(NARATIF NUSANTARA SIRI 47) – MENGISI PERUBAHAN PEMIKIRAN RAKYAT MELALUI FALSAFAH, SAINS DAN PERADABAN

Sharing is caring

MENGISI PERUBAHAN PEMIKIRAN RAKYAT MELALUI FALSAFAH, SAINS DAN PERADABAN

Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Umumnya rakyat Malaysia dan khususnya orang Melayu Islam kurang membaca, berfikir, membuat kajian dan mencipta. Mereka lebih selesa disogokkan maklumat, diberikan jawapan, dimaklumkan penemuan serta menjadi pengguna yang naif. Akibatnya kita lemah dayasaing dan sering ketinggalan dalam pelbagai bidang berbanding dengan negara-negara yang pernah seangkatan dengan kita dalam persaingan dunia global hari ini. Rakyat Malaysia tidak memiliki sikap dan kesedaran Misi Peradaban (Civilising Mission) atau konsep Beban Orang Putih (White Man Burden) yang menjadi pencetus dan pendorong bagi masyarakat Barat meneroka malah menakluk seluruh pelusuk dunia atas keyakinan tersebut. Justeru semangat inilah yang menjadikan orang Barat membaca, berfikir, mengkaji dan mencipta sekaligus membina kekuatan falsafah, sains dan peradaban dalam pelbagai bentuk dan pecahan pengembangannya.

Pada saat ini, sementara pihak kerajaan, pimpinan politik dan pakar ekonomi mengendalikan hal-ehwal politik dan kebajikan ekonomi rakyat, rakyat jelata dan masyarakat awam tidak wajar dilalaikan dan dilenakan dengan pelbagai isu yang sudah tentu mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan. Sebarang perubahan politik tidak akan membawa makna yang besar dan berpanjangan kepada sesebuah negara dan rakyatnya jika ia tidak membangkitkan pula perubahan akal-budi, jiwa-nurani, sikap, minda dan cara berfikir mereka. Inilah perkara yang sepatutnya dirungsingkan oleh para ilmuan, cendekiawan, intelektual, profesor, akademik dan asatizah iaitu apakah perubahan lanskap luaran politik nasional turut akan disusuli dengan perubahan dalaman dan makna diri rakyat khususnya ke arah pembinaan negara yang lebih kuat, bermakna dan berdayasaing dipersada antarabangsa.

Bagaimanapun perkara ini hanya akan menjadi cakap-cakap kosong dan sembang kedai-kopi sahaja sekiranya para ilmuan, cendekiawan, intelektual, profesor, akademik dan asatizah tidak boleh menggerakkan rakyat ke arah perubahan yang lebih sukar ini iaitu menjadikan rakyat Malaysia rajin membaca, berfikir, mengkaji dan mencipta. Ini pula sudah tentu berkehendakkan supaya rakyat mula dijinakkan dengan hal-hal falsafah, sains dan peradaban yang mewakili secara umumnya hasil-hasil dari membaca, berfikir, mengkaji dan mencipta. Berupaya dan bermotivasikah para ilmuan, cendekiawan, intelektual, profesor, akademik dan asatizah menggembleng rakyat ke arah dunia baru penerokaan dan penaklukan ilmiyyah ini?

Falsafah sangat penting kerana ia mengajak manusia membaca dan berfikir menganalisis hal-hal lebih tinggi dan besar tentang makna dan tujuan kehidupan serta berupaya menjadi pemangkin terbitnya ilmu-ilmu, amalan-amalan juga ciptaan-ciptaan baru. Sains begitu mustahak kerana ia membawa manusia membaca dan mengkaji alam semesta sebagai Buku Besar Penciptaan yang membuktikan kebenaran serta akhirnya menghasilkan faedah-faedah yang mempermudahkan kehidupan. Peradaban pula memberi ruang dan peluang yang lebih luas bagi manusia menterjemahkan kreativiti dan inovasi dalam pelbagai dimensi kehidupan seperti seni, budaya, puisi, arkitek, teknologi, sastera, muzik dan seumpamanya. Falsafah, Sains dan Peradaban ketika ini tidak menjadi hasrat, cita-cita, visi dan misi bagi rakyat Malaysia khususnya umat Melayu Islam!

Rakyat Malaysia mesti keluar dari kepompong selesa mereka selama ini yang tidak menggalakkan kepada persoalan Falsafah, Sains dan Peradaban bersempena dengan perubahan besar politik ketika ini jika mereka ingin memperolehi makna yang berkekalan dari perubahan tersebut. Jika tidak lima tahun akan datang, rakyat Malaysia akan berada pada status quo atau takuk lama bila mana perubahan politik ini kembali kepada keadaannya yang normal dan bila perubahan tidak lagi menjadi keinginan besar rakyat Malaysia. Keadaan ini berlaku dibanyak tempat didunia dimana perubahan politik hanya bersifat one-off kerana akhirnya rakyat beberapa tahun selepas itu kembali seperti keadaan sebelumnya.

Satu gerakan mobilisasi pemikiran falsafah, sains dan peradaban perlu dimulakan pada pelbagai peringkat sekolah, kolej, universiti, NGO dan agensi pemerintah. Pembentukan perkumpulan kajian ilmiah seperti Bayt al-Hikmah, Ikhwan al-Safa, Vienna Circle dan Frankfurt School yang menumpukan aktiviti-aktiviti pembacaan, pemikiran, penyelidikan dan penciptaam mestilah dicetuskan oleh pimpinan sekolah, kolej, universiti, NGO dan agensi kerajaan. Penyebaran bahan-bahan bacaan pengetahuan am yang sangat lemah dikalangan rakyat Malaysia mestilah dipromosikan dengan penerbitan pelbagai koleksi dan ensiklopaedia pengetahuan am dalam pelbagai bidang ilmu. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlulah mengambil tanggungjawab ini.

Khusus bagi umat Islam, para penceramah, asatizah dan guru-guru agama sudah sewajarnya menghubungkaitkan ceramah, kuliah dan tazkirah yang diberikan dengan isu-isu falsafah, sains dan peradaban. Mereka tidak boleh sekadar menghadkan ajaran mereka hanya kepada soal hukum-hakam dan halal-haram sebaliknya mereka mesti menggarap Islam sebagai sebuah Peradaban meliputi penghasilan pemikiran, falsafah, sains dan teknologi. Di media-media siaran TV, para pengacara dan pengulas sudah sepatutnya berforum atau berwawancara mengenai falsafah, sains dan peradaban bukan asyik membicarakan isu-isu remeh-temeh dan hal-hal sensasi. Pembinaan dan pendedahan terhadap peningkatan dayafikir rakyat mestilah dititikberatkan. Sudah-sudahlah program-program popular yang tidak meningkatkan pemikiran malah memperbodoh-bodohkan sesama sendiri!

Dunia global sedang menghadapi krisis nilai, agama dan pemikiran yang dahsyat akibat modeniti dan rasionaliti yang tidak dipandu oleh wahyu Ilahi dan Sunnah Nabi. Diwaktu yang sama umat Islam diseluruh dunia berhadapan dengan pelbagai masalah tersendiri. Mengapa tidak umat Islam di Malaysia mengambil peranan dan tanggungjawab sebagai umatan wasata yang menjadi pewasit juga saksi dalam memperbaiki krisis kemanusiaan hari ini. Tetapi tanpa kekuatan falsafah, sains dan peradaban yang sudah tentu digabungjalin dengan nilai-nilai Islam, Al-Qur’an and Al-Sunnah, umat Islam di Malaysia tidak mungkin untuk memikul amanah ini. Ataupun umat Islam di Malaysia memang tidak pernah terfikir atau berfikir tentang amanah ini sebagai sebahagian dari amanah sebagai Khalifah di atas muka bumi ini yang membawa Islam sebagai Rahmat keseluruh pelusuk alam. Alangkah ruginya mereka sekiranya sedemikian halnya!

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 47)

 


Sharing is caring

Comments

comments