN IMAM SHAFIE, SEBAB ITU KITA TIDAK PATUT BERPECAH KERANA FAHAMAN YANG SAMA”

Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Mungkin ramai yang menganggap sebagai klise bila YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan umat Islam di negara ini mengetepikan perbezaan fahaman politik bagi mengelakkan perpecahan ketika beliau berucap di majlis berbuka puasa PERKIM baru-baru ini. Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri sangat “berharap dapat mencantumkan semula umat Islam di Malaysia yang dipecah-belahkan berikutan perbezaan fahaman politik.”Beliau turut menarik perhatian terhadap kekecohan dan keganasan malah pembunuhan di negara-negara Timur Tengah akibat perpecahan dan perbalahan politik. Dalam konteks ini Tun Dr Mahathir sebenarnya telah menyentuh simptom penyakit umat Islam yang telah menyempitkan Islam dari realisasi Peradaban yang mengembangkan potensi dan kreativiti Insan (al-‘Umran atau al-Hadharah menurut Ibnu Khaldun) kepada retorik Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah) terutamanya sejak berakhirnya Khilafah Uthmaniyyah sehingga ke hari ini.

Khilafah Islam Empayar Uthmaniyyah yang dimansuhkan oleh Kuasa-Kuasa Barat selepas Perang Dunia ke 2 adalah Kerajaan Islam Kosmopolitan terakhir bagi dunia umat Islam yang meskipun terdapat pelbagai kelemahan merupakan manifestasi terakhir penampilan Islam sebagai realisasi Peradaban Potensi dan Kreativiti Insan dalam pelbagai dimensi kehidupan politik dan bukan politik seperti sains, teknologi, falsafah, kalam, tasawwuf, muzik, arkitek, kraftangan dan pelbagai hasil kreativiti yang lain. Berakhirnya lebih 600 tahun tertegaknya Khilafah Uthmaniyyah akibat pelbagai masalah dalaman dan luarannya, ia masih tetap menyerlahkan sifat-sifat Peradaban Islam sehinggalah bangkit fenomena baru berasal dari negara-negara Arab di Timur Tengah yang membentuk retorik Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah) tempatan dan kepuakan berdasarkan kefahaman Islam yang sempit serta kuat dengan sifat kebadwiannya (Badawah menurut Ibnu Khaldun).

Bila Perdana Menteri menyebut bahawa, “kita bukan sahaja Islam tetapi pegangan kita sama iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah pimpinan Imam Shafie”, beliau sebenarnya menarik kepada umat Islam di Malaysia untuk memahami betapa Islam yang dipegang oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah realisasi Peradaban Potensi dan Kreativiti Insan yang memiliki tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan yang meluas lagi mendalam sejak lebih 1000 tahun dan bukan sekadar Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah) yang baru muncul lebih kurang 100 tahun yang lalu. Memahami perbezaan naratif, sifat dan tabiat Islam sebagai pencetus dan pembina Peradaban Potensi dan Kreativiti Insan dengan naratif, sifat dan tabiat Islam sebagai alat dan matlamat Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah) bagi mendapatkan kekuasaan dan pemerintahan sangat mustahak untuk dihuraikan bagi umat Islam sekiranya mereka ingin menghilangkan simptom perpecahan politik atas dasar agama seperti yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir.

Sebagai contoh sejak lebih 100 tahun yang lalu bila Islam sekadar menjadi retorik Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah), umat Islam tidak lagi menganggap Islam adalah agama yang sangat produktif kepada penghasilan sains, teknologi, falsafah, kalam, tasawwuf, muzik, arkitek, kraftangan dan pelbagai hasil kreativiti yang lain. Bila Islam sekadar menjadi retorik Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah), segara kudrat, iradat, visi, misi, tumpuan dan tekanan pemikiran umat Islam hanya diarah kepada isu dan polemik politik semata-mata. Sekaligus penggemblengan potensi dan motivasi umat Islam tidak langsung dihalakan kepada pembinaan dan pencapaian Peradaban menyebabkan umat Islam terus jauh ketinggalan dalam hal-hal kreativiti kehidupan berbanding dengan Peradaban lain khususnya Peradaban Barat. Seolah-olahnya Islam adalah agama tanpa kreativiti dan inovasi dalam kehidupan kemanusiaan!

Malah pendekatan dan faham Islam sebagai retorik Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah) sejak 100 tahun yang lalu yang bermula di Timur Tengah ini telah melahirkan satu generasi muda muslim global yang dipenuhi dengan ciri-ciri berfikiran simplistik terhadap agama, anti-keilmuan, kerohanian dan ketamadunan, enggan berfikir dan berkreatif aras tinggi sebaliknya lebih senang melampiaskan amarah kepada orang lain, menyalahkan orang lain, memperlekehkan penyelidikan dan kerja-kerja ilmiah serta terlaku kuat berpegang kepada teori-teori konspirasi Barat dan Timur. Malah ada yang sekadar menunggu kedatangan Imam Mahdi bila kecewa dengan kebobrokan yang berlaku disekeliling mereka. Begitu juga tidak sedikit generasi muda Islam yang dipengaruhi dengan retorik Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah) ini akhirnya cenderung terjebat dalam fenomena keganasan, radikalisme, ekstremisme dan juga terorisme. Dalam ertikata yang lain bila Islam di “hijack” sebagai retorik Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah), ia akhirnya akan memerangkap umat Islam dalam Lingkaran Syaitannya yang kita saksikan pada hari ini!

Islam yang dianggap sebagai realisasi Peradaban Potensi dan Kreativiti Insan tidak bersifat dogmatik dan statik dalam menggarap potensi insan malah sangat proaktif pada merealisasi pengembangan insan-insan pencetus dan pembina Peradaban. Lihatlah tokoh-tokoh Peradaban Islam seperti Imam Shafie seperti yang disebut Perdana Menteri sebagai pemimpin Ahli Sunnah Wal Jamaah, Ibnu Sina, Al-Asha’ri, Al-Ghazali, Ibnu Arabi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi tokoh-tokoh Ahli Sunnah Wal Jamaah kesemuanya adalah manifestasi dinamika dan kreativiti Islam. Begitu jugalah dibawah pendekatan dan faham Ahli Sunnah Wal Jamaahlah, aktiviti-aktiviti sains, teknologi, falsafah, kalam, tasawwuf, muzik, arkitek, kraftangan dan pelbagai hasil kreativiti yang lain berkembang dalam dunia umat Islam lebih 1000 tahun lamanya. Dinamika dan kreativiti ini hilang dari Islam sejak 100 tahun ini akibat kemunculan retorik Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah) dikalangan umat Islam.

Sudah sampai masanya umat Islam membuang Lingkaran Syaitan retorik Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah) demi berhadapan dengan pelbagai cabaran ilmiyyah dan amaliyyah yang sedang melanda umat Islam di Abad ke 21 ini. Sudah tiba waktunya untuk umat Islam memahami dan menghayati Islam sebagai realisasi Peradaban Potensi dan Kreativiti Insan yang mencipta al-‘Umran atau al-Hadharah menurut Ibnu Khaldun demi kesejahteraan umat manusia Islam dan bukan Islam. Inilah sifat Rahmatan lil Alamin Islam yang didambakan oleh semua umat manusia. Retorik Ideologi Politik Kepartian (Hizbiyyah) inilah yang telah menimbulkan kesengsaraan dan kezaliman yang menimpa bukan hanya kepada umat Islam tetapi juga umat manusia kerana realisasi Peradaban Potensi dan Kreativiti Insan yang memberikan memberikan kebahagiaan maknawi dan kesejahteraan jasadi insan tidak lagi wujud di mukabumi ini.

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 46)

Youtube : https://www.youtube.com/watch?v=lPnQgwy-0NM&feature=share

Download PDF

Sharing is caring

Comments

comments