SIRI 3 – UNTUK KEAMANAN GLOBAL: PERANAN DAN PENGARUH IMAM AL-GHAZZALI DALAM PEMBINAAN PEMIKIRAN WASATIYYAH UMAT ALAM MELAYU

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

NARATIF NUSANTARA UNTUK KEAMANAN GLOBAL: PERANAN DAN PENGARUH IMAM AL-GHAZZALI DALAM PEMBINAAN PEMIKIRAN WASATIYYAH UMAT ALAM MELAYU

SIRI 3

Dr Amran Muhammad

Sesiapa sahaja yang berbicara mengenai ‘wasatiyyah’ di Kepulauan Melayu atau NUSANTARA tanpa merujuk kepada peranan dan pengaruh Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazzali (1058-1111) atau lebih dikenali di Alam Melayu sebagai Imam Al-Ghazzali bolehlah dianggap buta sejarah atau cetek ilmu tentang peranan dan pengaruh Imam Al-Ghazzali di rantau ini. Memang benar faham ‘wasatiyyah’ itu boleh sahaja dinukil secara langsung dari sumber Al-Qur’an dan Al-Sunnah/Al-Hadith tanpa perlu mengaitkannya dengan mana-mana sarjana atau ulama besar dunia Islam. Faham ‘wasatiyyah’ bebas-konteks sebegini boleh sahaja diungkapkan dimana-mana wacana ilmiah dan pentas politik sebagai ucapan-ucapan retorik tanpa memerlukan pengesahan keboleh-upayaan untuk diterjemahkan dalam konteks masyarakat tertentu di daerah dan wilayah tertentu. Pendekatan retorik ‘wasatiyyah’ tanpa merujuk kepada kontekstualisasinya dalam sejarah umat itu sendiri mengakibatkan ‘wasatiyyah’ menjadi tidak lebih dari omong-omong kosong atau angan-angan Mat Jenin. Lihat sahajalah faham dan pendekatan ‘wasatiyyah’ yang sekian lama diwar-warkan di dunia umat Islam di Timur Tengah atau Asia Barat oleh para sarjana dan ulama juga pemimpin Islam di sana dari segi hasil pencapaiannya sehingga kini. Malah jika pendekatan retorik ‘wasatiyyah’ sebegini ingin diperkenalkan pula di Malaysia, amatlah malang jika umat di rantau ini terikut-ikut dengan pendekatan ‘wasatiyyah’ yang tidak pernah terbukti aktualisasi atau realisasinya di wilayah Timur Tengah atau Asia Barat.

Umat Islam di Alam Melayu wajib ada keyakinan diri bahawa visi dan misi keamanan global yang dicari-cari oleh umat manusia di mukabumi ini yang mana kefahaman dan penghayatan ‘wasatiyyah’ merupakan teras penting kepada penjelmaan keamanan yang hakiki bukan sahaja secara global dan nasional malah meliputi juga keamanan akliah, rohaniah, jasmaniah malah tidak ketinggalan keamanan dunyawi dan ukhrawi insaniah telah sedia ada dalam kosmologi dan psikologi mereka sejak ratusan tahun dahulu khususnya melalui peranan dan pengaruh Imam Al-Ghazzali melalui kitab-kitab ajaran beliau yang tersebar luas di NUSANTARA hasil olahan para ulama di rantau ini. Hakikat bahawa proses penyebaran, kefahaman dan penghayatan Islam di NUSANTARA adalah satu proses pengIslaman yang paling aman dalam dunia tentu sekali menandakan ada sesuatu yang khusus dan istimewa tentang kefahaman dan penghayatan Islam di wilayah ini. Melihatkan betapa meluasnya peranan dan pengaruh yang diperolehi dari karya-karya Imam Al-Ghazzali, maka sukar untuk akal yang waras menafikan sumbangan besar Imam Al-Ghazzali dalam mencorakkan kefahaman dan penghayatan Islam yang aman dikalangan umat Islam Alam Melayu. Dalam konteks kita sedang mengusahakan pembinaan naratif keamanan global, tentu sahaja naratif keamanan yang ingin diformulasikan dari rantau ini tidak akan terkeluar dari kerangka kefahaman dan penghayatan ‘wasatiyyah’ Imam Al-Ghazzali dengan segala kemungkinan penambahbaikannya sesuai dengan kehendak zaman dan lingkungan semasa.

Pengkritik NARATIF NUSANTARA untuk keamanan global yang berteraskan kepada takrifan, tafsiran dan takwilan ‘wasatiyyah’ Imam Al-Ghazzali tentu sahaja akan mengatakan mengapa perlu untuk kita merujuk kepada Imam Al-Ghazzali yang telah hampir 1000 tahun meninggalkan kita? Masih relevankah Imam Al-Ghazzali untuk kehidupan moden hari ini? Mengapa tidak kita mencari model keamanan global secara langsung dari Al-Qur’an dan Al-Sunnah/Al-Hadith? Pengkritik yang mengatakan Imam Al-Ghazzali telah 1000 tahun mati dan ketinggalan zaman, lapuk dan ‘irrelevant’ sebenarnya tidak sedar betapa pemikiran Al-Ghazzali terus subur dan segar kepada ratusan juta umat Islam dan bukan Islam sehingga kehari ini meskipun beliau telah lama meninggalkan dunia fizikal ini. Malah hakikatnya ramai dikalangan para pengkritik Imam Al-Ghazzali yang masih hidup ini sebenarnya telah mati akal, jiwa dan rohani mereka kerana gagal melihat atau dihijabkan dari melihat kebesaran tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang telah dihasilkan oleh Imam Al-Ghazzali. Khazanah keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam hasil buah pemikiran Imam Al-Ghazzali akan terus berperanan dan berpengaruh memberikan kefahaman dan penghayatan Islam yang ‘wasatiyyah’ kepada umat manusia Islam dan bukan Islam meskipun segelintir dikalangan umat Islam tidak berkeupayaan menghargainya.

NARATIF NUSANTARA untuk keamanan global model Imam Al-Ghazzali bukanlah semata-mata naratif tempatan orang Melayu memahami Islam secara kampungan yang kolot dan sempit dan tidak berupaya berkembang kepersada global. NARATIF NUSANTARA paradigma Imam Al-Ghazzali bukanlah semata-mata naratif tempatan orang Melayu yang tidak diikat kukuh dengan wahyu Al-Qur’aniah dan Sunnah/Hadith Al-Nabawwiyyah justeru boleh dipertikaikan keislamannya. Malah NARATIF NUSANTARA acuan Imam Al-Ghazzali ini merupakan naratif Qura’niyyah dan Nabawiyyah malah memiliki asas dan akar Tradisi ‘Thurathiyyah’ bersambungan dengan khazanah keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang unggul yang tidak difahami oleh penaja-penaja ‘wasatiyyah’ retorik dewasa ini. NARATIF NUSANTARA ajaran Imam Al-Ghazzali ini merupakan pakej holistik lagi komprehensif kefahaman dan penghayatan keamanan hakiki individu dan kolektif, jasmaniah dan rohaniah juga duniawiyyah dan ukhrawiyyah bergunapakai untuk kehidupan politik, sosial dan ekonomi insan yang tidak tergapai oleh penaja-penaja ‘wasatiyyah’ politik ketika ini.

Dan akhirnya dalam konteks pencarian dan pembinaan inisiatif Anti Keganasan Ekstremisme atau Counter Violent Extremism (CVE) antarabangsa yang masih berlegar pada persoalan sebab musabab politik, sosial, ekonomi dan ideologi dalam membina naratif-naratif CVE, jelas sekali NARATIF NUSANTARA boleh menawarkan sebab-musabab kosmologi dan psikologi yang berupaya menghasilkan keamanan yang hakiki sepertimana yang ditakrif, tafsir dan takwilkan oleh Imam Al-Ghazzali yang telah sedia dihayati tanpa sedar oleh ratusan juta umat Islam di Alam Melayu. Agak pelik lagi malang jika masih kedapatan umat Islam di Alam Melayu yang tersirna dengan model, paradigma, acuan dan ajaran ‘wasatiyyah’ dari rantau dan wilayah lain yang terbukti tidak menyumbangkan secara ‘substantial’ visi dan misi keamanan ini malah sejarah jatuhbangun dan perkembangan mereka dipenuhi dengan pertumpahan darah dan keganasan dan kepuakan/tribalism yang tidak kunjung hilang sehingga kesaat ini ingin dijadikan pula model, paradigm, acuan dan ajaran baru naratif keamanan global semata-mata disebabkan agenda dan propaganda tertentu.

(NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam)

 

Comments

comments