Sharing is caring

*ANTARA ENAM KEBERSAMAAN DAKWAH DAN IDEOLOGI NARATIF MODENIS DAN NARATIF SALAFI ABAD KE 20*

(NARATIF NUSANTARA SIRI 22b)

Dr Amran Muhammad

Memahami Logik pemurnian Islam, kembali kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah dan Zaman Salaf

1. Penolakan terhadap akidah Asha’irah dan Maturidiyyah
2. Penolakan terhadap fekah bermazhab yang empat
3. Penolakan terhadap tasawwuf dan tarekat
4. Penolakan terhadap tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam
5. Penolakan terhadap tradisi dan otoriti agama
6. Penolakan terhadap Syama’il dan Mahabbah Rasulullah SAW dalam mempengaruhi kehidupan seharian Muslim

Jika kebersamaan silsilah dan geneologi naratif modenis dan naratif salafi menunjukkan betapa evolusi, mutasi malah hibridisasi kedua-dua naratif ini adalah cetusan fenomena setempat dunia Arab diawal abad ke 20, kebersamaan dakwah dan ideologi naratif modenis dan naratif salafi pula akan menjelaskan bagaimana kedua-dua naratif ini dalam banyak hal berkongsi bentuk, kandungan dan halatuju pemikiran mengenai tajdid dan islah. Dalam konteks ini untuk ke sekian kalinya, Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, Pemberontakan Umat Arab, Kemajuan Sains dan Budaya Moden, Penjajahan Kuasa Barat, Kemunduran politik, ekonomi dan sosial umat serta Keinginan untuk kembali kepada jatidiri dan kemurniaan Islam merupakan faktor-faktor utama yang melatari pembentukan dan kebangkitan dakwah dan ideologi kedua-dua naratif ini.

Sepertimana silsilah dan geneologi naratif modenis dan naratif salafi mengalami evolusi, mutasi dan hibridisasi bergantung kepada pengaruh setempat dan aktivisme tokoh-tokoh penggeraknya, dakwah dan ideologi naratif modenis dan naratif salafi juga memanifestasikan variasi atau kepelbagaian sikap, pegangan, pendirian dan keyakinan mereka terhadap pokok-pokok agama Islam tertakluk kepada ketokohan dan keilmuan nara sumber atau sumber rujukan mereka. Kewujudan variasi juga spesiasi pegangan naratif modenis dan naratif salafi yang mungkin kelihatan bertentangan antara satu sama lain bagaimanapun jika ditelusuri dengan teliti tetap akan menjelmakan kebersamaan pada satu spektrum dan genesis yang sama.

ENAM kebersamaan dakwah dan ideologi naratif modenis dan naratif salafi yang cuba dikemukakan dalam tulisan ini merupakan contoh-contoh klasik lagi ma’ruf atau maklum bagi mereka yang melazimi atau berpengalaman dengan khazanah dan tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terhasil dalam pemikiran dan peradaban Islam sejak hampir 1500 yang lalu. Malah ENAM kebersamaan ini merupakan penolakan atau penentangan sentral naratif modenis dan naratif salafi terhadap naratif Ahli Sunnah Wal Jamaah atas slogan “tajdid dan islah” bagi membuka pintu “ijtihad” dan membasmi “taqlid” dikalangan umat Islam. Hampir keseluruhan masa 100 tahun abad ke 20 dunia umat Islam bukan sahaja dimonopolikan dengan retorik dan polemik ENAM kebersamaan ini malah juga dimomokkan betapa ENAM kebersamaan inilah punca kemunduran dan kejatuhan dunia umat Islam justeru perlu dihindari atau dinyahkan dari diri peribadi umat Islam secara individu dan kolektif.

PERTAMA: Penolakan terhadap akidah Asha’irah dan Maturidiyyah. Akidah Asha’irah dan Maturidiyyah pada dasarnya adalah rasionalisasi dan sistemisasi nakliyyah/khabariyyah (Al-Quran dan Al-Sunnah/Hadith), aqliyyah (akal) juga hissiyah (inderawi) para ulama akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu Asha’irah dan Maturidiyyah terhadap Rukun Iman yang Enam bagi memudahkan umat Islam membina struktur pandangan alam mereka serta menghasilkan keyakinan mengenai hakikat-hakikat kewujudan yang wajib diimani oleh mereka secara mutlak tanpa keraguan. Oleh kerana naratif Modenis dan naratif Salafi menyangka projek kefahaman dan komitmen ontologi keimanan ini dicedok dari pemikiran Yunani serta berbentuk logik dan falsafah, kedua-dua naratif ini menolak dan menentang Akidah Asha’irah dan Maturidiyyah sebagai kufur dan syirik (bagi Naratif Salafi) dan tidak relevan dan ketinggalan zaman (bagi Naratif Modenis) selain dari kedua-dua Naratif menganggapnya sebagai rumit dan menyukarkan kefahaman umat. Akibatnya 100 tahun ini, muslim kehilangan daya kekuatan rasionalisasi dan sistemisasi keimanan serta tandus platform ontologi kehidupan mereka yang boleh dikembangkan kepelbagai dimensi kehidupan yang lain.

KEDUA: Penolakan terhadap fekah bermazhab yang empat. Amalan fekah ibadah dan muamalat berpandukan salah-satu dari empat Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali pada dasarnya juga adalah rasionalisasi dan sistemisasi malah lebih penting pendisiplinan kaedah dan kaifiyat beramal-ibadah-muamalah Rukun Islam yang Lima bagi umat Islam yang dikelilingi dengan kepelbagaian dapatan nas-nas hukum-hakam yang kadang-kala bercanggahan antara satu sama lain. Melalui kekuatan dan kekayaan Ilmu Usul-Fekah, para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dikalangan ahli usul-fekah dan fekah memformulasi pendekatan terbaik dan munasabah bagi mempermudahkan penghayatan amal Islami umat secara konsisten dan koheren bergantung kepada Mazhab tertentu yang mereka ikuti. Oleh kerana Naratif Modenis dan Naratif Salafi menyangka ini kaedah dan kaifiyat fekah bermazhab ini menjerumuskan umat Islam kepada Lembah Taqlid buta dan berbahaya dalam kehidupan beragama, maka umat Islam mestilah keluar dari belenggu Taqlid Mazhab ini dan melaksanakan Ijitihad mereka sendiri. Justeru Naratif Modenis dan Naratif Salafi mencanangkan agar pintu Ijtihad dibuka kepada umat Islam dan bagi Naratif Salafi yang mendapati manhaj dan amalan-amalan dalam Mazhab yang berasaskan kepada pendekatan usul-fekah tertentu sebagai sesat dan bidaah kerana tidak terdapat dalam Al-Qur’an dan Al-Sunnah atau Hadis Sahih. Akibat kini umat Islam berlumba-lumba untuk menjadi ahli hadith dan berpolemik dalam menentukan ketepatan dan kesahihan amal-ibadah-muamalah mereka dan menganggap usul-fekah, Mazhab fekah dan taqlid sebagai tidak lagi relevan bagi mereka.

KETIGA: Penolakan terhadap tasawwuf dan tarekat. Berdasarkan Hadis Jibril yang terkenal yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai kedatangan Jibril mengajarkan agama Islam kepada umat Islam, para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah mengambil gabungan Iman-Islam-Ihsan sebagai binaan lengkap agama Islam melalui Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan sebagai juga Rukun penting bagi kesempurnaan agama dan ini terhasil melalui formulasi ruhaniyyah ahli tasawwuf dan tarekat dikalangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sekali lagi oleh kerana Naratif Modenis dan Naratif Salafi menyangka tradisi tasawwuf dan tarekat berasal dari Yunani, Kristian dan Hindu, kedua-dua Naratif ini menolak keperluan tasawwuf dan tarekat dalam dakwah dan ideologi tajdid dan islah mereka. Dalam konteks ini, Naratif Salafi terus menyesatkan tasawwuf dan tarekat ini sebagai amalan penyembah kubur dan malah mensyirikkan ahli tasawwuf dan tarekat. Akibatnya umat Islam hilang sumber rujukan keruhanian, pembersihan kejiwaan malah terapi psikologi yang telah menjadi bidang kecemerlangan tradisi tasawwuf dan tarekat dan terpaksa bergantung dengan tip-tip motivasi dan psikologi Barat yang rapuh dari sudut kejiwaan apatahlah lagi keagamaan mereka.

KEEMPAT: Penolakan terhadap tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.
Sebelum kemunculan gerakan Naratif Modenis dan Naratif Salafi pada awal abad ke 20 di Timur Tengah, tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam telah berusia lebih 1400 tahun. Khilafah Ummayah, Abassiah, Mogul, Ayubiyyah dan terakhir Uthmaniyyah mewarisi kekayaan khazanah ilmiah, rohaniah dan hadarah yang tiada tanding dari segi kualiti dan kompleksitinya. Islam yang ditinggalkan oleh Uthmaniyyah itu sendiri mengandungi kecanggihan intelektual, spiritual dan fizikal yang tidak boleh diteruskan tanpa persiapan intelektual, spiritual yang mantap. Memandangkan Dakwah dan Ideologi Naratif Modenis dan Naratif Salafi dicetuskan dalam era Kemuncak Penjajahan Barat dan Kemajuan Sains dan Modenisme, tentu sahaja para penggerak awal Dakwah dan Ideologi Naratif Modenis tidak dapat menduga sejauhmanakah keupayaan yang boleh diberikan oleh khazanah dan warisan ini. Justeru mereka tidak memahami kecanggihan khazanah dan warisan ini maka dengan mudahnya pencetus Naratif Modenis dan Naratif Salafi menolak khazanah tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam.

KELIMA: Penolakan terhadap otoriti agama dalam menentukan hal ehwal kehidupan umat.
Tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah menerima otoriti agama sebagai sebahagian penting kehidupan beragama terutamanya dalam hal-hal yang melibatkan peranan dan keputusan yang sewajarnya diserahkan kepada otoriti agama atau pemerintah negara bagi memastika kestabilan dan kesinambungan masyarakat. Justeru itu para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sangat menekankan dimensi Jumhur atau Jamaah dalam penetapan sesuatu hukum atau fatwa bertujuan mengekalkan kestabilan dan kesinambungan masyarakat. Ini termasuklah juga pengambilan uruf (kelaziman budaya setempat) juga adat sebagai sebahagian dari hukum dan fatwa. Naratif Modenis dan Naratif Salafi menolak otoriti dan peranan uruf dan adat dalam menentukan hal ehwal kehidupan beragama umat dengan memilih ijtihad yang jarang didengari atau janggal dalam konteks setempat. Berbekalkan kepada keinginan untuk “ijtihad’ dan pembasmian “taqlid”, Naratif Modenis dan Naratif Salafi khususnya sering-kali tidak bijaksana dalam menangani permasalahan dan kemelut umat dengan menolak peranan otoriti, uruf dan adat dalam kehidupan beragama.
KEENAM: Penolakan Naratif Modenis dan Naratif Salafi terhadap Syama’il (Kesempurnaan) dan Mahabbah (Kecintaan) Rasulullah SAW dalam mempengaruhi kehidupan seharian Muslim.
Nabi Muhammad SAW memiliki kedudukan yang sangat istimewa dalam tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah sesuai dengan Syama’il (Kesempurnaan) baginda yang meliputi sebelum baginda diutuskan menjadi Rasul hatta sebelum baginda dilahirkan di alam nyata dan nanti di alam Akhirat kelak. Kelebihan dari kesempurnaan Rasullullah SAW ini juga dimiliki oleh ahli keluarga dan para sahabat baginda. Tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah juga menekankan dimensi Mahabbah (Kecintaan) kepada baginda SAW bukan sahaja sebagai sebahagian dari Rukun Iman tetapi juga sebagai sumber dan jalan bagi memperolehi rahmah, barakah, nazrah dan syafaah dalam menjalani kehidupan sehari-harian. Bagaimanapun Naratif Modenis dan Naratif Salafi menganggap Nabi Muhammad SAW ini tidak lain dari seorang manusia seperti manusia yang lain, peranan dan kepentingan baginda bermula hanya setelah dilantik menjadi Rasul SAW, dan memandangkan beliau telah wafat, maka umat Islam hanya perlu merujuk kepada tinggalan Al-Sunnah/Al-Hadith yang telah dibukukan dari beliau. Tidak sewajarnya wujud sebarang bentuk pemujiaan, penghargaan atau majlis-majlis yang dianggap sebagai berlebihan-lebihan malah mengagung-agungkan baginda SAW menurut Naratif Modenis dan Naratif Salafi khususnya kerana ini membawa kepada bidaah, syirik dan kesesatan.

Begitulah secara sangat ringkas dan padat bagaimana ENAM Penolakan Naratif Modenis dan Naratif Salafi terhadap apa yang kita kenali sebagai Tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah. Berdasarkan Logik pemurnian Islam, kembali kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah dan Zaman Salaf (300 tahun pertama Islam), mereka meminggirkan 1400 lebih kekayaan dan kekuatan tradisi akidah (epistemologi, ontologi), fekah (praksiologi), tasawwuf (psikologi, aksiologi), kosmologi, etika dan politik Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan harapan membina semula dari sifar/kosong binaan baru Islam dengan merujuk terus dan langsung kepada 300 tahun pertama Islam yang dinamakan Zaman Salaf. Kenaifan dan kedangkalan malah kedegilan juga kesombongan fatal ini khusus dari konteks epistemologi dan pembinaan ilmu menyebabkan umat dan dunia Islam dan umat manusia umumnya kehilangan peluang untuk menikmati keunggulan dan kenikmatan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam tersebut.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*


Sharing is caring

Comments

comments