SIRI 26 – NARATIF NUSANTARA GUNA MEMBENDUNG PENGARUH KEGANASAN ISLAM TIMUR-TENGAH KE RANTAU ASIA TENGGARA

Sharing is caring

NARATIF NUSANTARA GUNA MEMBENDUNG PENGARUH KEGANASAN ISLAM TIMUR-TENGAH KE RANTAU ASIA TENGGARA
Dr Amran Muhammad
Counter Narrative Centre for Countering Violent Extremism,
Islamic and Strategic Studies Institute
(CONCAVE-ISSI)

Dengan satu demi satu bandar yang dikuasai puak Salafi Jihadi/Takfiri DAESH/ISIS dirampas kembali oleh Tentera Syria, dan tidak wujudnya kawasan bergolak berdarah di Timur-Tengah yang lain yang boleh menjadi ‘medan jihad’ baru bagi DAESH/ISIS, maka rantau Asia Tenggara khususnya di Marawi, Selatan Filipina kini menjadi sasaran baru operasi membina ‘Khilafah Islamiah’ ISIS/DAESH. Meskipun sebelum ini telah lama DAESH/ISIS menganggap rantau Asia Tenggara ini sebagai wilayah yang subur bagi proses pengkaderan rekrut-rekrut baru mereka untuk dibawa ke Syria, kini mereka berpeluang secara langsung mengembleng ‘pejuang-pejuang jihad untuk syahid’ di wilayah Tanah Air mereka sendiri di rantau Nusantara! Persoalannya apakah persediaan kita di Alam Nusantara ini bagi menghadapi kemungkinan mala-petaka ini?

Fenomena DAESH/ISIS yang timbul dari latarbelakang ekologi keganasan Islam Timur-Tengah tidak boleh kita ambil mudah apatahlagi jika membiarkannya begitu sahaja. DAESH/ISIS sepertimana dahulunya Al-Qaeda sebagai sebuah organsasi mungkin sahaja telah lumpuh dan berakhir tetapi tasawwur atau faham atau padangan alam Islami Salafi Jihadi dan Salafi Takfiri yang Al-Qaeda wariskan kepada DAESH/ISIS akan terus disebarkan dalam organisasi baru di wilayah baru. Kita umat Islam di Nusantara perlu berusaha keras bagi membendung Fenomena Salafi Jihadi dan Salafi Takfiri dari merebak ke halaman kita yang terkenal sejak dulu sebagai kawasan yang aman damai dari menjadi padang jarak padang terkukur seperti Timur Tengah ketika ini gara-gara keganasan Islam yang berleluasa di sana.

Naratif Salafi Jihadi dan Salafi Takfiri dengan slogan hijrah, taghut, jihad dan jahiliyyahnya adalah Naratif Permusuhan dan Kemusnahan. Bahasa DAESH/ISIS adalah bahasa kehancuran dan keganasan. Naratif kekejaman ini mestilah digantikan dengan Naratif Keamanan dan Kedamaian dengan segera. Naratif Keamanan dan Kedamaian Nusantara ini diasaskan dari ajaran akidah Asha’irah, fekah Syafi’iyyah dan tasawuf Al-Ghazali sejak ratusan tahun dahulu. Naratif Nusantara Asha’irah-Syafi’iyyah-Ghazaliyyah ini jugalah Naratif Imaniyyah, Amaliyyah dan Ruhaniyyah yang berupaya menangkis dan membendung Naratif Salafi Jihadi dan Salafi Takfiri yang bertemakan hijrah, taghut, jihad dan jahiliyyah yang perlu kita gemblengkan dari sekarang disemua peringkat dan lapisan masyarakat di rantau Asia Tenggara khususnya di negara kita Malaysia.
Atas apa hujah dan alasan sekalipun Naratif Salafi Jihadi dan Salafi Takfiri adalah Naratif terbitan ekologi keganasan Islam Timur-Tengah dari sudut sejarahnya, ajarannya dan konteks sosiobudaya masyarakatnya. Naratif Salafi dan Salafi Takfiri adalah Naratif yang sangat asing dan tidak pernah menjadi sebahagian dari kefahaman dan penghayatan Islam di rantau Nusantara. Meskipun mungkin dikatakan ketinggalan zaman, umat Nusantara memiliki akidah Asha’irah yang terkenal dengan sifat 20, umat Nusantara yang diejek bertaklid buta kepada fekah Syafi’iyyah dan umat Nusantara yang berpegang kepada tasawuf Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazali yang banyak terdapat hadis-hadis dhaif dalamnya, jauh lebih aman dan damai dari Islam di Timur-Tengah yang disorak-soraikan sebagai lebih murni-tulin serta Quranic lagi Sunnatic.

Yang jelas Naratif Nusantara Asha’irah-Syafi’iyyah-Ghazaliyyah terbina di atas asas kukuh gabung-jalin epistemologi ilmu nakliyah dan akliah – wahyu dan akal. Akidah Asha’irah memberikan kefahaman tentang wujud dan kewujudan (ontologi) yang memberikan visi kehidupan berhikmah dan berhemah umat Nusantara. Fekah Syafi’iyyah memberikan kefahaman tentang amal ibadah dan muamalat (praksiologi) yang membina tingkah-laku kehidupan beradab dan berbudi pekerti mulia. Tasawuf Al-Ghazali membentuk jiwa nurani yang suci dan murni dengan nilai-nilai terpuji (aksiologi). Ini semua tidak mungkin wujud dalam kefahaman dan penghayatan Islam Naratif Salafi Jihadi dan Salafi Takfiri justeru menghasilkan manusia-manusia tanpa visi jangkapanjang kehidupan, tanpa peradaban dan kebudayaan dan tanpa nilai peri kemanusiaan.

Semua golongan masyarakat dan lapisan penduduk di Tanah Air kita khususnya perlu disedarkan dengan bahaya dan ancaman Naratif Salafi Jihadi dan Takfiri dengan menanamkan semula bibit dan benih Naratif Nusantara Asha’irah-Syafi’iyyah-Ghazaliyyah dalam jiwa-raga mereka secara individu dan kolektif. Kita tidak boleh lagi diperdaya dengan cakap-cakap bahawa Salafi Jihadi, Salafi Takfiri, DAESH/ISIS atau dahulu Al-Qaeda adalah ciptaaan Barat, Amerika Syarikat, Israel dan Zionis untuk menghancurkan umat Islam dari dalam. Hakikat bahawa segelintir umat Islam sendiri menjadi Salafi Jihadi, Salafi Takfiri, DAESH/ISIS atau dahulu Al-Qaeda adalah perkara yang tidak boleh kita nafikan atau selindungkan semata-mata kerana ketidakmampuan kita melihat pelbagai Naratif Islam telah dipersembahkan kepada umat sejak 100 tahun yang lalu.

Terbukti Naratif Nusantara Asha’irah-Syafi’iyyah-Ghazaliyyah adalah Naratif epistemologi, ontologi, praksiologi dan aksiologi ilmiyyah, amaliyyah dan ruhaniyyah yang menjurus kepada pembentukan kehidupan berperadaban yang terbukti memberikan keamanan, kestabilan, kedamaian dan kemakmuran kepada umat Islam di rantau ini sejak ratusan tahun lamanya. Naratif Salafi Jihadi dan Salafi Takfiri tanpa asas-asas ilmiyyah, amaliyyah dan ruhaniyyah dari warisan dan tradisi Islam yang bersambungan ternyata bukan sekadar merosakkan penampilan Islam dimata manusia malah mengakibatkan penderitaan dan kesengsaraan kepada jutaan umat Islam di Timur Tengah. Sudah tibalah masanya untuk umat Islam di Alam Nusantara ini membina dan memperlihatkan keyakinan diri mereka terhadap Naratif Asha’irah-Syafi’iyyah-Ghazaliyyah dengan segala penambahbaiknnya dari menjadi pentaqlid dan pentaksub Naratif Islam Timur-Tengah yang penuh dengan kekerasan dan keganasan terutamanya dalam satu abad yang baru berlalu.

Sekiranya kita boleh mengembalikan dinamika, kekuatan dan keunikan Naratif Islam Nusantara berasaskan Asha’irah-Syafi’iyyah-Ghazaliyyah ini sebagai anti-tesis atau antidot bagi membendung kemaraan DAESH/ISIS atas nama Salafi Jihadi dan Salafi Takfiri, maka kita berpeluang untuk meneruskan kesinambungan rantau ini sebagai wilayah aman, damai dan makmur sepertimana ketika Islam mula diperkenalkan di sini. Menyaksikan kepada kemusnahan dan kehancuran umat Islam Timur-Tengah di tangan DAESH/ISIS, maka umat Islam tidak ada pilihan lain untuk keluar dan selamat dari bala-bencana ini melainkan dengan mencetus dan menyemarakkan semula Naratif Asha’irah, Syafi’iyyah dan Ghazaliyyah yang telah mereka miliki sejak sekian lama.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 26)


Sharing is caring

Comments

comments