Sharing is caring

Peranan Otoriti dan Agensi Agama Dalam Mengurus Naratif-Naratif Islam Terkini
Dr Amran Muhammad
ISSI

Umat Islam kini berada dalam zaman ledakan maklumat yang mereka tahu tidak semuanya menjadi ilmu pengetahuan kerana kebanyakkannya sekadar data dan fakta tanpa makna. Masyarakat Islam juga berada dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan yang dipacu oleh teknologi komunikasi dan media sosial yang setiap masa 7 hari 24 jam tanpa henti-henti memuntahkan kepada mereka segala data, fakta, maklumat dan makna yang tidak semua mereka berkeupayaan menilai, menganalisis apatah lagi untuk menapis dan memilih demi kebaikan dan kesejahteraan kehidupan. Justeru cabaran paling besar bagi umat dan masyarakat Islam kini ialah bagaimana untuk melayari dan mendepani ombak dan badai maklumat ini supaya tidak hanyut atau lemas tanpa berjaya sampai ke pelabuhan kebenaran dan keyakinan kehidupan.
Data, fakta, maklumat dan makna ini yang bersifat terpecah-pecah atau atomistik bila bergabung dan berpadu dengan data, fakta, maklumat dan makna yang bersamaan cita dan rasa sesama mereka akan membentuk satu rangkaian data, fakta, maklumat dan makna yang membentuk Naratif – Jalan Cerita Besar. Tidak siapa pun boleh menyangkal hari ini umat dan masyarakat Islam meskipun merujuk kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah yang sama berada dalam pertempuran Naratif. Naratif Ortodoks, Konservatif, Tradisional; Naratif Liberal, Progresif dan Modenis; Naratif Salafi, Wahabi dan Madkhali; Naratif Akidah tajsimi – takwili, Naratif Shari’ah – maqasidi lwn hududi dan Naratif Tasawwuf – falsafi lwn tariqi. Kesemua Naratif ini terbina berdasarkan faktor teks dan konteks yang melatari pengetahuan dan pengalaman, zaman dan lingkungan, serta kecenderungan dan rangkaian para pelopor dan peneraju dan juga pengamal dan pengikut Naratif-Naratif tersebut.

Sekiranya umat dan masyarakat Islam dikalangan orang awam tidak mempunyai kemahiran yang cukup bagi melayari dan mendepani fenomena kepelbagaian Naratif ini, maka disinilah terletaknya peranan penting otoriti dan agensi agama Islam di negara kita untuk mempermudahkan umat memahami sifat dan tabi’at kepelbagaian Naratif serta memperincikan setiap Naratif tersebut dan memberikan tawaran-tawaran alternatif bagi umat dan masyarakat Islam untuk menanggapi dan menangani Naratif-Naratif tersebut. Kesemua Naratif-Naratif ini memerlukan pengetahuan dan kefahaman yang mendalam dan meluas terhadap sejarah perkembangan pemikiran dan tradisi Islam dari dahulu hingga sekarang untuk dikenalpasti asal-usul dan hala-tujunya Naratif-Naratif ini. Otoriti dan agensi agama bertanggungjawab untuk mengetahui dan memahami selok-belok Naratif-Naratif ini agar terbina satu mekanisma atau formula pengurusan yang lebih berhemah dan berhikmah dalam menjelaskan kedudukan Naratif-Naratif Islam yang pelbagai ini.

Bagaiamanapun keupayaan otoriti dan agensi agama untuk mengurus dan menjelaskan bahkan memperincikan Naratif-Naratif Islam ini bagi mengelak, mengurang serta membasmi kekeliruan umat dan masyarakat Islam memerlukan otoriti dan agensi agama memiliki Naratif mereka sendiri terlebih dahulu sebagai penanda-aras atau kayu-ukur bila berdepan dengan Naratif-Naratif lain. Jika tidak boleh dikenalpasti Naratif Induk yang dipegang dan dipertahankan oleh otoriti dan agensi agama itu sendiri ia akan mengundang kekeliruan dan ketidakpastian kepada umat dan masyarakat Islam. Otoriti dan agensi agama Islam yang tidak boleh mengartikulasikan Naratif mereka sendiri secara tuntas dan jelas tidak akan dapat memberi visi, polisi dan strategi yang boleh membawa umat dan masyarakat Islam kepada kebenaran dan keyakinan.
Sebagai contoh umat dan masyarakat Islam di Kepulauan Alam Melayu Wilayah Nusantara, telah ratusan tahun membesar dan menjalani kehidupan dalam Naratif Ahli Sunnah wal Jamaah Asha’irah Akidahnya, Shafi’iyyah Fekahnya dan Ghazzaliyyah Tasawufnya bagi segenap lapisan umat dan masyarakat tanpa terkecuali atau pengecualian yang sangat minimum. Dalam mendepani kemelut pertempuran Naratif-Naratif Islam ini mengapa tidak kita usulkan kepada otoriti dan agensi agama kita meneliti Naratif Nusantara Asha’irah-Shafiiyyah-Ghazzaliyyah ini dengan lebih mendalam dan meluas. Kegagalan Naratif Islam Timur-Tengah sekarang ini sepatutnya sangat menginsafkan kita betapa nasib umat Islam di Nusantara ini tidak seburuk umat Islam di Timur Tengah kerana peranan dan sumbangan Naratif Nusantara Asha’irah-Shafiiyyah-Ghazzaliyyah yang banyak menyumbang kepada pandangan dan pengalaman Islam kita yang lebih aman-damai, sederhana, bertolak-ansur dan meraikan kepelbagaian.

Dengan berakhirnya Era Salafiyyah Timur Tengah dan Era Wahhabiyyah Arab Saudi, mungkin sangat perlu otoriti dan agensi agama Islam di Malaysia menjenguk semula dan mengembalikan semula Naratif Nusantara Asha’irah-Shafiyyah-Ghazzaliyyah ini dengan segala penambahbaikan terhadap kelemahan dan kekurangannya bagi mendepani dan menangani pertempuran antara Naratif-Naratif Islam sekarang ini. Dengan segala permasalahan yang terbit dari sifat eksklusif dan ‘holier than thou’ salafiyyah dan sifat literal dan ketat wahabiyyah yang terserlah di dunia politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan budaya dunia Arab ketika ini, maka inilah waktu terbaik umat dan masyarakat Islam di Nusantara mengemukan model dan paradigm mereka sebagai Naratif yang berpotensi menyantuni dan melestari kepelbagaian Naratif ini.

Ini bagaimanapun memerlukan otoriti dan agensi agama kita memiliki visi yang luas dan jiwa yang besar dalam membina keupayaan mereka menanggapi perkara ini. Sebaliknya jika otoriti dan agensi agama sekadar mengulang-ulang konsep-konsep umum seperti wasatiyyah Islam, tabayyun serta memperkenalkan pelbagai nama fekah-fekah baru secara terpecah-pecah atau atomistik secara berorientasikan isu semata-mata, umat dan masyarakat Islam akan sentiasa tertunggu-tunggu jawapan bagi setiap persoalan yang mendatang tanpa mereka sendiri dapat merasai visi, gagasan atau Naratif Islam yang sewajarnya mereka ikuti atau jadikan sebagai panduan. Kita sewajarnya membawa umat dan masyarakat kepada proses pembinaan Naratif yang membolehkan mereka sendiri akhirnya mampu menilai, menapis dan memilih segala data, fakta, maklumat dan makna yang membentu pelbagai Naratif tersebut.

Suka atau tidak suka Naratif Islam rantau dan wilayah ini ialah Naratif Asha’irah-Shafiiyyah-Ghazzaliyyah yang sebenarnya masih terbukti sebagai lebih terbuka, inklusif, bertolak-ansur, mesra budaya dan adat, serta meraikan sifat dan tabi’at tempatan dari Naratif Salafiyyah dan Wahhabiyah yang keras, kasar, bersifat hukumiyyah dan fiqhiyyah tersebut. Dari segi sumber dan tradisi keilmuan jelas sekali Naratif Asha’irah-Shafiiyyah-Ghazzaliyyah terbina atas tiga tradisi aqidah-fekah-tasawwuf dengan ratusan ulama dan ribuan kitab yang tidak boleh ditandingi oleh Naratif Salafiyyah-Wahhabiyyah. Selain dari kekuatan konteks dan asimilasi setempat dan tempatan yang tidak mencetuskan ketegangan, rasa tidak selesa atau konflik remeh, kekuatan tradisi ilmiyyah akidah, fekah dan tasawwuf Naratif Asha’irah-Shafiiyyah-Ghazzaliyyah yang tidak putus-putus juga menjadi satu kelebihan kepada potensi kerelevanan dan kegunaan Naratif ini untuk masadepan umat dan masyarakat Islam bukan hanya di Nusantara malah diseluruh dunia. Mudah-mudahan saranan dan gesaan ini akan menambahkan keyakinan dan keberanian bagi otoriti dan agensi agama Islam di negara kita untuk mengorak-langkah membina dan menjelaskan Naratif Islam yang telah memberi makna dan akan terus memaknai keislaman umat Islam Nusantara.
*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 28)


Sharing is caring

Comments

comments