SIRI 13 – MENGAPA KEMBALI KEPADA KEKUATAN TRADISI KEILMUAN, KEROHANIAN DAN KETAMADUNAN ISLAM?

Sharing is caring

*MENGAPA KEMBALI KEPADA KEKUATAN TRADISI KEILMUAN, KEROHANIAN DAN KETAMADUNAN ISLAM?*

 

(NARATIF NUSANTARA SIRI 13)

 

Dr Amran Muhammad

 

Ada yang menyangka kekuatan umat Islam boleh dibina melalui kekuatan ketenteraan. Negara-negara orang Arab yang kaya-raya membeli bilionan senjata dan peralatan ketenteraan dari Barat tetapi masih tidak mampu untuk mengalahkan atau setidak-tidaknya membendung keganasan dan kezaliman Regim Zionis Israel. Ada juga yang beranggapan kekuatan umat Islam boleh dibangunkan dengan kekuatan ekonomi. Justeru Negara-negara umat Islam juga membangunkan kekuatan ekonomi tetapi obsesi terhadap pembangunan ekonomi kebendaan ini menjarakkan lagi jurang antara sikaya dan simiskin sesama mereka dan melahirkan umat materialistik yang bukan kepalang. Ada juga yang berfikir kekuatan umat Islam boleh dibentuk berdasarkan kekuatan politik. Lalu berlumba-lumbalah parti dan politikus Islam di sana-sini dunia umat Islam mencanangkan idea Politik Islam dengan Negaranya, Shariahnya dan Hududnya tetapi berkesudahan dengan perbalahan dan pertelingkahan sesama mereka yang akhirnya sekadar menguntungkan musuh-musuh Islam.

 

Umat Islam harus disedarkan sekadar membina kekuatan ketenteraan, ekonomi dan politik tanpa berpaksikan kepada kefahaman dan penghayatan yang benar lagi menyeluruh terhadap ketauhidan dan makrifatullah juga kenabian dan mahabbah al-Rasul sepertimana yang diperhalusi dan dimanifestasi oleh tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang panjang, kekuatan dan kemenangan yang hakiki untuk umat Islam tidak mungkin tercapai dalam menghadapi cabaran kehidupan mereka. Islam adalah sekaligus Agama, Kehidupan dan Peradaban yang berpaksikan kepada Al-Risalah atau Perutusan atau Mesej. Islam adalah Agama bukan sekadar Budaya, Islam adalah Kehidupan bukan sekadar Ibadat Khusus, dan Islam adalah Peradaban bukan sekadar Nukilan Ayat-Ayat Al-Qur’an dan Sunnah/Hadis Nabi SAW. Kefahaman dan keyakinan terhadap Rukun Iman yang 6 jika diteliti dan dihayati dengan sempurna menyediakan visi dan misi perjuangan umat dalam menempuhi perjalanan kehidupan sebelum kembali kepada Maha Pencipta mereka akhirnya.

 

Kekuatan ketenteraan, ekonomi dan politik meskipun tidak dinafikan kepentingan dan keperluan mereka tidak lebih dari sekadar kekuatan fizikal atau jasmaniah. Sudah barang tentu kekuatan ketenteraan, ekonomi dan politik itu mustahak bagi menegakkan agama, kehidupan dan peradaban Islam. Bagaimanapun kekuatan ketenteraan, ekonomi dan politik yang tidak dipaksikan atau ditunjangi dengan kekuatan keilmuan, kerohanian dan ketamadunan yang bersifat metafizikal, batiniyyah atau maknawiyyah tidak akan kekal lama dan rapuh sifatnya terutama bila berdepan dengan cabaran-cabaran yang besar. Sebab itulah Baginda Rasulullah SAW selama 13 tahun pertama Islam di Mekah menumpukan dan menekankan sepenuhnya kepada pembinaan kekuatan keimanan, ketauhidan, akidah, visi dan misi kehidupan dikalangan para sahabat Baginda sehinggalah mereka benar-benar menjadi insan-insan yang kental iman dan akidah mereka dalam menghadapi segala ujian dalam menjalani kehidupan beragama mereka. Bahkan lebih penting dari itu Baginda SAW dapat melahirkan insan-insan yang sangat jelas visi dan misi kehidupan dan perjuangan mereka.

 

Justeru kesedaran dan keinsafan untuk merujuk, menggali dan mengembalikan kekuatan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam adalah pra-syarat atau perkara pokok yang mesti diterima sekiranya umat Islam terutamanya para sarjana mereka benar-benar ingin melakukan islah/pembaikan atau tajdid/pembaharuan terhadap agama ini. Kita menyaksikan pada Abad ke 20 betapa ketidakupayaan golongan modenis dan salafiyyah menghargai dan memanfaatkan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam menjadikan usaha-usaha islah dan tajdid mereka buntu dan berakhir dengan kegagalan dan kekecewaan. Golongan modenis-rasionalis yang banyak mendapat pengaruh Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida akhirnya memunculkan golongan-golongan neo-modenis yang berfikiran liberal yang melampau. Begitu juga golongan salafiyyah yang terbit di Semenanjung Arab akhirnya melahirkan golongan-golongan pseudo-salafi yang puritan dan literal sehingga menerbitkan keganasan seperti kumpulan salafi-jihadi atau salafi-takfiri.

 

Gesaan untuk kembali kepada kekuatan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam bukan bermakna kita menjadi nostalgik atau memuja-muja pencapaian silam seperti yang sering dimomokkan oleh golongan modenis. Begitu juga kembali kepada kekuatan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam bukan bererti kita menolak untuk merujuk kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah/Al-Hadis sepertimana yang didakwa oleh golongan salafiyyah. Hakikatnya golongan modenis gagal membina tradisi baru keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam dengan menggunakan akal-rasional-sekular mereka begitu juga golongan salafiyyah gagal membina tradisi baru keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam dengan mengunakan nas-nas Al-Quran dan Al-Sunnah/Hadis semata-mata. Kedua-dua golongan modenis dan salafiyyah ini yang berbeda titik-tolak permulaan mereka dalam banyak hal sepakat pada menolak, memperlekeh dan menjauhkan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam dalam dunia kehidupan umat.

 

Sekurangnya tiga atau empat tradisi besar keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang perlu diketengahkan kembali kepangkuan umat dalam kehidupan masakini. Tradisi keilmuan yang mustahak termasuklah tradisi Kalam/Usuluddin dari kesarjanaan Imam Al-Ash’ari dan Al-Maturidi, Al-Baqillani, Al-Baghdadi, Al-Juwayni, Al-Ghazzali, Al-Taftazani, Al-Sanusi dan lain-lain. Begitu juga tradisi usul-fekah/fekah/mazhab dari kesarjanaan 4 Imam besar Mazhab, Abu Hanifah, Malik, Al-Syafie dan Ahmad Ibn Hanbal dan para Imam pengembang 4 Mazhab ini. Tradisi kerohanian/Tasawuf/Tarikat dari kesarjanaan Imam Junayd, Al-Qusyairi, Al-Ghazzali, Ibn Arabi, Jalaluddin al-Rumi, Imam Rabbani dan lainl-lain lagi. Dalam tradisi Ketamadunan meliputi dimensi pemikiran dan falsafah dari kesarjanaan Ibn Sina, Al-Farabi, Ibn Khaldun, Al-Biruni dan ramai lagi. Ini bagaimanapun adalah sekadar sebahagian dari aliran-aliran utama dan tokoh-tokoh sarjana penting dalam tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang berusia lebih 1000 tahun yang dalam banyak hal digelapkan oleh gelombang aktiviti golongan modenis dan salafiyyah pada Abad ke 20 yang lalu.

 

Umat Islam Abad ke 21 khususnya generasi muda mestilah mula mengorak langkah bagi meneroka, menggali dan mengembalikan kekuatan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang unggul ini. Inilah aset penting dari khazanah dan warisan Peradaban Islam untuk umat manusia khususnya umat Islam sendiri. Kekuatan ketenteraan, ekonomi dan politik tanpa disertai atau didasari dengan kekuatan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan tidak mungkin membolehkan umat dan negara Islam menandingi kekuatan Peradaban Barat yang menguasai kita sejak lebih 300 tahun yang lalu. Tidak pernahkah umat dan sarjana Islam semasa memikirkan bahawa kita telah membina kekuatan lebih 1000 tahun dahulu yang sebenarnya lebih unggul malah diguna-pakai oleh Peradaban Barat kemudian. Masakan kekuatan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan berusia lebih 1000 tahun tidak boleh menandingi kekuatan yang baru berusia 300 tahun dan sedang mengalami permasalahan. Tidakkah mungkin kekuatan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam menjadi penawar bagi kemelut Peradaban Barat dan Kemanusiaan semasa?

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*


Sharing is caring

Comments

comments