Sharing is caring

(NARATIF NUSANTARA SIRI 30)
PENGAJARAN BAYT Al-MAQDIS UNTUK UMAT MELAYU
Dr Amran Muhammad

Umat Islam wajib menyatakan kemarahan mereka kepada Presiden Donald Trump kerana mengisytiharkan Bayt al-Maqdis sebagai Ibunegara Regim Zionis Israel. Umat Islam juga wajar mengadakan demonstrasi bagi mengutuk tindakan Presiden Amerika Syarikat yang mengarahkan Kedutaan Amerika Syarikat supaya berpindah ke Jerusalem secepat mungkin. Dengan perkembangan terkini ini juga, umat Islam perlu lebih melipat-gandakan usaha-usaha mereka dalam pelbagai dimensi aktivisme dan advokasi bagi membebaskan Palestin khususnya Bayt al-Maqdis dari penjajahan dan kekejaman Israel dan Amerika Syarikat. Selain dari ledakan kemarahan, bantahan melalui demonstrasi dan inisiatif-inisiatif aktivisme dan advokasi, kita umat Islam di Malaysia perlu juga merenung dengan lebih mendalam nasib yang menimpa Bayt al-Maqdis ini dan mengambil pengajaran darinya.

Pertama sekali kita harus menerima hakikat bahawa keberanian Presiden Trump mengiktiraf Bayt al-Maqdis sebagai Ibukota Israel adalah berlatarbelakangkan kepada kelemahan jika tidak kehancuran negara-negara Arab di Timur Tengah ketika ini. Yang pasti tidak ada sebuah negara Arab pun ketika ini yang mampu mengangkat kepala kepada Amerika Syarikat dan Israel berikutan pelbagai konflik dalaman negara dan juga perbalahan sesama mereka. Negara-negara Arab yang dahulu kuat seperti Mesir, Iraq, Syria juga Libya kini terumbang-ambing. Arab Saudi dengan kegilaan MBS yang menjadi-jadi sangat mudah dijinakkan oleh Amerika Syarikat dan Israel. Iran pula selama-lamanya menjadi duri dalam daging bagi kebanyakkan negara-negara Arab. Manakala negara-negara Teluk yang kaya-raya seperti Qatar, UAE dan Kuwait tidak lebih dari menjadi wilayah-wilayah satelit bagi Amerika Syarikat yang bergantung keselamatan mereka ditangan Pengkalan Tentera Amerika Syarikat di sana.

Kedua, sejarah membuktikan sejak tercetusnya Revolusi atau Pemberontakan Umat Arab yang bertujuan mengusir Kerajaan Khilafah Uthmaniyyah dari bumi Arab dengan bantuan Para Penjajah Barat sebelum Perang Dunia Pertama, nasib Umat Arab tidak pernah lekang dari perbalahan sesama mereka juga perebutan kuasa berdarah serta kebangkitan regim-regim diktator dikalangan pemimpin Arab. Malah pembentukan Negara Israel oleh Penjajah British dahulu juga adalah sebahagian dari permainan dan dasar pecah-belah dan pecah-perintah tanah-tanah Arab yang asalnya sebahagian dari Wilayah Kerajaan Khilafah Uthmaniyyah. Ini bermakna sepanjang sejarah bernegara mereka Pasca-Uthmaniyyah, umat Arab tidak pernah mengalami kestabilan dan keharmonian kehidupan bernegara yang berpanjangan sehingga kehari ini dengan rampasan kuasa dan kediktatoran yang masih berkekalan sehingga sekarang ini.

Ketiga, meskipun negara-negara Arab berjaya membebaskan diri mereka dari Kerajaan Khilafah Uthmaniyyah yang juga berakhir dalam waktu yang hampir sama, mereka tidak mewarisi tradisi dan khazanah keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam Uthmaniyyah yang berusia lebih 600 tahun tersebut sebaliknya mencari-cari model dan identiti baru Kearaban mereka sama ada nasionalis atau sosialis atau literalis. Jika tahun-tahun 50an-60an lebih bersemarak ideologi nasionalis dan sosialis Arab, selepas tahun 70an, fenomena Salafis dan Harakis mula menjadi fenomena dominan negara-negara Arab. Kita tidak mendengar atau mengetahui usaha besar-besaran negara-negara Arab untuk mengembalikan tradisi dan khazanah keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam seperti yang terdapat semasa Kerajaan Khilafah Uthmaniyyah.

Justeru ketiadaan kekuatan negara-negara Arab, krisis dan konflik dalaman dan antara mereka yang saling melemahkan serta ketandusan tradisi serta khazanah keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam yang hidup dan berfungsi dalam masyarakat sejak lebih 70 tahun dahulu terus melatari nasib yang tragik dan traumatik yang menimpa umat Palestin. Justeru perjuangan umat Palestin disandarkan sepenuhnya kepada perjuangan politik dan tentera semata-mata dengan kesan dan akibat yang dapat kita saksikan pada hari ini. Sekiranya kita boleh mengandaikan jika umat Arab mengambil-berat untuk mengembalikan tradisi dan khazanah keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam dari Kerajaan Khilafah Uthmaniyyah sudah tentu mereka memiliki kekuatan dalaman yang lebih baik serta mengurangkan persengketaan sesama mereka. Ini secara tidak langsung akan membina ekologi atau persekitaran perjuangan umat Palestin yang lebih menyeluruh bukan sahaja dari sudut politik tetapi juga ilmu, ruh dan tamadun.

Berhadapan dengan Israel, Amerika Syarikat dan Negara-Negara Barat bukanlah sekadar pertarungan politik dan ketenteraan semata-mata atau persaingan ekonomi dan perniagaan sahaja malah ia lebih dari itu. Umat Islam, Umat Arab dan kita Umat Melayu mesti menyedari pertembungan dengan Israel, Amerika Syarikat dan Negara-Negara Barat adalah pertembungan pandangan dan pengalaman hidup yang saling bertentangan. Israel, Amerika Syarikat dan Negara-Negara memiliki kekuatan tradisi dan khazanah pemikiran, keilmuan dan perorganisasian yang tidak boleh kita hadapi dengan slogan dan retorik Islam akan menyelesaikan segala-galanya atau cukup dengan Al-Qur’an dan Al-Hadith semata-mata. Tanpa tradisi dan khazanah keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam yang hidup kita tidak akan boleh menewaskan mereka. Israel dan Amerika Syarikat dan kuncu-kuncu mereka ada dimana-mana dimukabumi ini, jika umat Melayu tidak menyediakan kekuatan serta menghidupkan tradisi dan khazanah keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam yang mereka miliki lambat-laun mereka akan menerima nasib seperti umat Arab dan umat Palestin juga.

Jika Umat Arab tidak mahu belajar dari pelajaran ini, maka Umat Melayu sewajarnya mengetahui betapa dalam tempoh lebih-kurang 70 tahun juga Generasi Salahuddin Al-Ayyubi berjaya membebaskan Bayt al-Maqdis dahulu setelah mereka melalui pendidikan dari tradisi dan khazanah keilmuan, Keruhanian dan ketamadunan Islam bermula dari Imam Al-Ghazali dan kemudiannya Shaykh Abdul Qadir Al-Jilani sebelum Zaman Nuruddin Al-Zanki yang melahirkan Salahuddin Al-Ayyubi. Usaha-usaha gigih bagi pembentukan sebuah generasi Muslim yang dibesarkan dalam tradisi dan khazanah keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam tetap merupakan resepi terbaik bagi menjamin kekuatan dan kelangsungan umat Islam dimana jua mereka berada dan Umat Melayu tidak terkecuali. Persoalannya sejauhmanakah kita generasi sekarang benar-benar ingin menyediakan generasi masadepan yang terbina dan dihidupkan atas tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam ini agar dengannya nasib anak-cucu kita tidak menjadi seperti Umat Arab yang kita saksikan hari ini.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 30)


Sharing is caring

Comments

comments