SIRI 8 – ULAMA NUSANTARA MEMBINA UMAT MUHIBBIN BUKAN UMAT MUHADDISIN

Sharing is caring

*ULAMA NUSANTARA MEMBINA UMAT MUHIBBIN BUKAN UMAT MUHADDISIN*

(NARATIF NUSANTARA SIRI 8)

Dr Amran Muhammad

 

Umum memaklumi, yang jelas membedakan sifat-perangai dan tingkah-laku umat Islam Melayu di Kepulauan Melayu dengan umat Islam Arab di Tanah Arab ialah sifat dan tabi’at beradab dan berhikmah dalam beribadah dan bermuamalah juga beradat-isti’adat. Psikologi dan sosiologi orang Melayu Islam yang banyak dipengaruhi oleh ajaran-ajaran Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali khususnya sejak ratusan tahun dahulu diterjemahkan dalam kelembutan, perasaan malu, sopan-santun, tata-tertib dan tolak-ansur dalam kehidupan ubudiyyah dan muamalah orang Melayu dengan orang lain.

 

Keistimewaan sifat-perangai dan tingkah-laku umat Melayu Islam ini tidak mungkin boleh kita pisahkan dari Ruh dan Nur Sifat-Sifat Kesempurnaan Nabi Muhammad SAW yang telah membenih, mengakar dan merimbun dalam diri-peribadi orang Melayu. Para ulama silam Nusantara dengan segala hikmah kebijaksanaan mereka mengolah dan mencanai jiwa/nafsu/ego dan diri orang Melayu supaya mengikuti, menepati dan menghayati keperibadian Baginda SAW dengan salawat, mawlid dan qasidah dengan tujuan akhirnya menjadikan umat Melayu Islam sebagai Muhibbin atau Pencinta Rasulullah SAW.

 

Dewasa ini, muncul fenomena dan obsesi mempersoalkan kedudukan hadis dan bukan hadis Nabi Muhammad SAW dalam melaksanakan ibadah dan muamalah di kalangan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun fenomena dan obsesi ini bukanlah menjadi kelaziman atau tradisi bagi ajaran Islam di rantau Kepulauan Melayu sepanjang ratusan tahun sejarah perkembanganya disini. Ini adalah fenomena dan obsesi baru yang didatangkan dari luar wilayah ini berdasarkan kepada aliran kefahaman Islam di sesuatu daerah yang berorientasikan kesahihan teks hadis sebagai satu-satunya cara mereka memahami dan menghayati Islam atau apa yang mereka sebut sebagai Sunnah.

 

Meskipun fenomena dan obsesi terhadap hadis tidak menjadi kebiasaan ulama dan umat Islam di Kepulauan Melayu, bukanlah bermakna orang Melayu Islam buta hadis Nabi SAW dan para ulama Nusantara jahil hadis baginda SAW. Begitu juga tidaklah boleh kita menyangka golongan yang mencetus fenomena dan obsesi hadis ini sebagai benar-benar arif dan fakih lagi berhikmah dalam perkara ini. Kecenderungan kelompok neo-Muhaddisin ini yang sering sahaja menggelar hadis-hadis yang dinukilkan oleh ulama Nusantara sebagai hadis-hadis Melayu bukanlah bererti mereka lebih memahami hakikat dan matlamat hadis-hadis yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW tersebut. Golongan neo-Muhaddisin ini gagal untuk memahami Islam di Nusantara secara kefahaman dan penghayatannya lebih bertujuan melahirkan umat Islam sebagai insan-insan Muhibbin atau Para Pencinta Nabi SAW bukannya umat Muhadissin atau Para Pengkaji Hadis Nabi SAW.

 

Fenomena dan obsesi mempertikaikan kedudukan hadis dan bukan hadis Nabi Muhammad SAW yang dinisbahkan sebagai hadis-hadis Melayu yang palsu ini juga dialami dalam penerimaan Kitab Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali oleh generasi neo-Muhaddisin semasa. Keseluruhan kekuatan dan keindahan Ihya Ulumuddin yang memberikan visi dan misi kehidupan Muslim yang sempurna diperlekehkan dan tertolak hanya kerana dakwaan terdapat terlalu banyak hadis-hadis daif dan palsu dalam Karya Agung Imam Al-Ghazzali tersebut. Pengiktirafan umat Islam bahawa Imam Al-Ghazzali sebagai Hujjatul Islam ataupun Pembuktian Islam langsung tidak bermakna bagi generasi neo-Muhaddisin ini semata-mata kerana Imam Al-Ghazzali telah dianggap melakukan kesalahan menukil hadis-hadis daif dan palsu dalam mengarang Kitab Ihya Ulumuddin. Begitu jugalah para ulama Nusantara dan Kitab-Kitab Kuning mereka diperlekehkan dan ditolak oleh kelompok neo-Muhaddisin ini kerana mengambil hadis-hadis Melayu yang dikatakan tidak ketahui asal-usulnya.

 

Pokok persoalan yang cuba dikemukakan disini ialah dalam kita mengungkapkan semula NARATIF NUSANTARA, apakah keutamaan bagi orang Melayu Islam ini dalam memahami dan menghayati salah satu dari 6 Rukun Iman iaitu Beriman kepada para Nabi dan Rasul AS, khususnya dalam kita memahami Kenabian atau Nubuwwah Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Yang jelas tersurat dan tersirat dalam Kitab-Kitab Muktabar akidah Islam perihal Keimanan kepada Baginda Rasulullah SAW lebih merujuk bagaimana kita dapat menghayati dan menghidupkan mahabbah atau kecintaan diri-peribadi kita terhadap Baginda SAW, juga Ahli Keluarga Baginda dan Para Sahabat dengan kita menanamkan sifat-perangai dan tingkah-laku kesempurnaan Baginda SAW yang ma’ruf, ma’thur dan mashur dalam mentransformasikan jiwa/nafs/ego dan diri kita.

 

Kefahaman dan penghayatan Keimanan kepada Rasulullah SAW dalam ertikata sebagai seorang Muhibbin atau Pencinta Diri-Peribadi secara zahiriyyah dan ruhaniyyah Baginda SAW dalam menghayati keseluruhan kehidupan Baginda SAW, yang penuh dengan kesempurnaan dan keistimewaan,  sebelum dan selepas menjadi Rasulllah SAW malah peninggalan Baginda SAW sehingga kehari ini berbeda sama sekali dengan pendekatan menjadi seorang Muhadis atau Muhaddisin yang mengenal Rasulullah SAW sekadar melalui teks atau matan hadis-hadis Baginda SAW. Terdapat jurang yang besar dalam hakikat dan matlamat Keimanan kepada Baginda SAW melalui pendekatan seorang Muhibbin dan seorang Muhadissin.

 

Para ulama Nusantara seperti juga Imam Al-Ghazzali dengan penuh hikmah melihat bahawa visi dan misi Islam melalui keperibadian mulia lagi sempurna Rasulullah SAW jika ingin diterapkan kepada umat Islam bukanlah dengan pendekatan Muhaddisin yang tertumpu kepada soal kesahihan dan kedudukan hadis Baginda SAW. Perkara yang lebih utama bagi Iman Al-Ghazzali dan para Ulama Nusantara ialah bagaimana sifat-sifat zahiriyyah dan ruhaniyyah Baginda SAW tersebut diolah dan dicanai langsung dalam kehidupan seharian umat Islam dari Ruh dan Nur Kesempurnaan dan Keistimewaan Nabi Muhammad SAW. Pendekatan Muhibbin ini tertumpu kepada kefahaman dan penghayatan pembersihan jiwa, penghiasan jiwa, adab, tertib dan hikmah dalam beribadah dan bermuamalah sesuai dan selari dengan pengharapan kepada barakah, syafaah dan nazrah Baginda SAW untuk kita diterima dan layak menjadi Muhibbin yang sebenar.

 

Pendekatan Keimanan Muhibbin kepada Nabi Muhammad SAW inilah yang menjadi orang Islam Melayu unik dan berbeda dari segi tingkah-laku dan sifat-perangai mereka berbanding dengan orang Islam Arab semasa. Perasaan cinta-kasih kepada Baginda SAW yang terpancar pada  budaya salawat, mawlid dan qasidah orang Melayu Islam inilah yang mencorak Keimanan mereka kepada Baginda SAW berbeda dengan pendekatan Muhadissin yang lebih bersifat fiqhiyyah-legalistik atau jidaliyyah-polemikal.

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*


Sharing is caring

Comments

comments