SIRI 16 – MENGAPA TAJDID DAN ISLAH IMAM AL-GHAZZALI SENTRAL DAN RELEVAN UNTUK UMAT ISLAM PADA ABAD KE 21 INI?

Sharing is caring

*MENGAPA TAJDID DAN ISLAH IMAM AL-GHAZZALI SENTRAL DAN RELEVAN UNTUK UMAT ISLAM PADA ABAD KE 21 INI?*

(NARATIF NUSANTARA SIRI 16)

Dr Amran Muhammad

Meskipun Imam Al-Ghazzali RA digelar sebagai Hujjatul Islam (Hujjah bagi kebenaran agama Islam) dan Mujaddid (Pembaharu agama) pada zaman beliau, dunia dan umat Islam khususnya pada abad ke 20 secara umumnya tidak mengangkat beliau sebagai tokoh tajdid (pembaharuan) atau islah (pembaikan) berbanding seorang-dua tokoh yang lebih retorikal, radikal malah kontroversial pendekatan mereka. Tokoh-tokoh pemikir dan penggerak umat Islam abad ke 20 lebih senang dan selesa menanggap usaha-usaha Tajdid dan Islah sebagai usaha-usaha politik dan dakwah berbanding usaha-usaha ilmu dan peradaban. Akibatnya selama hampir 100 tahun kebelakangan ini agenda politik dan dakwah yang sebenarnya lebih cenderung kepada persoalan hukum-hakam agama mendominasi pemikiran dan pergerakan umat Islam berbanding dengan persoalan pembinaan ilmu-ilmu baru yang kompetitif dalam membina kehidupan duniawi serta menghadapi cabaran peradaban Barat semasa.

Justeru sekarang ini umat Islam masih terus-terusan berpolemik tentang hukum-hakam agama dalam hal-hal perbedaan pendapat (khilafiyyah) dan hal-hal ranting atau cabang hukum (furu’iyyah) tanpa mengetahui yang mana patut diutamakan dalam konteks cabaran ilmu dan peradaban semasa yang sedang melanda umat. Masih lagi umat Islam bertelingkah tentang persoalan hadis dhaif dan palsu, hukum-hakam fekah dan hal-hal kaedah (kaifiyat) peribadatan yang secara umumnya telah diperhalusi dan dikerangkakan dengan kaedah-kaedah tertentu (usul-fekah) oleh para ulama sebagai panduan umat Islam dari masa ke semasa. Hari demi hari perbalahan perbedaan hukum-hakam ini menjadikan umat dalam kekeliruan malah akhirnya timbul kebosanan tentang sifat dan hakikat sebenar kehidupan beragama. Jika diteliti polemik hukum-hakam, fekah dan hadis yang berlaku jelas didasari oleh keinginan untuk menyebarluaskan ideologi politik dan propaganda dakwah tertentu yang asing dalam tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam perdana.

Imam Al-Ghazzali RA sebaliknya tidak menanggap Tajdid dan Islah sebagai agenda politik dan dakwah yang sempit malah beliau menyedari bahaya Tajdid dan Islah yang sebegini tidak akan membawa umat Islam kepada keadaan yang lebih baik dari mana mereka bermula. Imam Al-Ghazzali RA faham benar bahaya dan bahana kemelut dan polemik hukum-hakam yang menyesakkan kehidupan umat yang didatangi oleh para ulama suk (oportunis) dan ulama souq (komersial) di zaman beliau. Justeru beliau menghasilkan karya agung Ihya Ulumuddin (Menghidupkan Ilmu-Ilmu Agama) yang bermaksud kefahaman dan penghayatan agama Islam dan ilmu-ilmu Islam di zaman beliau sudah rosak atau tersasar dari sifat dan hakikat beragama itu sendiri. Dalam ertikata yang yang lain penghayatan Islam dan ilmu-ilmu Islam dalam sifat dan hakikatnya yang sebenar sudah mati apabila agama dan ilmu-ilmu agama dijadikan alat untuk mengembangkan ideologi politik dan propaganda dakwah kumpulan masing-masing.

Tajdid dan Islah menurut Imam Al-Ghazzali RA mestilah dimulakan perubahan dalam diri insan itu sendiri. Justeru Tajdid dan Islah bermula dengan projek Psikologi bukan projek Politik sepertimana yang dilakukan oleh tokoh-tokoh Tajdid dan Islah abad ke 20. Tajdid dan Islah sebagai Projek Psikologi kemudiannya Projek Etika dan akhirnya Projek Politik adalah satu strategi jangkapanjang yang akan membina ketahanan dan kelangsungan umat Islam. Jadi tidak menghairanlah dewasa ini bila kita mendapati kelemahan yang besar dari dimensi Psikologi dan Etika Tajdid dan Islah berdasarkan Politik dan Dakwah abad ke 20. Tajdid dan Islah Imam Al-Ghazzali RA seperti yang beliau lakarkan dalam Ihya Ulumuddin jelas menunjukkan persoalan psikologi dan etika seperti faham hakikat insan dan hati, tazkiyah atau pembersihan jiwa, keperluan sifat mahmudah dan penghapusan sifat mazmumah merupakan asas pokok dalam perlaksanaan Politik.

Melihat kepada kegagalan yang fatal bagi agenda Tajdid dan Islah Politik dan Dakwah abad ke 20 yang mengabaikan strategi yang telah diambil oleh tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam iaitu tertib atau aturan Psikologi kemudian Etika dan akhirnya Politik, maka sudah sampai masanya umat Islam merujuk dan mengangakat semula Imam Al-Ghazzali RA dalam merangka semula gerak-kerja kebangkitan mereka di abad ke 21 ini. Mengapa perlu umat Islam mengulangi kesalahan dan kesilapan hampir seratus tahun mereka semata kerana menyangka itulah satu-satunya maksud dan manhaj Tajdid dan Islah yang mereka patut anuti. Tajdid dan Islah dunia umat Islam yang tidak merujuk kepada khazanah dan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang panjang jelas tidak memberikan apa-apa manfaat besar kepada umat Islam hari ini melainkan hanya kekeliruan dan perpecahan.

Imam Al-Ghazzali RA mengajak dan memandu dunia umat Islam kepada Tajdid dan Islah Ilmu dan Peradaban yang lebih besar merangkumi juga hukum-hakam, fekah dan hadis. Bagaimanapun Tajdid dan Islah Imam Al-Ghazzali bersifat holistik dan menyeluruh melihat Insan sebagai entiti Psikologi yang perlu di Tajdid dan di Islahkan secara dalaman dan individu terlebih dahulu sehingga proses pembaikannya terserlah pada Etikanya sebelum dia berkecimpung dalam dunia Politik. Semua isu yang dipermasalahkan dalam dunia politik hari ini seperti integriti, rasuah, tamak, salah-guna kuasa, hasad-dengki dan seumpamanya adalah persoalan ETIKA dan lebih asasi ialah persoalan PSIKOLOGI bukan persoalan POLITIK per se. Dalam ertikata yang lain cubaan demi cubaan untuk memperbaiki situasi politik umat atau usaha-usaha Tajdid dan Islah umat tanpa dimulakan dengan memperbaiki diri-individu atau usaha-usaha Tajdid dan Islah Psikologi dan Etika terlebih dahulu tidak akan mengeluarkan umat dari Putaran Ganas Syaitan Politik.
Kesedaran dan keinsafan terhadap formulasi dan artikulasi baru Tajdid dan Islah sangat diperlukan dalam konteks kecelaruan dan kekeliruan bukan sahaja Politik dan Dakwah malah dalam pelbagai dimensi kehidupan manusia Islam dan bukan Islam. Imam Al-Ghazzali RA jelas menempatkan diri beliau sebagai Mujaddid dan Muslih yang konstruktif dengan agenda Psikologi, Etika dan Politik beliau yang sistematik seperti yang diungkapkan dalam Ihya Ulumuddin. Ada tokoh-tokoh Tajdid dan Islah yang hanya bersifat destruktif tanpa menyediakan modus operandi Psikologi, Etika dan Politik yang jelas untuk diikuti oleh umat. Dalam konteks ini Tajdid dan Islah Imam Al-Ghazzali yang kontsruktif menjadi lebih sentral dan relevan dalam menghadapi kemelut abad ke 21 berbanding dengan Tajdid dan Islah yang bersifat destruktif semata-mata tanpa panduan yang jelas dari sudut Psikologi Insan dan Etika Kehidupan.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*


Sharing is caring

Comments

comments