Sharing is caring

(Naratif Nusantara Siri 60)

PERKARA-PERKARA YANG TERKANDUNG DALAM KITAB-KITAB LOGIK/MANTIK TRADISI KALAM YANG TELAH TIDAK DIPELAJARI OLEH UMAT MELAYU ISLAM JUSTERU MENJADIKAN MEREKA KEHILANGAN METODOLOGI SAINTIFIK UNTUK MENCIPTA ILMU DAN SAINS
Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Wilayah, negara, bangsa atau kaum yang menguasai ilmu pengetahuan bukan sahaja akan berjaya malah boleh menguasai hal ehwal dunia. Untuk menguasai ilmu pengetahuan, kita perlu menghasilkan atau mencipta ilmu pengetahuan itu sendiri meskipun tidak semestinya ia berasal dan bersumberkan dari khazanah keilmuan yang kita miliki. Apa yang disebut sebagai “technology transfer”, “reverse engineering” atau “creative imitation”, masih boleh menghasilkan ilmu ciptaan kita sendiri sekiranya acuan dan adunannya mengambil-kira faktor-faktor kearifan tempatan dan tidak ditiru secara naïve atau ditelan bulat-bulat dari yang asal. Perkara yang lebih penting untuk dperhatikan disini ialah sejauhmana kita mengambil pendekatan kritik, analitik dan sintetik terhadap ilmu pengetahuan yang kita temui tersebut. Inilah Ruh/Semangat pencarian dan penghasilan ilmu pengetahuan yang telah membina pelbagai Peradaban Besar umat manusia sejak dahulu kala, Greek, Islam, Kristian Abad Pertengahan juga Barat Moden hari ini.

Untuk menjadi Wilayah Nusantara, Negara dan Bangsa Malaysia atau Bangsa dan Kaum Melayu yang menguasai ilmu pengetahuan, Umat Melayu Islam mestilah memiliki ketrampilan khusus ini iaitu kemahiran kritik, analitik dan sintetik terhadap ilmu pengetahuan yang dengannya ilmu-ilmu baru boleh dicipta dan dihasilkan. Umat Melayu Islam memerlukan satu Metodologi Saintifik Umum (General Scientific Methodology) yang boleh digunapakai pada semua disiplin ilmu yang ingin dihasilkan selain dari kemudiannya tentu sahaja terdapat Metodologi Saintifik Khusus (Specific Scientific Methodology) bagi disiplin-disiplin tertentu. Tentu sahaja dengan perkembangan pesat ilmu pengetahuan dan disiplin-disiplin sains semasa, Metodologi Saintifik Umum dan Khusus ini juga berkembang pesat dan menjadi pelbagai. Pada prinsipnya semua ilmu pengetahuan dan disiplin-disiplin sains semasa masih memiliki struktur dan sistem yang asas dan umum bagi menjelaskan sifat dan tabiat ilmu dan sains tersebut. Paling kurang kefahaman terhadap struktur, sistem, sifat dan tabiat ilmu dan sains yang asasi lagi umumi sangat diperlukan oleh Umat Melayu Islam dalam proses penghasilan dan penciptaan ilmu-ilmu baru mereka.
Dalam tradisi keilmuan Islam khususnya dalam disiplin akidah atau Ilmu Kalam juga dalam disiplin syari’ah atau Ilmu Usul-Fiqh/Fiqh, LOGIK atau MANTIQ dikenali sebagai Metodologi Saintifik Umum/Sains Serbaguna (General-Purpose Science) yang menjadi peralatan dan kelengkapan untuk melakukan kerja-kerja kritik, analitik dan sintetik sebelum sesuatu ilmu pengetahuan itu dihasilkan. LOGIK/MANTIQ inilah ilmu serbaguna atau metodologi saintifik umum yang membentuk acuan dan menyebati adunan LOGIKAL, RASIONAL dan SISTEMATIK setiap ilmu pengetahuan. Tanpa LOGIK/MANTIQ, atau dalam Bahasa Moden METODOLOGI SAINTIFIK, ilmu dan sains tidak mungkin boleh dihasilkan secara tersusun dan berdisiplin. Hal ini merupakan lumrah atau kelaziman pasti bagi semua ilmu dan sains termasuk ilmu dan sains agama atau keagamaan. Persoalannya disini adakah Umat Melayu Islam memiliki, menguasai dan menggunapakai LOGIK/MANTIQ atau METODOLOGI SAINTIFIK bukan sahaja dalam pencarian dan penghasilan ilmu dan sains secara rasmi malah dalam seluruh interaksi kehidupan mereka antara Tuhan Pencipta mereka, Alam sekeliling merekan dan Insan yang seperti mereka? Selagi Umat Melayu Islam tidak dapat melazimi LOGIK/MANTIQ atau METODOLOGI SAINTIFIK selagi itulah mereka akan ketinggalan dalam pemilikan, penguasaan dan penghasilan ilmu dan sains baru.

LOGIK/MANTIQ dalam tradisi Kalam dan Usul-Fiqh yang juga boleh dikembangkan dalam ilmu dan sains agamawi dan duniawi semasa dengan mengambil-kira dapatan-dapatan METODOLOGI SAINTIFIK terkini berupaya menyediakan Umat Melayu Islam yang boleh menjalani proses kritik, analitik dan sintetik ilmu dan sains yang lebih dinamik dan relevan dalam mendepani ilmu dan sains semasa. Malah terdapat pertindanan yang banyak lagi jelas antara LOGIK/MANTIQ tradisi Kalam dan Usul-Fiqh dengan METODOLOGI SAINTIFIK Barat Moden dalam soal-soal pokok penstrukturan dan sistemisasi ilmu dan sains seperti faham-faham Konsep, Definisi, Teori, Hipotesis, Aksiom, Postulat, Proposisi, Prinsip, Kandungan serta Permasalahan atau Aporia Ilmu dan Sains. Begitu juga dengan kaedah-kaedah deduktif, induktif, abduktif, silogisme, analogi, eksperimentasi dan seumpamanya terdapat kesalingan dan penambahbaikan antara LOGIK/MANTIQ tradisi Kalam dan Usul-Fiqh dengan METODOLOGI SAINTIFIK Barat Moden. Sudahpasti juga terdapat perbezaan tentang tujuan dan orientasi antara dua struktur dan sistem ilmu dan sains Islam dan Barat ini terutamanya dari dimensi Ontologi (faham kewujudan), Epistemologi (faham ilmu) dan Aksiologinya (faham nilai) walaupun pada Metodologi dan Logiknya terdapat banyak persamaan.

Umat Melayu Islam wajar mengorak-langkah mengusahakan dan membina METODOLOGI SAINTIFIK mereka sendiri dengan memanfaatkan perkembangan terkini METODOLOGI SAINTIFIK sedia ada tanpa meninggalkan LOGIK/MANTIQ tradisi keilmuan mereka kerana disana terdapat unsur-unsur pengukuhan faham Ketuhanan, Keagamaan, Keimanan dan Kerohanian yang tidak mungkin diperolehi dalam METODOLOGI SAINTIFIK Barat Moden yang Anti-Tuhan, Anti-Agama, Anti-Iman dan Anti-Roh. Hanya dengan melalui pendekatan kritik, analitik dan sintetik yang terkandung dalam LOGIK/MANTIQ juga METODOLOGI SAINTIFIK sahajalah Umat Melayu Islam berupaya menangani dan mendepani cabaran penghasilan ilmu dan sains hari ini. Umat Melayu Islam tidak perlu bermula dari kosong untuk melakukan inisiatif ilmiah yang bakal menjamin kelangsungan mereka tetapi mereka juga tidak boleh juga mengambil apa yang datang dari Barat Moden secara membuta-tuli atau semberono tanpa bersikap selektif lagi kritis.

Umat Melayu Islam mesti menanggap usaha-usaha memahami dan menghayati LOGIK/MANTIQ dan METODOLOGI SAINTIFIK bukan sahaja sebagai peluang IJTIHAD KOLEKTIF mereka dalam TAJDID (Pembaharuan) Pemikiran dan Peradaban di Malaysia malah merupakan JIHAD ILMIAH mereka demi kelangsungan Wilayah Nusantara, Negara dan Bangsa Malaysia dan; Bangsa dan Kaum Melayu dalam memasuki Alaf ke 21 ini. Malah dalam beberapa hal tertentu jika usaha-usaha ini digarap dengan lebih luas dan mendalam, ia bakal menjadi METODOLOGI ALTERNATIF dari METODOLOGI SAINTIFIK semasa yang sempit lagi terhad cakupan faham kewujudan, faham ilmu dan faham nilai mereka. Usaha ini juga jika berjaya dilakukan oleh Umat Melayu Islam akan menjadikan mereka penentang atau pencabar bagi status quo sistem Ilmu Barat Moden yang sejak 500 tahun menjarah dan menjajah setiap sistem ilmu dan sains manusia yang mereka duduki. Sehingga kini masih belum terdapat satu wilayah, negara, bangsa dan kaum pun yang berupaya untuk tampil menyaingi apatahlagi mengganti sistem ilmu dan sains Barat Moden yang egosentrik dan berpaksi Barat tersebut. Sudah tentunya Umat Melayu Islam boleh menjamin dan menempatkan diri mereka disisi Allah SWT dan Rasul SAW dengan berada dalam paradigma dan enterprais IJTIHAD KOLEKTIF dan JIHAD ILMIAH sekaligus jika mereka faham implikasinya.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 60)

 


Sharing is caring

Comments

comments