SIRI 15 – LIMA PRINSIP EKOLOGI KEAMANAN BERASASKAN EKOLOGI KEIMANAN UMAT ISLAM DI NUSANTARA YANG PERLU DIPERTAHAN DAN DIKEMBANGKAN

Sharing is caring

LIMA PRINSIP EKOLOGI KEAMANAN BERASASKAN EKOLOGI KEIMANAN UMAT ISLAM DI NUSANTARA YANG PERLU DIPERTAHAN DAN DIKEMBANGKAN
(NARATIF NUSANTARA SIRI 15)

Dr Amran Muhammad

Bagi rakyat Malaysia yang telah turun-temurun menjalani kehidupan dalam keadaan aman-damai, “persekitaran atau ekologi keamanan” biasanya diambil mudah sebagai barang yang pasti dan datang dengan sendiri. Kita sebagai rakyat Malaysia bertuah kerana untuk jangkamasa yang lama sejak mencapai kemerdekaan, negara ini terus-menerus berjaya mengekalkan keamanan tanpa menghadapi peristiwa-peristiwa besar yang boleh mengganggu-gugat situasi aman-damai ini kecuali dalam satu-dua peristiwa yang boleh dibilang jari. Bagaimanapun, dalam konteks perkembangan geo-politik semasa yang tidak menentu; pengaruh media sosial yang boleh mengkucar-kacirkan masyarakat; dan pelbagai gerakan anarkis malah teroris yang bersifat global, “persekitaran atau ekologi keamanan” ini mestilah diteliti dan diberi perhatian serius oleh rakyat negara ini.

Rakyat Malaysia mungkin tidak menyedari Ekologi Keamanan yang kita nikmati selama ini bukanlah muncul secara tiba-tiba atau spontan tetapi Ekologi Keamanan ini terhasil sebagai satu proses pembelajaran dan pengalaman sejarah, budaya dan etika umat Islam di sini berinteraksi dengan persekitaran fizikal dan spiritual termasuk juga kaum, budaya dan agama lain dalam kehidupan mereka untuk menepati atau selari dengan ajaran agama Islam itu sendiri. Justeru Ekologi Keamanan umat Islam di sini, di rantau Nusantara ini khususnya di Malaysia tidak mungkin terpisah dari kefahaman dan penghayatan terhadap hakikat dan matlamat Keimanan menurut pandangan Islam itu sendiri. Malah secara terbalik pembentukan Ekologi Keimanan dalam jiwa-raga umat Islam di Malaysia inilah yang lebih dahulu terbentuk dan kemudiannya mencetuskan penzahiran atau manifestasi Ekologi Keamanan yang rakyat Malaysia Islam dan bukan Islam turut sama mengecapinya.

Dalam membicarakan Ekologi Keamanan Malaysia yang sebenarnya terhasil dari Ekologi Keimanan Umat Melayu Islam terdapat sekurang-kurangnya LIMA prinsip utama yang perlu dipertahan dan dikembangkan oleh umat Islam Malaysia diperingkat yang lebih global iaitu; PRINSIP-PRINSIP – 1)INTEGRITI; 2)KREDIBILITI; 3)NEUTRALITI; 4)IDENTITI; dan 5)FLEKSIBILITI. Kelima-lima prinsip yang membina Ekologi Keamanan Malaysia khususnya dan Nusantara amnya ini sewajarnya difahami, dihargai malah dihayati terlebih dahulu oleh mana-mana pihak yang ingin mengemukakan sebarang bentuk pendekatan, model atau naratif keamanan yang melibatkan wilayah dan daerah ini kerana ditakuti pendekatan, model atau naratif baru yang ingin diperkenalkan akan menjejaskan atau merosakkan Ekologi Keamanan yang sedia terbina lama sejak turun-temurun disini.

PRINSIP INTEGRITI – Sebagai sebuah negara, umat Islam di Malaysia terbukti dan berjaya membuktikan bahawa mereka adalah umat aman-damai dan tidak suka kepada peperangan dalam sejarah mereka bernegara. Ini adalah syarat penting sebagai menegaskan kewibawaan atau INTEGRITI kita secara tabi’inya atau menjadi habit asasi kita cenderung dan cinta kepada keamanan, perdamaian dan keharmonian dan benci kepada keganasan, peperangan dan pertempuran. Umat dan Negara yang sejarah tubuhnya penuh dengan penjajahan, perang dengan negara lain, perang saudara, pembunuhan sesama pemimpin dan pertumpahan darah antara satu sama lain yang tidak berkesudahan tidak mempunyai kewibawaan atau INTEGRITI untuk mencipta atau membina Ekologi Keamanan sama ada diperingkat lokal, nasional dan global. Sangat sukar bagi negara dan umat yang tidak memiliki INTEGRITI keamanan ini untuk berhasrat menjadi pengaman atau pencetus dan pendokong keamanan.

PRINSIP KREDIBILITI – Negara dan umat Islam di Malaysia bukan sekadar bercakap atau berbicara mengenai keamanan sebagai mainan lidah dan retorik politik semata-mata seperti setengah negara dan umat tertentu tetapi negara dan umat Islam di Malaysia telah menghayati dan melaksanakan agenda dan proses keamanan. Negara dan umat Islam di Malaysia terlibat langsung dalam agenda dan proses keamanan dipelbagai wilayah di rantau ini seperti di Wilayah Patani, Selatan Thailand, Wilayah Mindanao, Selatan Filipina dan Wilayah Acheh di Indonesia. Penglibatan dan sumbangan langsung Malaysia dalam agenda dan proses keamanan di wilayah-wilayah ini memberikan KREDIBILITI yang tinggi yang tidak ada pada setengah negara untuk “walk the talk” seperti Malaysia malah setengah negara tersebut seperti ayam yang hebat berkokok tetapi ekor bergelumang najis.

PRINSIP NEUTRALITI – Negara dan umat Islam di Malaysia terkenal sebagai komuniti dan individu yang neutral, objektif, toleran, bertasamuh atau bertolak ansur dengan orang lain – pra-syarat utama yang penting kepada keberkesanan dan kejayaan agenda dan proses keamanan. Sifat dan sikap sebegini adalah sangat asing bagi setengah Negara dan umat tertentu yang gemar bertelagah dan menyanggah orang lain. Negara dan umat Islam di Malaysia terbukti disenangi oleh pelbagai masyarakat umat Islam diseluruh dunia atas kelembutan tingkah-laku dan adab kesopanan mereka dalam berinteraksi dengan orang-orang lain. Prinsip NEUTRALITI yang sedia tersemat disanubari dan jiwa-raga umat Islam di Malaysia sebagai manifestasi pegangan akidah Islam Asha’irah yang wasatiyyah itu yang menekankan dimensi pertengahan dalam keimanan jelas sekali menjadi kelebihan dan keunikan bagi umat Islam Nusantara berbanding umat Islam ditempat lain.

PRINSIP IDENTITI – Negara dan umat Islam di Malaysia dalam ratusan tahun sejarah arus perdana kefahaman dan penghayatan Islam mereka telah dicorakkan oleh pegangan akidah Asha’irah, amalan fekah Syafi’iyyah dan tasawuf Ghazzaliyyah. Gabungan sinergi atau hibridisasi akidah-fekah-tasawuf wasatiyyah ini membentuk jati-diri umat Islam Malaysia sekaligus merupakan IDENTITI utama yang melatari pembentukan Ekologi Keamanan mereka. Gabungan Iman, Islam dan Ihsan sebegini hasil dari lebih seribu tahun tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang dinikmati oleh umat Islam di Malaysia secara tidak sedar ini merupakan antara faktor utama yang membentuk sifat dan sikap pencinta keamanan dalam hati-nurani dan budi-pekerti mereka. Malangnya setengah negara dan umat Islam tidak mendapat rahmat dan nikmat keindahan dan kemanisan gabungan Iman, Islam dan Ihsan seperti negara dan umat Islam di Malaysia, justeru mereka tidak memiliki satu identiti dalam membina ekologi keamanan.

PRINSIP FLEKSIBILITI – Negara dan umat Islam di Malaysia juga sangat terbuka, inklusif, akomodatif dan “empathy” dalam menanggap sesuatu persoalan dan permasalahan perhubungan antara masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama. FLEKSIBILITI yang ada pada diri-diri umat Islam di Malaysia itulah yang menyebabkan mereka boleh hidup bersama dengan masyarakat berlainan agama dengan aman-damai sejak sekian lama. FLEKSIBILITI dikalangan umat Islam di Malaysia menjadikan mereka mudah untuk menyesuaikan diri dalam menanggapi cabaran pemikiran dan peradaban semasa sekaligus memudahkan perhubungan dengan dengan masyarakat global untuk membina keamanan sejagat.

Kelima-lima prinsip ini, 1)INTEGRITI; 2)KREDIBILITI; 3)NEUTRALITI; 4)IDENTITI; dan 5)FLEKSIBILITI meskipun sekadar dikemukakan dengan ringkas dan padat sepatutnya memberikan gambaran yang jelas terhadap kebolehupayaan Negara dan umat Islam di Malaysia membina Ekologi Keamanan yang unik, istimewa dan tersendiri dan tidak mudah-mudah terikut-ikut atau terpesona dengan pendekatan, model dan naratif keamanan pihak-pihak luar lebih-lebih lagi dari negara dan umat yang tidak memiliki kelebihan kelima-lima prinsip Ekologi Keamanan yang dikemukakan. Yang pasti, Negara dan umat Islam di Malaysia memahami dan menghayati Keamanan sebagai ekologi yang interaktif dalam satu sistem kehidupan hasil dari Ekologi Keimanan yang mereka perolehi dari ajaran Islam di Nusantara; bukan sekadar propaganda dan retorik politik perluasan pengaruh dan ideologi negara dan umat tertentu.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*


Sharing is caring

Comments

comments