Sharing is caring

(Naratif Nusantara Siri 62)

NARATIF-NARATIF ISLAM KITA YANG SERING BERUBAH-UBAH SELAMA 40 TAHUN INI: AKHIRNYA YANG MANA SATU MEMBERIKAN MAKNA KEPADA UMAT TENTANG AGAMA MEREKA?

Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Setiap kali perubahan tampuk pemerintahan, umat Islam di Malaysia diperkenalkan dengan naratif baru Islam. Dahulu kita diperkenalkan dengan “Penerapan Nilai-Nilai Islam”, “Islam Hadhari” dan “Islam Wasatiyyah”. Kini kita diperkenalkan pula dengan “Rahmatan Lil Alamin”, “Maqasid Shariah” dan “pelbagai macam Fiqh-Fiqh”. Apakah fenomena bertukar-gantinya naratif rasmi kerajaan mengenai Islam ini adalah sebahagian dari manifestasi Pascamodenisme yang mana sudah tiada lagi Naratif Raya (Besar) Agama bagi sesebuah masyarakat Islam sebaliknya ditimbulkan naratif-naratif picisan yang bertindak sebagai ideologi dan propaganda keislaman pemerintah bagi mengekalkan kuasa dan pengaruh? Sekiranya kita bersetuju dengan pandangan Zeit Geist atau Semangat Zaman sentiasa mempengaruhi kita bermakna kefahaman dan penghayatan Islam kita pun telah menjadi Pascamoden dan Pasca Kebenaran!

 

Tentu sahaja kita telah menyaksikan nasib yang menimpa naratif-naratif Islam kerajaan sebelum ini seperti “Penerapan Nilai-Nilai Islam”, “Islam Hadhari” dan “Islam Wasatiyyah”. Jangka hayat naratif-naratif Islam ini bersamaan dengan jangka hayat tampuk kepimpinan kerajaan yang mempelopori naratif-naratif tersebut. Apakah pula nasib yang bakal menimpa bagi naratif-naratif terkini “Rahmatan Lil Alamin”, “Maqasid Shariah” dan “pelbagai macam Fiqh-Fiqh” seandainya para pelopornya dikalangan tampuk pemerintah hari ini tidak lagi menduduki kerajaan? Kemungkinan besar nasib naratif-naratif ini akan sama sahaja dengan nasib naratif-naratif sebelum ini. Justeru apakah makna dan relevan naratif-naratif Islam rasmi kerajaan buat umat Islam di Malaysia sekiranya jangka hayatnya secara adatnya sangat pendek dan kesannya sangat terhad dalam mencorakkan kehidupan umat?

Umat Islam di Malaysia seperti warganegara Malaysia yang lainnya dilaporkan memiliki jangka hayat dalam lingkungan 75 tahun. Ini bermakna untuk menjalani keyakinan bermakna kehidupan Islam yang stabil dan konsisten secara individu dan kolektif, umat Islam juga memerlukan sebuah naratif agama yang juga stabil dan konsisten untuk sepanjang hayat mereka. Jika tidak keyakinan yang bermakna mereka terhadap agama itu juga akan berubah-ubah malah terumbang-ambing lebih-lebih lagi naratif Islam mereka digantungkan kepada naratif rasmi kerajaan. Kehidupan 75 tahun bagi umat Islam secara individu dan kolektif sangat tidak bijak jika dipandu dengan naratif-naratif yang tempoh hayatnya sekadar 5, 10 atau 15 tahun! Umat Islam wajib mengetahui wujud Naratif Raya Islam yang berusia lebih 1000 tahun yang berlipat kali ganda lebih kaya dan besar dan berupaya memberikan mereka keyakinan, panduan dan makna tentang kehidupan sepanjang 75 tahun tersebut.


Ramai dikalangan reformis dan modenis agama tentu sahaja tidak suka jika ungkapan Islam itu memiliki Naratif Raya melebihi 1000 tahun itu dikemukakan dengan alasan berpegang kepada Naratif Raya yang tua itu akan menjadikan kita jumud dan kolot. Bagaimanapun untuk tempoh seratus tahun kebelakangan ini yang sering diwar-warkan sebagai Era Islah atau Reformasi Islam, para reformis dan modenis ternyata gagal memperkenalkan satu naratif baru Islam yang lebih baik kalau pun tidak setanding dengan Naratif Raya Islam yang dikatakan tua tersebut. Bagaimana mungkin naratif-naratif picisan yang berusia 5, 10 atau 15 tahun itu mampu menyaingi Naratif Raya Islam yang terbina atas tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam sejak sekian lama? Slogan-slogan untuk merujuk kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah semata-mata yang sering diungkapkan oleh reformis dan modenis agama ternyata memberi impian palsu dan khayalan kosong bagi umat Islam dalam membina keyakinan yang berkekalan terhadap peranan dan kekuatan Islam sebagai agama Peradaban.

 

Dalam konteks kerajaan ketika ini berusaha mewar-warkan naratif baru Islam “Rahmatan Lil Alamin”, “Maqasid Shariah” dan “pelbagai macam Fiqh-Fiqh” terdapat sekurang-kurangnya tiga kecenderungan yang sekiranya tidak diteliti akan mengulang kembali kesilapan para reformis dan modenis sebelum ini. Pertama, menjadikan Malaysia Baru sebagai “Darul Hadith” dengan penumpuan kepada pendekatan “hadith sahih”; Kedua, menjadikan Malaysia Baru sebagai “Darul Maqasid” dengan penumpuan kepada pendekatan “maqasid shariah”; dan Ketiga menjadikan Malaysia “Darul Fekah” dengan penumpuan kepada pelbagai pendekatan fiqh; yang ketiga-tiga pendekatan ini kesemuanya bertujuan mengatur dasar dan pentabiran Islam Malaysia Baru. Kepada sesiapa yang mengetahui dan mempelajari sejarah reformis dan modenis Islam akan menyedari penekanan kepada “hadith”, “shariah” dan “fekah” ini akan membawa kita kepada punca utama kegagalan reformis dan modenis sejak 100 tahun yang lalu dalam dunia umat Islam.

 

Reformis dan modenis seperti Jamaluddin Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida atau lebih awal Muhammad Abdul Wahhab dan golongan yang mengikuti mereka sentiasa melihat reformasi dan modenisasi Islam dalam kehidupan pasca-penjajahan ini dari lensa pembentukan negara Islam, perlaksanaan shariah dan pengembalian kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah dengan menolak dan menafikan peranan dan sumbangan 1000 tahun tradisi keilmuan Islam. Ini adalah intipati utama yang menjadikan reformis dan modenis anti-tradisi atau anti-turath. Meskipun naratif naratif baru Islam “Rahmatan Lil Alamin”, “Maqasid Shariah” dan “pelbagai macam Fiqh-Fiqh” tidak lagi membicarakan pembentukan negara Islam, perlaksanaan shariah dan pengembalian kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah secara jelas tetapi templat atau acuan “hadith”, “shariah” dan “fekah” reformis dan modenis ini tetap kekal dan akan membawa Malaysia Baru menjadi “Darul Hadith”, “Darul Maqasid” dan “Darul Fekah”!

 

Naratif Raya Islam ialah Naratif Peradaban dan Ketamadunan, ia melangkaui pembentukan negara Islam, perlaksanaan shariah dan pengembalian kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah yang difahami secara literal. Naratif Raya Islam ialah Naratif Keilmuan, Kerohanian dan Ketamadunan yang menjangkaui kefahaman dan tafsiran disiplin-disiplin ilmu “hadith”, “shariah” dan “fekah” tajaan reformis dan modenis. Naratif Raya Islam ialah Naratif yang membina kemajuan ilmu-ilmu dan inovasi kehidupan manusia sejagat melebihi sekadar menjadi “Darul Hadith”, “Darul Maqasid” dan “Darul Fekah”. Tanpa kefahaman dan penghayatan yang mendalam tentang khazanah dan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam, Malaysia Baru sekali lagi mengulang kesilapan naratif-naratif Islam kerajaan sebelum ini seperti “Penerapan Nilai-Nilai Islam”, “Islam Hadhari” dan “Islam Wasatiyyah”. Justeru sangat wajar naratif-naratif terkini kerajaan seperti “Rahmatan Lil Alamin”, “Maqasid Shariah” dan “pelbagai macam Fiqh-Fiqh” diperbahaskan secara ilmiah dan substantif bukannya secara politik partisan atau propaganda untuk mengekalkan kuasa dan pengaruh semata-mata.

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 62)

 


Sharing is caring

Comments

comments