Sharing is caring

(NARATIF NUSANTARA SIRI 35)

Memasyarakatkan Kesedaran Tauhid Dengan Merakyatkan Akidah Awam:
Makalah Khas Sebagai Silibus dan Kurikulum Akidah Nusantara Susunan Allahyarham Tuan Guru Haji Wan Mohd. Saghir Wan Abdullah Rahimallahu’anhu

Ilmu akidah bersumber karya ulama silam Melayu (Bahagian Pertama)
SEPERTI YANG DIKARANG OLEH ALLAHYARHAM TUAN GURU HAJI WAN MOHD. SAGHIR WAN ABDULLAH RAHIMALLAHU’ANHU

ILMU Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah sangat luas jika dibicarakan dari sumber-sumber asalnya yang meliputi berpuluh-puluh, beratus-ratus bahkan ribuan kitab.
Sebahagian kecil sejarah ringkas Ilmu Tauhid di Dunia Melayu dalam beberapa judul penting yang telah ditulis oleh para ulama Dunia Melayu, telah penulis perkenalkan dalam ruangan-ruangan sebelum ini dan dimuatkan juga dalam buku Faridatul Faraid, Sheikh Ahmad al-Fathani.
Maka dirasakan tidak perlu ia diulang perkara yang sama. Oleh itu, untuk perbicaraan ini, penulis hanya mengehadkan kepada sumber-sumber tradisional karya ulama dunia Melayu sahaja.
Senarai kitab akidah ulama dunia Melayu
Sebelum memasuki sejarah penulisan akidah Islami yang berhaluan Ahlus Sunnah wal Jamaah di Dunia Melayu, terlebih dahulu ada baiknya penulis senaraikan pelbagai judul kitab yang dikarang oleh ulama-ulama silam kita.
Karya-karya akidah itu dapat dibahagi kepada empat corak iaitu:
Karya ilmu tauhid yang khas membicarakan tentang itu yang ditulis dalam bahasa Melayu.
Karya ilmu tauhid yang khas membicarakan tentang itu yang ditulis dalam bahasa Arab.
Karya tauhid yang ditulis dalam karya ilmu fiqh atau tasauf yang diletakkan di bahagian permulaan kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu.
Karya tauhid yang ditulis dalam karya ilmu fiqh atau tasauf yang diletakkan di bahagian permulaan kitab yang ditulis dalam bahasa Arab.
Daripada keterangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa ulama-ulama silam Dunia Melayu berkebolehan mengarang kitab-kitab dalam bentuk bahasa Arab yang setaraf dengan orang-orang Arab sendiri.
Bahawa demikian pentingnya ilmu tauhid (akidah) sehingga dalam perbicaraan mengenai fiqh atau tasauf pun masih juga membicarakan perkara akidah.
Disimpulkan bahawa ulama silam Dunia Melayu sependapat bahawa Mengenal Allah dan Rasul-Nya melalui akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah wajib, mendapat tempat yang pertama dan utama dari ilmu-ilmu lainnya.
Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al Fathani dalam karyanya Jumanatut Tauhid dalam bentuk syair menulis, maksudnya: Dan sesudah itu maka Ilmu Tauhid itu pada pelbagai ilmu, seumpama matahari di antara sekelian bintang.
Adapun senarai kitab akidah yang disenaraikan tersebut dapat dijelaskan sebagai yang berikut:
i. Karya Ilmu Tauhid Dalam Bahasa Melayu
Antara karya-karya yang berkaitan untuk bahagian ini telah ditemui agak banyak. Antaranya ialah:
lIlmu Tauhid karya Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) yang ditulis dalam tahun 1032 H (kira-kira 1622 M),
Durarul Faraid bisyarhil ‘Aqaid karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri, tahun penulisan 1045 H (kira-kira bersamaan 1635 M).
Bidayatul Hidayah karya Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh, tahun penulisan 1170 H (kira-kira 1757 M).
Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1178 H (kira-kira 1764 M).
Tuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqati Imanil Mu’minin wa Yufsiduhu min Riddatil Murtaddin karya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, tahun penulisan 1188 H (kira-kira 1774 M).
Kifayatul Mubtadi fi Ushuli I’tiqadil Mursyidin, atau dengan judul lain iaitu Irsyadu Athfalil Mubtadi-in fi ‘Aqaidid Din wa Ad’iyah an Nafi’ah ad Din karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani (tiada disebut tahun penulisan).
Risalatu Ta’alluqi bi Kalimatil Iman karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Dhiyaul Murid fi Ma’rifati Kalimatit Tauhid karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani (tiada disebut tahun penulisan).
Ad Durruth Tsamin fi ‘Aqaidil Mu’minin karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1232 H (kira-kira 1817 M).
‘Iqdatul Jawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1245 H (kira-kira 1831 M).
Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi ‘Iqdil Jawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1245 H (kira-kira 1831 M) dan banyak lagi yang tidak dapat disenaraikan kesemuanya.
ii. Karya Ilmu Tauhid Yang Khas Yang Membicarakan Tentang Itu Yang Ditulis Dalam Bahasa Arab
Kitab-kitab Ilmu Tauhid yang ditulis oleh ulama silam Dunia Melayu dalam bentuk bahasa Arab tidaklah sebanyak seperti yang ditulis dalam bahasa Melayu. Di antara yang dapat dicatat disenaraikan seperti berikut:
Jumanatut Tauhid karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1293 H (kira-kira 1876 M).
Munjiatul ‘Awam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1293 H (kira-kira 1876 M).
Sabilus Salam atau dengan judul yang lain Minhajus Salam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1306 H (kira-kira 1888 M).
Fat-hul Majid fi Syarhid Durril Farid fi ‘Ilmit Tauhid karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tahun penulisan 1294 H (kira-kira 1877 M).
Nuruzh Zhalam ‘alal Manzhumati al-Musammah bi ‘Aqidatil �Awam karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tahun penulisan 1277 H (kira-kira 1860 M).
Syarhul Futuhatil Madaniyah fisy Syu’bil Imaniyah karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tanpa menyebut tahun penulisan.
Perlu penulis sebutkan bahawa selain Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Nawawi al-Bantani, terdapat beberapa ulama Dunia Melayu yang menjalankan aktivitinya di Mekah yang juga meninggalkan beberapa karya dalam bahasa Arab termasuk karangan perkara akidah.
Mereka ialah Sheikh Muhammad Mukhtar bin Atarid Bogor, Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau (pernah menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafiie di Mekah), Sheikh Abdul Hamid Kudus (juga pernah menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafiie di Mekah menggantikan Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau).
iii. Karya Tauhid Yang Ditulis Dalam Karya Ilmu Fiqh Yang Diletakkan Di Bahagian Permulaan Kitab (Dalam Bahasa Melayu)
Sebagai petanda bahawa perkara akidah tradisional menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berpunca dari Sheikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi sangat penting, maka ulama-ulama Dunia Melayu dalam kitab-kitab fikah yang dikarang terlebih dahulu menulis tentang akidah tersebut di bahagian awal karya fikah berkenaan.
Demikian juga dilakukan terhadap kitab-kitab tasauf. Di antara kitab-kitab fikah ataupun tasauf yang didahului dengan ilmu akidah di antaranya:
Pada bahagian awal Hidayatus Salikin karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1192 H (kira-kira 1778 M).
Siyarus Salikin (jilid 1) karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1194 H (kira-kira 1780 M).
Hidayatul Muta’allim wa ‘Umdatul Mu�allim karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1244 H (kira-kira 1828 M).
Fathul Mannan li Shafwatiz Zubad karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1249 H (kira-kira 1833 M).
Al-Jawahirus Saniyah fi Syarhil ‘Aqaidid Diniyah karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1252 H (kira-kira 1836 M).
Sullamul Mubtadi fi Ma’rifatil Muhtadi karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1252 H (kira-kira 1836 M).
Furu’ul Masail wa Wushulul Washail karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1254 -1257 H (kira-kira 1838-1841 M).
Mathla’ul Badrain wa Majma’ul Bahrain karya Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, tahun penulisan 1303 H (kira-kira 1885 M).
Wusyahul Afrah wa Ashbahul Falah karya Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, tahun penulisan 1313 H (kira-kira 1895 H).
Bahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtahidin karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1310 H (kira-kira 1892 M).
‘Unwanul Falah wa ‘Unfuwanus Shalah karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1319 H (kira-kira 1902 M) dan
Di bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1323 H (kira-kira 1905 M).
iv. Karya Tauhid Yang Ditulis Dalam Karya Ilmu Fiqh Yang Diletakkan Di Bahagian Permulaan Kitab (Dalam Bahasa Arab)
Di bahagian ini hanya dapat disenaraikan beberapa karya Sheikh Nawawi al-Bantani sebagai contoh. Hal ini disebabkan kurang mendapat maklumat dan sedikit sekali ulama silam Dunia Melayu melakukannya.
Di antara kitab-kitab karya Sheikh Nawawi al-Bantani tersebut ialah:
Di bahagian awal Syarah Sullamul Munajah, Mirqatu Shu’udit Tashdiq fi Syarhi Sullamit Taufiq, dan Ats Tsimarul Yani’ah fir Riyadhil Badi’ah, yang kesemuanya kitab tersebut tiada dinyatakan tahun penulisan.
Sebuah lagi adalah di bahagian awal kitab Syarah Kasyifatis Saja ‘ala Safinatin Naja fi Ushuliddin wal Fiqh, tahun penulisan 1277 H (kira-kira 1860 M).
Demikianlah senarai ringkas karya-karya ulama silam Dunia Melayu yang membahas perkara akidah Islamiah yang sekali gus dari tahun-tahun penulisan. Dengan ini dapat kita ketahui bahawa ilmu tersebut telah ditulis bersama-bersama dengan ilmu-ilmu keislaman di bidang lainnya, yang dapat kita kaji sejak abad ke-16 Masihi lagi.
Kita berkeyakinan bahawa ilmu-ilmu yang membahas perkara akidah telah sampai di rantau ini dibawa serentak dengan kedatangan agama Islam itu sendiri.
(BERSAMBUNG BAHAGIAN KEDUA)

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 35)

 


Sharing is caring

Comments

comments