SIRI 18 – AKAL, TRADISI DAN DISIPLIN ILMU PAKSI PEMBINAAN NARATIF UMMAH

Sharing is caring

*Akal, Tradisi dan Disiplin Ilmu Paksi Pembinaan Naratif Ummah*
(NARATIF NUSANTARA SIRI 18)
Dr Amran Muhammad
Al-Qur’an dan Al-Sunnah sepertimana yang terbukti dalam pengalaman dan sejarah umat Islam bukan sahaja menjadi sumber inspirasi, motivasi, modus-operandi dan SOP mengatur kehidupan mereka tetapi juga membina peradaban ilmu yang berupaya menghidupkan semula hikmah silam yang lama terpendam (Peradaban Yunani) dan mengeluarkan kehidupan manusia di Eropah dari Zaman Kegelapan mereka. Al-Qur’an dan Al-Sunnah dalam pengertiannya yang sebenar adalah sumber pembinaan dan kekuatan dimensi psikologi, etika dan politik kehidupan manusia dengan segala dimensi-dimensi yang terbit dari ketiga-tiga dimensi asas ini.
Malangnya hari ini, para ulama’, umara’ dan umat Islam lebih mengambil Al-Qur’an dan Al-Sunnah sebagai slogan dan retorik kehidupan bukan sebagai budaya ilmu dan inisiatif peradaban. Para ulama’, umara’ dan umat Islam Islam lebih selesa memetik potongan-potongan Al-Qur’an dan Al-Sunnah bagi mencantikkan ceramah dan kuliah agama berbanding menjadikan Al-Qur’an dan Al-Sunnah sebagai titik-tolak penyelidikan saintifik dan kajian ilmiah. Malah lebih malang, terdapat segolongan yang lebih menumpukan kepada pengambilan Al-Qur’an dan Al-Sunnah sebagai sumber perbalahan dan perpecahan sesama umat.
Selagi para ulama’, umara’ dan umat Islam enggan menerima kenyataan bahawa Al-Qur’an dan Al-Sunnah mestilah difahami sebagai asas dan teras kepada pembinaan ilmu dan peradaban, selagi itulah ulama dan umat Islam akan disibukkan dengan polemik khilafiyyah (perbedaan pendapat) dan furu’iyyah (perkara rantingan) tentang pengamalan keislaman. Para ulama’, umara’ dan umat Islam mestilah berjiwa besar dan berani menyahut cabaran jihad ilmu dan jihad maknawi yang lebih utama dalam kehidupan semasa iaitu jihad ilmu meliputi cabaran pemikiran akidah, perlaksanaan syariah dan penyempurnaan akhlak dalam konteks keilmuan dan peradaban kontemporari Barat Moden Global.
Berdepan dengan cabaran pemikiran dan peradaban kontemporari Barat Moden Global yang menggabungjalinkan aliran-aliran sekularisme, liberalism, kapitalisme, sosialisme, atheisme, pascamodenisme, humanrightisme dan lain-lain isme, para ulama’, umara’ dan umat Islam mesti berupaya membina counter-narrative atau naratif alternatif mereka jika tidak mahu ditelan oleh naratif-naratif Barat Moden Global yang rencam lagi merosakkan ini. Tanpa persediaan sebuah gagasan Naratif tersendiri terlebih dahulu, para ulama’, umara’ dan umat Islam akan terus menerus disibukkan dengan pendekatan fire-fighting atau memadam kebakaran menghadapi satu demi satu kemunculan isme-isme yang mewakili Naratif Barat Moden Global.
Bagi menanggapi Naratif Barat Moden Global secara ilmiah lagi strategik, para ulama’, umara’ dan umat Islam mestilah terlebih dahulu memahami paksi-paksi yang membina Naratif Barat Moden Global itu sendiri sebagai lanjutan dan lompatan yang sebenarnya juga berasal dan berasas dari Peradaban Islam yang juga dalam beberapa hal mengambil manfaat dari Peradaban Yunani. Ketiga-ketiga Peradaban Yunani, Islam dan Barat ini memiliki persamaan dari segi pemilikan paksi penggunaan akal, penerusan tradisi dan penjanaan disipilin ilmu. Paksi-paksi akal, tradisi dan disipilin ilmu inilah yag menjadi pencetus, penggerak dan penyambung keberadaan dan keberkesanan Peradaban-Peradaban ini termasuklah Peradaban Islam.
Jika kita perhati dan teliti, disebalik kebobrokan Peradaban Barat dan riuh-rendah para ulama’, umara’ dan umat Islam bahawa Peradaban Barat sedang menuju kehancuran, Peradaban Barat khususnya Barat Moden Global hari ini terus sahaja mengungguli persada dunia dalam segala dimensi. Begitu juga disebalik teriakan slogan dan retorik kemunculan Peradaban Baru Islam dan gembar-gembur para ulama’, umara’ dan umat Islam bahawa Peradaban Islam akan menggantikan Peradaban Barat, impian dan harapan ini masih belum menjadi kenyataan dalam hayat kehidupan umat Islam semasa.
Peradaban Barat Moden Global berupaya mendominasi perjalanan dan kehidupan dunia kerana mereka masih menguasai kekuatan akal-rasional, komited kepada idealisme tradisi keilmuan mereka dan bersungguh dalam pembinaan disiplin ilmu-ilmu baru sains, organisasi dan teknologi. Diwaktu yang sama, para ulama’, umara’ dan umat Islam tidak serius terhadap penelitian pengunaan akal-budi secara optimum, tidak komited kepada pengembalian kepada tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadun Islam yang masih relevan, dan lebih selesa menjadi pengguna disiplin ilmu-ilmu Barat Moden Global secara semberono, naïve dan tidak kritikal.
Peradaban Barat Model Global tidak mungkin boleh tumpas atau ditandingi hanya dengan slogan dan retorik keistimewaan dan kesempurnaan Al-Qur’an dan Al-Sunnah. Peradaban Barat Moden Global tidak mungkin terusik atau tercabar selagi para ulama’, umara’ dan umat Islam terus kekal sebagai para pengguna ilmu dan pencapaian Barat par excellence dan tidak berupaya mengemukakan Naratif alternatif bagi menggantikan paksi-paksi akal, tradisi dan disiplin ilmu Barat itu sendiri. Pembinaan Naratif baru ummah yang menggabungjalinkan antara Al-Qur’an dan Al-Sunnah, pengunaan akal, penerusan tradisi dan pembinaan disiplin ilmu-ilmu barulah yang akan berupaya mengganggu-gugat Naratif Barat Moden Global.
Kemunculan Pascamodenisme yang kononnya menolak segala bentuk naratif besar (grand narrative) sebagai anak atau produk utama Barat Moden Global masih tidak sama sekali menjejaskan induknya Naratif Barat Moden Global yang naratif besarnya bersifat anti-Tuhan, anti-Agama, anti-Kebenaran dan anti-Nilai. Usaha-usaha mengembalikan Tuhan Yang Esa, Agama yang hakiki, Kebenaran dan Nilai yang mulia untuk umat manusia Islam dan Bukan Islam sudah tentunya menjadi bahagian penting dalam Naratif Ummah ini. Bagaimanapun kandungan utama Naratif ini memerlukan bekalan dan persediaan paksi-paksi akal-budi, tradisi silam, disipilin ilmu untuk diformulasasikan.
Akhirnya sudahbarangpasti, projek pembinaan Naratif Islam untuk ummah diabad ke 21, yang tentunya bersifat lokal, nasional, regional dan global adalah projek ontologi, epistemologi dan aksiologi pada tahap tinggi sesuai dengan ketinggian Agama Islam itu sendiri. Mengurangkan Agenda Islam dari Agenda Ilmu dan Peradaban adalah satu kezaliman terhadap hakikat agama yang merubah pemikiran dan kehidupan manusia sejak mula Islam diturunkan. Sekiranya Naratif Pemikiran dan Peradaban Barat Moden Global ingin digantikan dengan Naratif Islam tanpa penggantian hakiki terhadap struktur dan sistem ontologi, epistemologi dan aksiologi Barat kepada struktur dan sistem ontologi, epistemologi dan aksiologi Islam, para ulama’, umara’ dan umat Islam akan berkekalan berslogan dan beretorik tentang kebobrokan Barat dan keindahan Islam seperti yang sedang berlaku ketika ini dan sampai bila-bila!

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*


Sharing is caring

Comments

comments