(NARATIF NUSANTARA SIRI 48) – MENCIPTA ILMU BARU ACUAN SENDIRI: PERANAN PROFESOR, UNIVERSITI DAN DUNIA ILMU DI MALAYSIA BARU

Sharing is caring

MENCIPTA ILMU BARU ACUAN SENDIRI: PERANAN PROFESOR, UNIVERSITI DAN DUNIA ILMU DI MALAYSIA BARU

Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Meskipun ramai sarjana luar dan tempatan telah berdekad-dekad menyatakan keperluan menyahut cabaran De-Westernisasi Ilmu atau De-Kolonialisasi Ilmu juga memulakan Islamisasi Ilmu atau Pribumisasi Ilmu, gesaan ini umpama mencurah air didaun keladi ataupun masuk telinga kanan keluar telinga kiri bagi para profesor, universiti dan dunia ilmu Malaysia. Dunia Ilmu, universiti dan profesor di Malaysia lebih selesa menjadi pengguna ilmu orang dari menjadi pencipta ilmu sendiri. Mereka tidak menganggapkan proses penghasilan ilmu-ilmu baru berdasarkan acuan kearifan tempatan yang digabungjalinkan dengan ilmu-ilmu semasa dari konteks luar sebagai sesuatu yang bermanfaat. Para profesor, universiti dan dunia ilmu Malaysia tidak pernah melibatkan diri dalam debat-debat besar yang bersifat kritis terhadap sifat, tabi’at, metodologi dan trajektori ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin.

 

Hakikatnya para profesor, universiti dan dunia ilmu Malaysia telah sekian lama membina kepompong selesa mereka. Mereka lebih bersungguh-sungguh melayan kerenah Menteri dan ahli politik dari mencipta dan mengembangkan ilmu-ilmu baru. Mereka lebih berlumba-lumba untuk merebut jawatan dan geran penyelidikan dari membentuk dan melahirkan graduan-graduan yang berkualiti. Regim Managerialisme dan Korporatisme ilmu dan pendidikan yang diserapkan dalam dunia ilmu, universiti dan profesor ketika ini semakin menghilangkan minat dan motivasi mereka untuk menghasilkan ilmu-ilmu baru dalam acuan sendiri. Akibatnya para profesor, universiti dan dunia ilmu negara sentiasa mengekor dibelakang para profesor, universiti dan dunia ilmu Barat – pusat penciptaan dan penghasilan ilmu-ilmu baru hari ini.

Sedikit sekali para profesor, universiti dan dunia ilmu Malaysia yang memahami apatah lagi menghayati kepentingan faham “Ilmu sebagai Sarat-Nilai” – (value-ladenness of knowledge) yang membezakan ilmu-ilmu Yunani, Islam, Eropah Abad Pertengahan dan Barat Moden hari ini. Masih ramai lagi dikalangan mereka yang taksub berpegang dengan faham “Ilmu Sebagai Bebas-Nilai” – (Value-Free Knowledge) tajaan Falsafah Ilmu Logical Positivism yang telah lama dimatikan hujah-hujahnya oleh sejarah sains, falsafah sains dan sosiologi sains. Jarang sekali para profesor, universiti dan dunia ilmu Malaysia memberi perhatian terhadap isu-isu falsafah, metafizik, epistemologi dan metodologi disiplin ilmu pengetahuan ini. Dalam ertikata yang lain para profesor, universiti dan dunia ilmu Tanahair bersikap dogmatik terhadap ilmu dan tidak bersikap kritis terhadap ilmu tersebut seperti yang berlaku di Barat.

Para profesor, universiti dan dunia ilmu Malaysia sepatutnya mengorak-langkah pro-aktif dan kreatif bersempena dengan perubahan politik negara untuk membina kemandirian dan kewibawaan keilmuan khususnya dalam mendepani krisis dan cabaran ilmu semasa. Misalnya, meskipun faham Logical Positivism sebagai falsafah ilmu telah lama mati, aplikasi dan penghayatannya masih berleluasa dalam kebanyakan disiplin ilmu pengetahuan dan ini terus meninggalkan kesan buruk dalam kehidupan manusia. Lihat sahaja kegagalan ilmu Sains Politik membina kehidupan politik yang stabil bagi manusia, ilmu Ekonomi yang sejak dahulu gagal memberikan kesejahteraan ekonomi sebaliknya kemiskinan terus bermaharajalela, ilmu Sosiologi yang tidak boleh membendung keruntuhan institusi sosial seperti keluarga, ilmu Psikologi yang tidak boleh berbuat apa-apa dengan peningkatan masalah psikologi-mental manusia. Apakah ilmu-ilmu dan sains-sains ini tidak bersalah dalam ketidakmampuan mereka menangani pelbagai persoalan kemanusiaan tersebut? Justeru apa peranan sosial mereka sebagai disiplin ilmu?

Jika ilmu-ilmu sains sosial telah menerbitkan jurang yang besar antara teori ilmu dengan realiti kehidupan, ilmu-ilmu sains tabi’i dan fizikal yang berkembang menjadi sains-sains gunaan, industri dan kejuruteraan juga tidak terlepas dari masalah. Sebahagian besar dari bencana alam sekitar dan masalah pemanasan global semasa terbit dari ilmu-ilmu buatan manusia itu sendiri atau disebut Anthropocene. Ini tidak termasuk yang jelas seperti penggunaan senjata-senjata canggih yang menerbitkan peperangan dan pembunuhan dalam kehidupan. Dalam soal yang lebih spiritual dan intelektual, ilmu-ilmu sains tabi’i dan fizikal semasa yang telah berusia lebih 300 tahun ini masih belum berupaya membawa manusia mengenal Tuhan Maha Pencipta dan memahami hakikat, tujuan dan makna Kebenaran dan Kehidupan.

Para profesor, universiti dan dunia ilmu kita tidak boleh sekadar menjadi juruteknik yang mengumpulkan apa yang disebut hari ini sebagai “big data” dan “mega data”, sama ada data eksperimen atau data observasi semata-mata. Data-data pada peringkat pertama memanglah perlu ke arah penghasilan ilmu tetapi ia tidak boleh terhenti pada tahap rendah semata-mata. Pendekatan meta-sains/meta-teori dan sains order ke dualah yang lebih penting dalam pembentukan ilmu-ilmu baru. Para profesor, universiti dan dunia ilmu kita mesti meninggalkan aktiviti-aktiviti menyusun “jigsaw puzzle”ciptaaan orang lain untuk membuat “jigsaw puzzle” mereka sendiri. Mereka perlu mula berjinak-jinak dengan sifat kritis terhadap sifat, tabi’at, metodolologi dan epistemologi ilmu pengetahuan jika ingin mencipta ilmu sendiri.

Meskipun tidak dapat dinafikan terdapat segelintir profesor, sebilangan universiti dan sekelompok dunia ilmu Tanahair yang mungkin terlibat mencipta ilmu dalam acuan sendiri selama ini, namun mereka bukanlah di arus perdana malah sekadar dipinggiran melukut ditepi gantang. Juga tidak dapat dinafikan terdapat sebahagian disiplin-disiplin ilmu yang lebih bersifat perkhidmatan terus, order pertama sains, kegunaan yang tidak begitu memerlukan usaha-usaha ciptaan menggunakan acuan sendiri. Bagaimanapun secara dasarnya pelbagai disiplin ilmu ini masih perlu diciptakan sendiri oleh para profesor, universiti dan dunia ilmu tempatan melihat kepada krisis dan kegagalan ilmu-ilmu semasa dalam menjawab dan menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan manusia hari ini. Para profesor, universiti dan dunia ilmu dalam era Malaysia Baru harus mula berfikir dan merenung peranan dan tanggungjawab ini sekiranya mereka ingin menjadikan perubahan politik ini lebih bermakna dari segi jangkapanjang. Tidak ada yang lebih berkekalan dalam perubahan masyarakat berbanding dengan perubahan yang membabitkan ilmu dan pemikiran masyarakatnya.

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 48)

 


Sharing is caring

Comments

comments