SIRI 21 – EVOLUSI DAN MUTASI KELOMPOK PENDOKONG NARATIF MODENIS DAN NARATIF SALAFI ABAD KE 20

Sharing is caring

*Evolusi dan Mutasi Kelompok Pendokong Naratif Modenis dan Naratif Salafi Abad ke 20*

(NARATIF NUSANTARA SIRI 21)

Dr Amran Muhammad

Meskipun kelompok pendokong Naratif Modenis (Islam Liberal) sering dianggap sebagai anti-tesis bagi kelompok pendokong Naratif Salafi (Islam Literal), penelitian lebih lanjut bagaimanapun menunjukkan kedua-dua kelompok naratif minoriti tetapi dominan Muslim ini mempunyai susur-galur sejarah yang saling berkait justeru keakraban yang ditunjukkan oleh pemuka-pemuka Naratif Salafi dalam majlis-majlis kelompok Modenis tidaklah menghairankan. Misalnya bila kedua-dua pendokong Naratif Modenis dan Naratif Salafi sentiasa mencanangkan idea-idea Tajdid dan Islah atau Pembaharuan dan Reformasi, atau penggalakkan ijtihad dan penolakan taklid, mengambil Ibnu Taymiyyah dan Muhammad Abduh sebagai ikon dan idola Reformasi, kesemuanya ini adalah contoh-contoh mudah kebersamaan pemikiran antara kedua-dua pendokong Naratif Modenis dan Salafi.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kemunculan fenomena atau gerakan kebangkitan yang mencetuskan Naratif Modenis dan Naratif Salafi ialah fenomena dan gerakan khusus diawal abad ke 20 di Mesir dan di Arab Saudi. Faktor-faktor penjajahan Imperialis Barat, kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah dan kemunculan dakwah Najdiyyah Wahhabiyyah adalah penyumbang utama kepada kemunculan fenomena ini. Justeru penelitian lebih lanjut terhadap Gerakan Politik Pan-Islamisme cetusan Jamaluddin al-Afghani di Mesir, dan Gerakan Dakwah Najdiyyah Wahhabiyyah Ibn Saud dari ajaran Muhammad bin Abdul Wahhab di Arab Saudi akan membantu kita memahami hubungkait evolusi dan mutasi antara kedua-dua Naratif ini.

Pemerhatian terhadap evolusi dan mutasi kelompok pendokong Naratif Modenis dan Naratif Salafi sebaiknya dimulakan dengan melihat peranan Sayyid Jamal al-Din Al-Afghani (1838-1897). Beliau adalah ideolog dan aktivis Islam par excellence, memobilisasikan idea politik Pan-Islamisme bagi membebaskan wilayah umat Islam dari penjajahan. Pendedahan beliau kepada Barat disaat kemuncaknya idea-idea saintisme, rasionalisme dan modenisme disana mempengaruhi penolakan beliau terhadap tradisi keilmuan Islam yang dianggap melemahkan umat Islam. Pemikiran tajdid dan islah Al-Afghani ini dikagumi oleh Shaykh Muhammad Abduh (1849-1905) yang lebih terkenal sebagai tokoh pengasas Modenisme dalam Islam. Seperti juga mentor beliau, Al-Afghani, Abduh melihat betapa saintisme, rasionalisme dan modenisme Barat bakal menyelesaikan kemelut pemikiran umat Islam.

Dari Al-Afghani dan Abduh lahir pula tokoh penting Modenisme iaitu Rashid Rida (1865-1935). Sebagai penerus gerakan tajdid dan islah Al-Afghani dan Abduh, Rida adalah antara tokoh awal menamakan gerakan mereka sebagai Salafi atau Salafiyyun. Justeru Salafiyyun asli bukanlah berasal dari gerakan salafi di Arab Saudi tetapi dari buah pemikiran Al-Afghani dan Abduh melalui Rashid Rida. Beliau juga adalah antara tokoh awal abad ke 20 menulis tentang Negara Islam dan mendokong pembentukan Negara Arab Saudi sebagai model negara Islam. Selain dari dari Rashid Rida, dua tokoh penting yang telah memutasikan dan sekaligus mempopularkan gerakan “Salafi aka Saintisme, Rasionalisme dan Modenisme Abduh” kepada “Salafi aka Najdiyyah Wahhabiyyah” ialah Muhibbudin al-Khateeb (m. 1969) yang lebih terkenal sebagai tokoh penerbit karya-karya salafi dan Nasir al-Din al-Albani (1914-1999) tokoh muhadis salafi yang terpengaruh dengan Rashid Rida.

Apa yang kita ketahui sebagai Salafi dari Arab Saudi hari ini sebenarnya bermula dari gerakan setempat di Najd satu kawasan pedalaman Semenanjung Arab yang lebih dikenali sebagai Dakwah Najdiyyah Wahhabiyyah iaitu penerusan pakatan ideologi politik dan agama berdasarkan ajaran Shaykh Muhammad Abdul Wahhab (1703-1792). Pembentukan Negara Kerajaan Arab Saudi dan penemuan minyak di negara tersebut telah memungkinkan ideologi politik-agama ini dimutasikan menjadi Gerakan Dakwah Salafiyyah yang lebih meluas dan menarik imaginasi umat berbanding dengan Dakwah Najdiyyah Wahhabiyyah yang sempit lagi lokal terutamanya selepas pembentukan Negara Arab Saudi pada tahun 1932 oleh Ibn Saud.

Justeru kefahaman terhadap peranan Rashid Rida yang mewarisi pemikiran Modenisme Al-Afghani dan Abduh yang Rida sendiri menggelarkannya sebagai Gerakan Salafi sangat perlu diperhalusi lebih lanjut lagi tentang bagaimana Gerakan Dakwah Najdiyyah Wahhabiyyah telah diubah atau dimodifikasi untuk mendapat sambutan lebih ramai dikalangan umat Islam. Dalam banyak hal pengaruh Al-Afghani, Abduh dan Rida-lah yang telah memberikan pengisian ilmiah dan kosmopolitan bagi Gerakan Tempatan Dakwah Najdiyyah Wahhabiyyah untuk menjadi lebih sofistikated dan bersifat global (ummatik).

Proses pengukuhan penjenamaan Salafiyyah bagi menggantikan idea asal Dakwah Najdiyyah Wahhabiyyah ini sekali lagi berlaku dalam sekitar tahun 1950an melalui peranan dan sumbangan yang diberikan oleh aktivis-aktivis Gerakan Ikhwan al-Muslimun Mesir yang diberi perlindungan politik oleh Kerajaan Arab Saudi dari tekanan dan kezaliman Regim Presiden Jamal Abdul Naser. Malah boleh dikatakan Kerajaan Arab Saudi yang negara dan masyarakatnya baru membangun dari kekayaan hasil minyak bergantung kepada kepakaran dan profesionalisme aktivis-aktivis Ikhwan al-Muslimun dalam sektor pentadbiran dan pendidikan khususnya. Ramai tokoh-tokoh Ikhwan Muslimun termasuklah Muhammad Qutb iaitu abang kepada Syed Qutb mendapat perlindungan di Arab Saudi. Begitu juga kemudiannya dengan aktivis-aktivis Jamaat Islami Pakistan yang melarikan diri dari tekanan dan kezaliman Regim Presiden Muhammad Ayub Khan dan Zulfikar Ali Bhutto juga mendapat perlindungan dari Kerajaan Arab Saudi.

Hasil dari interaksi antara aktivis-aktivis gerakan Islam Ikhwan Muslimun dan Jamaat Islami, maka Gerakan Salafiyyah aka Najdiyyah Wahhabiyyah memperolehi sentuhan dan olahan salafiyyah yang lebih ummatik dan global sekaligus mengikis persepsi negatif terhadap gerakan sifat tertutup Dakwah Najdiyyah Wahhabiyyah. Selepas Krisis Minyak OPEC pada tahun 1970an dengan limpah-ruahnya hasil jualan minyak Arab Saudi, maka Petrodollar menjadi engin dan pelincir bagi penyebar-luasan malah propaganda Salafiyyah Najdiyyah Wahhabiyyah keseluruh pelusuk dunia termasuklah Negara kita dengan segala bentuk bantuan dan pertolongan serta agensi, organisasi dan institusi yang tertawan oleh Gerakan Dakwah Salafiyyah yang kini bersifat global.

Kemudiannya, bagi menandingi propaganda Shiah pasca-Revolusi Khomeini Iran dan penglibatan langsung Arab Saudi dan Amerika Syarikat membantu Mujahidin Afghanistan melawan pendudukan Soviet di Afghanistan, maka Era Globalisasi Dakwah Salafiyyah pun menjadi lebih intensif dan ekstensif dengan Arab Saudi menjadi hub utama membiayai dan melaksanakan aktiviti-aktiviti penyebarluasan Naratif Salafi keseluruh dunia. Sepertimana dahulunya idea-idea Rashid Rida dimutasikan oleh Dakwah Najdiyyah Wahhabiyyah dan nama beliau dimarginalisasikan dalam Dakwah Salafiyyah Semasa, kini Gerakan Ikhwan Al-Muslimun juga menerima nasib yang sama. Setelah sekian lama idea-idea dan aktivis-aktivis Ikhwan Al-Muslimun dieksploitasi bagi menjayakan Dakwah Salafiyyah, kini Gerakan Ikhwan Al-Muslimun itu diharamkan dan dianggap sebagai Teroris oleh Kerajaan Arab Saudi.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*


Sharing is caring

Comments

comments