SIRI 5 – KEKELIRUAN PSIKOLOGI DAN KOSMOLOGI ISLAM ORANG ARAB DAN KESTABILAN PSIKOLOGI DAN KOSMOLOGI AL-GHAZZALI BAGI ORANG MELAYU

Sharing is caring

NARATIF NUSANTARA SIRI 5:

KEKELIRUAN PSIKOLOGI DAN KOSMOLOGI ISLAM ORANG ARAB DAN KESTABILAN PSIKOLOGI DAN KOSMOLOGI AL-GHAZZALI BAGI ORANG MELAYU

Dr Amran Muhammad

Di kalangan para pentaksub dan pentaklid orang-orang Arab, ramai yang tidak menyedari dengan kependudukan dan keluasan yang hampir sama, bahawa rantau NUSANTARA hanya memiliki Malaysia, Indonesia dan Brunei sebagai negara-negara majoriti umat Islam berbanding dengan lebih 20 negara di kalangan negara-negara Arab. Negeri-Negeri Persekutuan Malaysia dan Wilayah-Wilayah Republik Indonesia boleh sahaja berpecah menjadi lebih 20 buah negara berasingan seperti yang berlaku bagi negara-negara Arab. Perkara ini penting untuk ditelusuri bagi menjelaskan perbedaan *NARATIF NUSANTARA* sebagai satu Pandangan dan Pengalaman Alam Keislaman yang membedakan rantau NUSANTARA atau Dunia Melayu dengan rantau Timur Tengah atau Dunia Arab. Dalam konteks ini cakap-cakap yang mengatakan tidak ada Islam Melayu, Islam Arab, Islam Turki dan seumpamanya adalah cakap-cakap yang tidak berdasarkan kepada fakta kontekstualisasi Islam dalam sejarah dan budaya masyarakat setempat. Sifat dan tabiat Islam itu sebagai sebuah agama yang universal sesuai pada semua zaman dan lingkungan tidak sama sekali menafikan faktor dan pengaruh tempatan dalam mewarnai kefahaman dan penghayatannya.

Para pentaksub dan pentaklid orang-orang Arab sepatutnya mempersoalkan diri mereka bagaimana sebuah negara yang berhasrat menubuhkan sebuah pusat keamanan global di NUSANTARA tetapi diwaktu yang sama terlibat secara langsung menyerang negara jiran-jiran Arabnya, campurtangan dalam urusan politik negara Arab lain serta menghasut negara-negara Arab lain memboikot negara jiran Arab dan Bukan Arabnya yang tidak sealiran atau sependapat dengannya. Lebih pelik dari itu bagaimana di kalangan negara-negara Arab tersebut boleh bersekongkol dengan Syaitan Besar Amerika Syarikat dan Zionis Israel dalam perkara-perkara yang secara terus-menerus menggagalkan usaha kewujudan semula Negara Palestin yang merdeka lagi berdaulat. Dan sepanjang kehidupan kita, umat NUSANTARA berasa hairan lagi ajaib bagaimana negara-negara Arab yang ramai penduduk dan kaya-raya dengan hasil minyak tidak berupaya membantu saudara seIslam mereka dari penjajahan Israel sejak lebih 60 tahun yang lalu.

Para pentaksub dan pentaklid orang-orang Arab sepatutnya sedar kemelut yang melanda umat dan masyarakat Islam Arab semasa di Timur Tengah tidak lain dan tidak bukan ialah hilangnya visi dan misi psikologi dan kosmologi tradisi Islam yang bertindak sebagai panduan dan pedoman kehidupan mereka. Perpecahan dan percanggahan politik, ekonomi dan sosial Arab tidak dapat tidak berkait-rapat dengan tertanggalnya pegangan visi dan misi psikologi dan kosmologi tradisi Islam khususnya yang berlaku dalam 100 tahun Abad ke 20 yang lalu. Sejak mereka mengeluarkan diri mereka dari naungan Khilafah Uthmaniyyah Turki melalui apa yang mereka sebut sebagai Revolusi Arab, juga pelbagai usaha sama ada Kebangsaan Sosialis Arab ataupun Keislaman Salafi Arab, semuanya berakhir dengan tercabutnya akar khazanah dan warisan Peradaban Islam lebih seribu tahun dari masyarakat Arab menjadikan mereka orang-orang Arab yang simplistik dan plastik seperti mana yang kita saksikan di Arab Western Cities di Mekah, Dubai, Doha dan lain-lain.

Sementara orang-orang Arab semasa telah tertanggal visi dan misi psikologi dan kosmologi tradisi Islam yang kaya termasuklah visi dan misi psikologi dan kosmologi Imam Al-Ghazzali, orang-orang Melayu pula tidak sedar bahawa dalam jiwa mereka di NUSANTARA masih tertanam akar visi dan misi psikologi dan kosmologi Imam Al-Ghazzali khususnya dari benih-benih Ihya Ulumuddin. *NARATIF NUSANTARA* hasil panduan dan pedoman psikologi dan kosmologi Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali tanpa disedari oleh orang Melayu menjadikan mereka lebih berdisiplin-diri, beradab-sopan, lembut lagi pemaaf berbanding dengan orang Arab. Justeru kestabilan politik, perpaduan umat, sikap tolak-ansur, budaya gotong-royong dan perasaan Muhibbah tentu sahaja tidak boleh dipisahkan dari peranan dan kesan ajaran-ajaran psikologi dan kosmologi Imam Al-Ghazzali yang membentuk pandangan dan pengalaman alam orang Melayu sehingga menerbit satu *NARATIF NUSANTARA* yang manifestasi kita lihat sehingga ini menjadikan rantau ini sebagai rantau Islam paling aman-damai berbanding dengan Timur Tengah misalnya.

Kembali atau merujuk semula kepada visi dan misi psikologi dan kosmologi Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali tidaklah bermakna kita menjadi pentaksub dan pentaklid buta Imam Al-Ghazzali pula. Tetapi dalam keadaan di mana majoriti umat Islam khususnya di negara-negara Arab dan bukan Arab seperti di Eropah, Amerika dan Australia tidak memiliki satu naratif utuh tentang psikologi dan kosmologi kehidupan muslim, maka *NARATIF NUSANTARA* yang berdasarkan visi dan misi psikologi dan kosmologi Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali boleh menawarkan alternatif terbaik dari sudut keIslamannya, keasliannya, keilmuannya, kerohaniannya malah ketamadunannya.

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*

 


Sharing is caring

Comments

comments