Sharing is caring

* PERANAN ORANG-ORANG AGAMA DALAM KEMELUT POLITIK-EKONOMI-SOSIAL SEMASA*

(NARATIF NUSANTARA SIRI 14)

Dr Amran Muhammad

Keresahan politik, kebimbangan ekonomi dan kerapuhan sosial yang sedang melanda Tanah Air ketika ini meletakkan umat dalam keadaan tidak menentu serta hilang punca pertimbangan dan perjuangan kehidupan mereka. Orang-orang politik yang sangat diresapi oleh pendekatan Macheavellianisme ‘matlamat menghalalkan cara’, golongan peniaga dan pedagang yang kuat dipengaruhi dengan ketamakan Kapitalisme ‘memaksimumkan keuntungan selagi yang boleh’, dan masyarakat awam yang senang diperdaya oleh retorik dan propaganda Liberalisme dan Populisme tentang kebebasan, hak asasi manusia, penolakan terhadap otoriti dan tradisi, kesemuanya ini mengacu kepada resepi kehancuran kepada mana-mana umat termasuk kita di Tanah Air tercinta ini jika tidak sekarang mungkin dalam waktu terdekat ini.

Kemelut atau krisis politik-ekonomi-sosial umat yang parah di Tanah Air ini tidak mungkin boleh diselesaikan sekiranya orang-orang agama terus-menerus mempergiatkan program-program taranum al-Qur’an di kaca TV atau pun memperbanyakkan pusat-pusat tahfiz al-Qur’an di Tanah Air. Keindahan wahyu al-Qur’an memang terserlah melalui kemerduan bacaan para qurra’ atau kelebihan rahsia al-Qur’an memang dimiliki oleh para huffaz yang menghafalnya. Bagaimanapun adalah lebih utama untuk umat pada hari ini tua dan muda untuk memahami dan menghayati pandangan hidup/tasawwur/weltanschuung al-Qur’an itu sendiri tentang sifat-sifat akidah dan akhlak Qur’aniyyah yang tidak mungkin diperolehi hanya melalui taranum-kemerduan bacaan dan tahfiz-penghafalan ayat-ayat seperti yang kita saksikan pada ketika ini tanpa keupayaan/kompetensi analisis, penghuraian, pencernaan, sintesis dan sistemisasi kandungan al-Qur’an dalam kehidupan sehari-harian.

Begitu juga sekiranya orang-orang agama asyik bertelagah dan berbalah tentang kesahihah hadis Rasulullah SAW dan hukum fekah antara Mazhab. Asyik membangkitkan tentang isu-isu tentang yasin, tahlil, qunut dan talqin, tentang cara solat nabi, tentang bidaah, tentang hadis palsu dan seumpamanya. Maka ia bukan sahaja tidak akan menyelesaikan kemelut atau krisis parah politik, ekonomi dan sosial umat, malah orang-orang agama menambahkan pula kemelut dan krisis baru keagamaan dalam kehidupan umat yang sedia resah, bimbang dan rapuh dan kini menjadi keliru dan tidak pasti tentang kebenaran ajaran-ajaran agama mereka sendiri. Tiada sesiapa pun dikalangan orang Islam yang faham agamanya akan mengenepikan keperluan kepada ketelitian dalam hadis/Sunnah dan fekah, tetapi mengheret malah lebih bahaya menghasut umat kepada persengketaan khilafiyyah dan furu’iyyah ini hanya akan menjauhkan umat dari memupuk perasaan Mahabbah Rasulullah SAW juga Kecintaan sesama saudara seIslam yang sebenarnya menjadi tujuan utama dari hadis/sunnah dan fekah dan ubudiyyah/peribadatan itu sendiri.

Orang-orang agama harus sedar dan insaf bahawa Islam adalah Agama Peradaban untuk umat manusia bukan hanya untuk umat Islam semata-mata (Rahmatan lil Alamin). Islam adalah Agama Keilmuan, Kerohanian dan Ketamadunan yang tidak mungkin boleh dibina dengan sekadar melalui komponen-komponen taranum, tahfiz, hadis/Sunnah dan fekah yang sempit semata-mata. Kefahaman dan penghayatan al-Qur’an dan al-Hadis/Sunnah yang lebih menyeluruh dan bersepadu merentas disiplin yang telah dibina dalam tradisi kesarjanaan Islam sejak dari Zaman Rasulullah SAW melebihi 1400 tahun ini perlulah digarap dengan penuh amanah oleh orang-orang agama.

Keluasan dan kedalaman kefahaman al-Qur’an dan al-Hadis/Sunnah tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam dalam membina pandangan hidup/tasawwur/weltanschauung umat tidak boleh disempitkan oleh orang-orang agama semasa hanya kepada persoalan taranum/tahfiz/hadis/fekah semata-mata. Ketidakupayaan atau ketidakmampuan orang-orang agama semasa untuk mengapresiasi atau memahami khazanah dan warisan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang unggul dan kompleks itu tidak sama sekali membolehkan orang-orang agama mengambil pendekatan short-cut atau jalan-pintas atau simplistik bagi menutup kelemahan dan kekurangan mereka. Malah orang-orang agama harus akur banyak perkara lagi yang mereka belum ketahui atau yang perlu mereka pelajari dari keluasan dan kedalaman tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam untuk dipersembahkan bukan hanya kepada umat Islam malah kepada umat manusia keseluruhannya.

Di saat banyaknya negara-negara kecil dan besar sedang berkerja-keras memposisikan kedudukan serta membina kekuatan masing-masing dalam geo-politik dunia pasca-kebenaran juga fasa akhir Kapitalisme ini, Negara kita Malaysia sedang bergelumang dengan kemelut/krisis politik-ekonomi-sosial yang setakat ini masih belum nampak cahaya dipenghujung terowongnya. Oleh kerana kemelut/krisis politik-ekonomi-sosial Tanah Air ini begitu besar dan mempengaruhi segenap lapisan rakyat tua dan muda, kaya dan miskin, desa dan bandar serta melibatkan pelbagai kepentingan politik Macheavellianisme, ekonomi Kapitalisme dan sosial Populisme dan Liberalisme, maka sudah semestinya tidak wajar bagi orang-orang agama juga turut menambahkan lagi kekusutan kemelut ini dengan pertelingkahan dan perbalahan keagamaan pula. Sebaliknya sangatlah perlu bagi orang-orang agama bermuhasabah dan merenung kembali bagaimana khazanah dan warisan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam boleh menjadi sumber kekuatan baru umat untuk mereka keluar dari kemelut/krisis politik-ekonomi-sosial ini.
Orang-orang agama harus menyedarkan umat bahawa kita kini menghadapi kehidupan Abad ke 21 yang sangat mencabar dan rumit. Cabaran dan kerumitan ini bukan sahaja bersifat nasional malah global malah lebih tepat cabaran yang bersifat Peradaban yang sudah semestinya bersifat Pemikiran. Orang-orang agama tidak boleh menyangka dengan pengkhususan mereka dalam satu-satu bidang agama akan dapat menyelesaikan kemelut umat apatahlagi membina Peradaban Islam yang baru. Umat juga tidak boleh diberikan gambaran yang salah atau tidak berasaskan kenyataan dalam sejarah pembinaan Peradaban Islam dengan retorik dan angan-angan kosong tentang kekuatan Islam. Peradaban Barat menguasai dunia dengan sistem ilmu dan organisasi mereka yang menyeluruh dan meluas mencakupi pelbagai bidang dan disiplin keilmuan. Retorik kejatuhan Peradaban Barat telah lebih 100 tahun dilaung-laung oleh orang-orang agama kepada umat tetapi sehingga kini Barat masih tetap menguasai umat Islam. Sedangkan umat Islam masih terus menerus digulati oleh orang-orang agama tentang permasalahan hadis dan fekah.

Selagi orang-orang agama tidak mahu keluar dari keselesaan kepompong bidang pengkhususan mereka dan meneroka sifat dan tabi’at Islam sebagai Agama Peradaban dengan kekayaan keilmuan, kerohanian dan ketamadunan untuk ditawarkan kepada seluruh umat manusia; Selagi orang-orang agama tidak mahu mengambil tahu perkembangan pelbagai ilmu-ilmu Barat yang sejak 300 tahun sehingga kini yang mempengaruhi pemikiran dan tindak-tanduk manusia termasuk umat Islam dengan faham Machiavellianisme, Kapitalisme, Populisme dan Liberalismenya politik, ekonomi dan sosial; Selagi orang-orang agama tidak mahu mengusahakan perubahan sikap mereka terhadap tajdid/pembaharuan atau Islah/Penambahbaikan yang berakar-umbi kepada 1400 tahun lebih tradisi mereka bukan dengan memutus/mencantas secara selektif tradisi mereka seperti yang dibuat oleh kelompok modenis dan salafiyyah; maka selagi itulah Agenda Nasional dan Global yang didambakan oleh umat ketika ini hanya sekadar menjadi impian dan khayalan semata-mata.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*


Sharing is caring

Comments

comments