Sharing is caring

Download PDF

(Naratif Nusantara Siri 63)

WAWASAN ISLAM NEGARA SEWAJARNYA BUKAN SEKADAR MAQASID SYARIAH TETAPI JUGA MAQASID AKIDAH DAN MAQASID AKHLAK

(RENTETAN DARI DIALOG SESI TOWNHALL BERSAMA MENTERI AGAMA)
Dr. Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Majlis pertemuan dan soal-jawab dengan YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di IKIM kelmarin menampakkan keterbukaan dan kesedaran Kerajaan hari ini khususnya YB Menteri sendiri tentang kepentingan pendekatan “bottom-up” dalam memperkasakan Wawasan Islam Negara berbanding dengan pendekatan “top-down” yang biasanya bersifat indoktrinasi dan propaganda. Majlis hampir tiga jam tersebut memberi peluang kepada ahli-ahli akademik –pensyarah dan penyelidik dari pelbagai universiti dan institusi yang komited kepada keinginan membina sebuah masyarakat Islam dan negara Malaysia yang dinamik diwaktu yang sama menepati kehendak-kehendak ajaran Islam yang sesuai pada setiap zaman dan lingkungan.

YB Dr Mujahid mengambil peluang dari Majlis tersebut untuk menyakinkan para ilmuan yang hadir tentang rasional agenda 1) Model Malaysia, 2) Maqasid Syariah, dan 3) Rahmatan Lil ‘Alamin yang bakal menjadi Teras Pentadbiran Islam Kerajaan Malaysia. ISSI (Islamic and Strategic Studies Institute), sebagai sebuah institusi pemikiran dan penyelidikan strategik bagi umat Islam ingin mengemukakan beberapa pandangan bertulis tentang hal ini rentetan dari pertukaran fikiran antara YB Menteri Agama dan Ketua Eksekutif ISSI semasa Majlis tersebut. Semoga pandangan-pandangan ini akan diambil-kira oleh Kerajaan demi menghasilkan sebuah Wawasan Islam Negara yang memiliki asas ilmiah yang jelas berpandukan kepada tradisi dan khazanah keilmuan peradaban Islam yang kukuh lagi menyeluruh.
Para pemikir dan penyelidik ISSI berkeyakinan bahawa sejak dari mula kedatangan Agama Islam sepertimana yang diabsahkan melalui Hadith Jibril AS, bahawa Risalah Rahmatan Lil ‘Alamin Baginda Nabi Muhammad SAW terkandung dalam tiga manifestasi utama Islam sebagai Al-Din atau Tatacara Kehidupan iaitu IMAN, ISLAM dan IHSAN atau juga dikenali sebagai AKIDAH, SYARIAH dan AKHLAK. Dari faham yang sangat mendasar ini jugalah para sarjana ulama dan ilmuwan Islam membina tiga pengkhususan asasi tradisi keilmuan Islam iaitu KALAM/USULUDDIN/AKIDAH, SYARIAH/USUL-FIQH/FIQH dan TASAWWUF/AKHLAK sejak lebih 1000 tahun yang lalu bagi memastikan MAQASID AKIDAH, MAQASID SYARIAH dan MAQASID AKHLAK ini terpelihara dan berkembang secara seimbang dan berkesan dalam kehidupan umat Islam.

Para pemikir dan penyelidik ISSI mendapati penumpuan yang berlebihan kepada idea-idea MAQASID SYARIAH adalah perkara yang baru dalam tradisi keilmuan Islam khususnya melalui aliran pemikiran reformis Islam mutakhir yang mengeluarkan tokoh Maqasid seperti Al-Syatibi (1320-1388 Masihi) dari kerangka besar dan tradisi panjang disiplin ilmu Usul-Fiqh yang pada prinsipnya berhubungkait dengan kerangka dan tradisi disiplin ilmu Kalam/Usuluddin. Idea-idea MAQASID SYARIAH yang tercabut keluar dari akar Usul-Fiqh serta hubungannya dengan Kalam/Usuluddin serta tidak mendapat sentuhan yang seiring dengan Tasawwuf akan menghasilkan gagasan dan Wawasan Islam yang sangat legalistik lagi fikhiyyah (dimanifestasikan dengan timbulnya pelbagai konsep fiqh-fiqh ala Malaysia), tiada asas teori ilmu (epistemologi), teori kewujudan (ontologi) dan teori nilai (aksiologi) yang jelas, serta kering-kontang dari pengisian keruhanian yang berupaya membina jiwa peribadi dan akhlak mulia.
Berdasarkan penelitian para pemikir dan penyelidik ISSI, timbulnya fenomena MAQASID SYARIAH itu sendiri adalah lanjutan dari penjenamaan semula gagasan PERLAKSANAAN SYARIAH, HUDUD dan NEGARA ISLAM cetusan para reformis abad ke 20 yang didapati menjelang tahun 1990an gagal menjadi satu model berkesan gerakan pembaharuan masyarakat dan negara Islam akibat dari penekanan berlebihan dalam dimensi Syariah (Perundangan) dan Siyasah (Politik) Islam berbanding dari dimensi Akidah (Pemikiran) dan Akhlak (Etika) yang tidak diberikan perhatian penting dalam Era Islamisme tersebut sehingga menerbitkan fasa baru Era Pasca-Islamisme yang diterimapakai oleh majoriti reformis hari ini. Justeru asas dan akar populis faham idea-idea MAQASID SYARIAH sangat perlu difahami kerana dibimbangi akan menerbitkan lebih banyak kekeliruan kepada umat Islam dalam Zaman Pascamoden yang menisbikan kebenaran dan kewujudan ketika ini kerana tidak berasas dan berakar dari tradisi epistemologi Islam yang jelas.
Para pemikir dan penyelidik ISSI ingin mengusulkan kepada Kerajaan khususnya kepada YB Menteri agar penekanan kepada MAQASID SYARIAH ini dipertimbangkan semula supaya mengambil-kira dan memasukkan juga MAQASID AKIDAH dan MAQASID AKHLAK dalam kerangka dan tradisi keilmuan Islam yang sebenar iaitu kerangka dan tradisi Kalam/Usuluddin, Usul-Fiqh/Fiqh dan Tasawuuf/Akhlak sebagai masukan-masukan seimbang Wawasan Islam Negara. Kerajaan tidak boleh sekadar mendapat masukan-masukan SYARIAH, malah dalam konteks cabaran pemikiran dan ideologi global yang secara jelas menganggu-gugat akidah umat Islam serta merosakkan nilai-nilai kehidupan mereka, maka masukan-masukan AKIDAH dan AKHLAK sangat mustahak diperolehi dari sarjana, ulama dan ilmuwan yang arif dan pakar dalam bidang-bidang ini.
Para pemikir dan penyelidik ISSI berpendapat Wawasan Islam Negara tidak boleh dikemukakan secara terpisah dari menanggapi terlebih dahulu cabaran-cabaran besar pemikiran luar khususnya Pascamoden yang mempromosikan kerelatifan/kenisbian kebenaran, kewujudan dan nilai-nilai mulia atas nama Pasca-Kebenaran dan Pasca-Fakta. Ini juga sebahagian dari syubhah-syubhah akidah dan pemikiran yang sepatutnya menjadi tujuan utama MAQASID AKIDAH iaitu menangkis kekeliruan akidah dan pemikiran umat. Tanpa perhatian khusus kepada MAQASID AKIDAH ini, perlaksanaan MAQASID SYARIAH tidak lebih dari tindak-tanduk atau amal-perbuatan yang zahir dari akal-pemikiran yang keliru tentang intipati dan hubungan simbiosis antara IMAN, ISLAM dan IHSAN.
Begitu juga halnya dengan keperluan MAQASID AKHLAK yang menjadi keprihatinan para pemikir dan penyelidik ISSI. Gejala dan penularan akhlak yang tidak bersesuaian malah bertentangan dengan ajaran Islam semakin menjadi “Norma Baru” hatta dikalangan umat Islam itu sendiri. Gejala dan penularan akhlak yang buruk serta kemerosotan nilai-nilai mulia dikalangan generasi muda tidak boleh digarap hanya melalui MAQASID SYARIAH yang bersifat legalistik semata-mata tetapi ia memerlukan faham Akhlak Islam yang telah dibina dengan sistem dan metodologi perubahan diri-individu yang terbukti berkesan dari tradisi Tasawwuf. Dengan kita menyedari wujudnya hal-hal yang perlu diperbaiki dalam tradisi Tasawwuf, tidak bermakna kita meninggalkan lebih banyak hal-hal berfaedah dalam Tasawwuf khususnya dalam membina kekuatan psikologi umat Islam pada hari ini.
Akhirnya, para pemikir dan penyelidik ISSI sepakat pada menyatakan bahawa pemerkasaan faham Wawasan Islam Negara ini tidaklah boleh dibuat secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira tradisi dan khazanah keilmuan Islam yang lebih luas dan mendalam. Wawasan Islam yang cetek sekadar melahirkan generasi umat Islam yang juga cetek kefahaman dan penghayatan keislaman mereka. Malah lebih malang lagi usaha-usaha untuk menyaksikan kemunculan generasi Islam yang dinamik serta berdaya-saing menghadapi cabaran zaman dan lingkungan akan terus menjadi angan-angan dan impian semata-mata. Hakikat, sifat dan tabi’at Islam sebagai sebuah PERADABAN ILMIAH itulah yang sebenarnya menjadi sumber kekuatan, kestabilan dan kesinambungannya sehingga ke hari ini meskipun umat Islam itu sendiri tidak mahu mengambil pelajaran dari PERADABAN AGUNG ini.
*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 63)

Download PDF

Sharing is caring

Comments

comments