Sharing is caring

MENUJU DUNIA PASCA-LIBERAL DAN PASCA-LITERAL: BERAKHIRNYA NARATIF DUA NEGARA BERAKRONIM AS
Dr Amran Muhammad
Counter Narrative Centre for Countering Violent Extremism,
Islamic and Strategic Studies Institute
(CONCAVE-ISSI)

Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi (AS) merupakan dua negara yang mencaturkan geo-politik dunia umat Islam sejak terjumpanya emas hitam di Semenanjung Arab dalam tahun 1930an. Kedua negara yang jelas bertentangan ideologi satu Demokrasi Liberal manakala yang satu lagi Teokrasi Literal boleh saling bersefahaman semata-mata bagi memastikan bekalan minyak dunia boleh dikawal demi kepentingan Amerika Syarikat dan bagi menjamin kesinambungan hak penguasaan terhadap Haramain kekal ditangan Arab Saudi yang menjadi sebab keistimewaannya dikalangan negara umat Islam. Bagaimana sebuah negara yang digelar Syaitan dan Dajjal oleh sebahagian umat Islam boleh membuat pakatan dengan Khadam Dua Tempat Paling Suci Islam tanpa mendapat penentangan atau kritikan terbuka dikalangan negara umat Islam adalah suatu yang menakjubkan. Perkembangan mutakhir dikedua-dua AS ini mungkin menandakan Fasa Baru yang lebih menakjubkan dalam perhubungan dan keakraban Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 45 menandakan berakhirnya ideologi atau naratif Amerika Syarikat sebagai sebuah negara Demokrasi Liberal yang meraikan kepelbagaian, toleran dan terbuka kepada semua manusia tanpa mengira ras, budaya dan agama. Dengan Presiden Trump yang jelas bersikap rasis, xenofobik dan Islamofobik, maka hari demi hari kebangkitan fenomena rasisme, xenophobia dan Islamofobia semakin menjadi-jadi. Umat Islam semakin teruk didiskriminasi, golongan Supremasis Kulit Putih seperti Klu Klux Klan menjadi semakin berani dan kaum imigran seperti pendatang Mexico dan lain-lain semakin mendapat tekanan di Amerika Syarikat. Diwaktu yang sama fenomena pembunuhan beramai-ramai menggunakan senjata api juga semakin meningkat dikalangan “home-grown” teroris. Dalam konteks ini, sikap talam dua muka atau hipokrasi Amerika Syarikat bila berdepan dengan apa yang mereka namakan sebagai “Teroris Islam” berbanding dengan “home-grown-local-white” teroris sangatlah menjengkelkan.

Sementara itu di Arab Saudi, perlantikan Putera Muhammad bin Salman atau dikenali sebagai MBS sebagai Putera Mahkota atau Bakal Raja telah mengubah senario politik bukan sahaja di Arab Saudi malah di rantau Timur-Tengah yang masyhur dengan pergolakan yang tidak kunjung padam. Dengan keupayaan MBS melangkau Putera-Putera Keturunan Saud yang lebih tua, beliau telah memperkukuhkan kedudukan beliau demi memastikan tampuk Kerajaan berada ditangan beliau dalam waktu yang tidak berapa lama lagi. Di Timur Tengah, beliau memobilisasikan tentera negara-negara sekutu Arab Saudi menyerang Yaman memasuki tahun ketiga dengan segala kematian, kebuluran dan kemusnahan yang menimpa rakyat Yaman kecil, muda, tua, wanita dan haiwan. MBS juga menjadi perancang utama untuk negara-negara sekutu Arab Saudi memboikot Qatar yang ingin menjadi lebih bebas dari kongkongan Arab Saudi. MBS juga sedang memalu gendang perang tehadap Iran. Yang jelas tindakan-tindakan Arab Saudi lebih menuju kepada tercetusnya pergolakan yang lebih besar dari apa yang kita lihat hari ini di Timur Tengah.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 27)


Sharing is caring

Comments

comments