Naratif Nusantara Siri 51 – KEMERDEKAAN ILMU MELALUI DEKOLONIALISASI DAN KRITIK ILMU SEBAGAI AGENDA KESARJANAAN DAN PENYELIDIKAN NASIONAL

Sharing is caring

(Naratif Nusantara Siri 51)
KEMERDEKAAN ILMU MELALUI DEKOLONIALISASI DAN KRITIK ILMU SEBAGAI AGENDA KESARJANAAN DAN PENYELIDIKAN NASIONAL

Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Bila penjajah Inggeris memulangkan kembali Tanah Air kita 60 tahun dahulu mereka tidak pulang dengan tangan kosong. Yang pasti mereka telah puas mengaut dan memerah hasil khazanah bumi bertuah ini bagi memperkayakan Imperialisme Inggeris sebagai persediaan memasuki era Barat Moden Pasca-Kolonial masakini. Yang pasti mereka juga telah meninggalkan beban legasi tidak diundang bagi anak-anak watan iaitu dasar “pecah dan perintah” politik-ekonomi-sosial yang kemudiannya berkait dengan isu dan konflik antara kaum, agama, bahasa dan budaya yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun penyedutan dan pengikisan kekayaan hasil-mahsul tempatan dan juga peninggalan warisan kemelut antara kaum, agama, bahasa dan budaya yang tidak dipinta ini tidaklah separah kemunculan anak-anak jajah yang minda mereka telah ditanamkan bahawa bentuk, kaedah, proses dan sistem ilmu pengetahuan Barat Moden ciptaan para penjajah itulah satu-satunya jalan bagi kita memperolehi ilmu pengetahuan untuk berubah dan maju. Hakikatnya, kewujudan kelompok elit minda terjajah dikalangan cendekiawan tempatan yang begitu taksub dengan ilmu pengetahuan Barat Moden itulah yang menjadikan rakyat, umat dan masyarakat terus terjajah sehingga ke hari ini.

Terdapat cendekiawan tempatan yang menyangka bila kita mengusulkan dekolonialisasi dan kritik ilmu Barat Moden, maka seolah-olah kita menolak keseluruhan ilmu Barat Moden. Terdapat juga yang mendakwa kita sebagai hipokrit atau munafik kerana masih menggunakan hasil-hasil artifak sains dan teknologi ilmu Barat Moden dalam waktu yang sama mencadangkan dekolonialisasi dan kritik ilmu Barat Moden. Tidak kurang juga yang berfikir jika kita menolak ilmu Barat Moden kita akan menjadi mundur, terus lemah dan akhirnya merempat di atas muka bumi ini. Begitu juga ada yang membayangkan penentang ilmu Barat Moden sepatutnya pergi ke dalam hutan belantara dan tinggal dalam gua-gua kerana mereka ini anti-ilmu Barat Moden, anti-kemajuan dan anti-kehidupan moden.

KEMERDEKAAN ILMU tidak lain dari hasrat dan cita-cita PENDEMOKRASIAN ilmu pengetahuan iaitu seseorang secara individu atau sekelompok komuniti masyarakat mesti diberi peluang memperolehi dan mengembangkan ilmu berdasarkan faham, nilai, pegangan dan padangan hidup mereka sendiri. Yang paling penting KEMERDEKAAN ILMU memberi peluang individu dan komuniti mendapatkan ilmu yang sesuai dengan psikologi, identiti dan tradisi sejarah dan konteks sosio-budaya mereka sendiri secara kreatif lagi produktif. Persoalannya disini adakah metod, proses dan sistem ilmu Barat Moden yang diinstitusikan oleh universiti-universiti tempatan membenarkan PENDEMOKRASIAN DAN KEMERDEKAAN ILMU ini boleh terjadi. Ketidakupayaan universiti-universiti tempatan menyelesaikan isu penggunaan Bahasa Melayu vis-à-vis Bahasa Inggeris itu sendiri jelas menunjukkan bahawa universiti-universiti kita masih kuat dijajah minda para cendekiawannya.

Persoalan seterusnya adakah ilmu pengetahuan yang diiktiraf oleh dunia global ini hanyalah ilmu yang dihasilkan dari universiti-universiti yang berkiblat ke Barat. Digembar-gemburkan bahawa universiti-universiti berkiblatkan Barat mendominasikan penghasilan ilmu saintifik semasa justeru semua universiti dalam dunia mesti berkiblat ke Barat. Sebenarnya jika kita gabungkan semua bentuk penghasilan ilmu pengetahuan penduduk di muka bumi ini, maka ilmu yang dihasilkan di Barat menjadi sangat marginal dan minimum bukan sahaja dari segi kuantiti malah juga kualiti. Bagaimana ilmu yang dihasilkan di beberapa buah negara sahaja seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Itali dan Perancis menguasai politik dan ekonomi penghasilan ilmu sepatutnya menjadi kemusykilan bagi cendekiawan kita.

Bagaimana universiti dan cendekiawan kita menilai metod, proses dan sistem ilmu pengetahuan yang tidak berinspirasi dan berpaksikan kepada Barat Moden? Apakah nilai ilmu-ilmu tradisi, ilmu-ilmu budaya, ilmu-ilmu agama, ilmu-ilmu ekologi dan alam sekitar juga ilmu lokal, tradisional dan seumpamanya. Apakah nilai ilmu-ilmu kepelbagaian biodiversiti milik orang asli di pedalaman Sungai Pahang dan Sungai Perak? Apakah nilai ilmu-ilmu sistem ekologi di pedalaman Amazon? Apakah nilai ilmu-ilmu kesihatan dan perubatan Bukan Barat Moden yang digunakan dengan berkesan sejak zaman berzaman oleh billion penduduk dunia? Apakah nilai ilmu-ilmu adab, tingkah-laku dan cara-hidup berdasarkan oral dan turun-temurun yang dimiliki oleh umat manusia sejak sekian lama sebelum kemunculan ilmu Barat Moden?

Adakah universiti dan cendekiawan kita lupa bagi setiap penjelajahan dan penemuan ilmu-ilmu yang dikatakan BARU oleh komuniti universiti dan cendekiawan BARAT MODEN di luar tanah Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Itali dan Perancis itu mesti diiringi oleh orang-orang tempatan dan anak-anak watan yang jauh lebih mengetahui KEARIFAN LOKAL berbanding sang penyelidik BARAT MODEN tersebut? Betapa banyak eksplorasi dan ekspedisi ilmu dan sains ke Asia, Afrika dan Amerika Tengah dan Selatan tidak lain dari penjelasan KEARIFAN LOKAL orang-orang Asia, Afrika dan Amerika Tengah dan Selatan yang digelapkan dan dilupuskan peranan mereka dan sebaliknya menaikkan nama-nama orang BARAT MODEN sebagai penemu pertama itu dan ini.

Misalnya adakah pengawal-pengawal jurnal ilmu BARAT MODEN seperti Scopus dan ISI (dianggarkan dalam lingkungan 30,000 yang diindeks oleh kedua-dua pertubuhan ini) yang menjadi ketakjuban dan ketaksuban universiti dan cendekiawan tempatan hari ini benar-benar mewakili kesemua ilmu bagi umat manusia hari ini sehingga kita lupa terdapat ratusan ribu lagi jurnal yang tidak diindeks mereka yang telah dihasilkan oleh umat manusia yang tidak berkiblatkan kepada universiti BARAT MODEN mengunakan puluhan Bahasa selain dari Bahasa Inggeris. Bagaimana pula dengan pelbagai ilmu-ilmu yang telah dinyatakan tadi yang tidak dikodifikasikan dalam bentuk jurnal sepertimana metod, proses dan sistem ilmu BARAT MODEN?

Berbicara seperti ini bukan bermakna kita anti-ilmu pengetahuan untuk maju tetapi kita ingin mengeluarkan universiti dan cendekiawan agar tidak menjadi seperti katak bawah tempurung yang tidak boleh keluar untuk melihat ilmu selain dari ilmu yang berkiblat, berpaksi dan berinspirasi dari kerangka dan paradigma ilmu BARAT MODEN yang sangat chauvinis, rasis dan lokal pada peringkat pemulaannya sebelum ia dipropagandakan menjadi ilmu pengetahuan “universal”. Ramai yang tidak mengetahu bahawa metod, proses dan sistem ilmu BARAT MODEN ini sejak lebih 300 tahun telah menzalimi umat manusia dengan melenyapkan atau menghalang metod, proses dan sistem ilmu-ilmu lain BUKAN BARAT MODEN dari tumbuh, berkembang serta diiktiraf sebagai ilmu yang sah, saintifik malah lebih berguna untuk umat manusia. Inilah KEMERDEKAAN ILMU yang sebenarnya kita perlukan melalui DEKOLONIALISASI dan KRITIK ILMU sebagai Agenda Kesarjanaan dan Penyelidikan Nasional.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 51)

 

https://www.facebook.com/ISSIMalaysia/posts/2101070686634318


Sharing is caring

Comments

comments