(NARATIF NUSANTARA SIRI 49) – MELUASKAN DAN MENDALAMKAN TAKRIF ISLAM DALAM MENGISI ERA PERUBAHAN MALAYSIA MEMASUKI ABAD KE 21

Sharing is caring

MELUASKAN DAN MENDALAMKAN TAKRIF ISLAM DALAM MENGISI ERA PERUBAHAN MALAYSIA MEMASUKI ABAD KE 21

Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Kefahaman, penghayatan dan tujuan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin atau Rahmat kepada Sekalian Alam tidak mungkin terlaksana sekiranya takrif/definisi Islam disempitkan hanya kepada takrif/definisi tekstual apatah lagi literal. Ini bermakna takrif/definisi Islam yang tidak mengambil kira sejarah perkembangan, penghasilan dan pencapaian Peradaban Islam sebagai sebahagian dari takrif/definisi Islam itu sendiri akan cenderung untuk mengkotakkan Islam dalam kefahaman, penghayatan dan tujuan yang sempit lagi terhad. Persoalan pentakrifan/pendefinisian Islam ini penting memandangkan terdapat pelbagai pendekatan dan dakwaan bagaimana untuk mengartikulasikan Islam dalam dunia kontemporari yang sebahagiannya bertentangan dan antara satu sama lain.

Umat Islam di Malaysia bertuah kerana memasuki Abad ke 21 dalam suasana yang lebih moden dan kosmopolitan berbanding dengan sebahagian besar negara umat Islam yang masih terperangkap dalam kapsul waktu silam kerana gagal menggarap takrif/definisi yang sesuai untuk difahami dan dihayati dalam konteks dunia global semasa. Malah ada sebuah negara Islam yang tiba-tiba menjadi begitu radikal dan ekstrem dalam menerima kehidupan moden dan kosmopolitan setelah sekian lama terperosok dalam kejumudan dan ketaksuban tertentu tentang takrifan/definisi Islam. Ini bermakna pentakrifan/pendefinisian Islam yang tidak tepat yang diambil akan mengakibatkan kesan yang merugikan dalam kehidupan umat itu sendiri serta akan memberikan persepsi atau imej yang buruk tentang Islam kepada mata dunia.

Perkembangan mutakhir Malaysia yang menyaksikan perubahan bersejarah lanskap politik negara pada masa yang sama ketika negara memasuki Abad ke 21 yang global lagi mencabar memerlukan penelitian yang lebih meluas dan mendalam tentang apakah rupa-bentuk dan isi-kandungan Islam yang boleh disepakati dari segi takrif/definisi malah rujukan serta hala-tujunya. Ini bagaimanapun BUKAN bermaksud satu inisiatif REVISI ATAU REFORMASI DAN PENILAIAN SEMULA ISLAM, malah ia lebih merupakan satu PENJELASAN DAN PENEGASAN SEMULA ISLAM dengan melihat kepada fakta-fakta dan bukti-bukti sejarah dan manifestasi bagaimana Islam itu tumbuh, berkembang dan subur sebagai bukan sahaja sebagai ritual dan rutin agama tetapi juga sebagai tamadun dan peradaban manusia iaitu Rahmatan Lil Alamin dalam pengertiannya yang sebenar.

Sebagai sebuah tamadun/peradaban agung yang diiktiraf, menggali dan menimbulkan kembali hikmah silam yang hilang – tamadun/peradaban Yunani, menjadi sumber inspirasi dan bahan mentah tamadun/peradaban Eropah Abad Pertengahan dan Barat Moden, dengan ia sendiri mencipta kegemilangan dan kecemerlangan tamadun/peradaban yang tiada tolok bandingnya sehingga kini, tidak mungkin takrif/definisi Islam bergantung kepada teks yang literal semata-mata. Fenomena Islam yang disempitkan dengan hanya merujuk kepada teks inilah yang telah menghantui umat Islam pada Abad ke 20 yang mana ia berakhir dengan kegagalan umat Islam untuk berkreatif dan berinovatif sepertimana yang telah dilakukan oleh pencetus dan pembina tamadun/peradaban Islam sebelum mereka.

Dalam konteks negara Malaysia moden dan kosmopolitan yang sedang berubah pesat secara politik menghadapi dunia global Abad ke 21, pendekatan sempit tekstual yang mengabaikan sumbangan dan khazanah tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang besar hanya akan menjadikan Islam sangat cetek, rutin dan ritual. Misalnya dalam menghadapi kemajmukan dan pertembungan pemikiran masyarakat Malaysia semasa tanpa merujuk kepada pemikiran kefalsafahan Ibnu Sina dan Fakhruddin Al-Razi, pemikiran Kalam/Teologi Al-Ash’ari dan Al-Sanusi, pemikiran kerohanian Ibnu Arabi dan Al-Rumi dan pemikiran ketamadunan Al-Ghazali dan Ibnu Khaldun, Islam di Malaysia tidak mungkin berupaya menangani kerumitan kemajmukan dan pertembungan pemikiran yang sedang berlaku.

Ini yang dimaksudkan betapa takrif/definisi Islam perlu diluaskan dan didalamkan dengan mengambil kira sumbangan dan penghasilan peradaban Islam itu sendiri yang juga telah memberikan takrif/definisi Islam sesuai dengan cabaran zaman dan lingkungan yang mereka hadapi. Kecenderungan gerakan “memurnikan” Islam yang terbit di Timur Tengah pada Abad ke 18 yang menjadi pesat pada Abad ke 20 adalah antara fenomena yang penting mempengaruhi cara berfikir dan bertindak umat Islam semasa atas kefahaman dan penghayatan Islam yang sangat tekstual dan literal. Kefahaman dan penghayatan Islam “Puritan” inilah yang telah mengakibatkan Islam dan umat Islam di Timur Tengah menjadi huru-hara dan haru-biru akibat kegagalan untuk menggarap Islam dalam perubahan zaman dan lingkungan secara lebih meluas dan mendalam.

Tentu sekali dalam konteks Islam dan umat Islam di Malaysia, pendekatan “pemurnian” atau “puritanisme” tekstual literal yang menggelapkan/mengabaikan khazanah dan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam sebagai sebahagian dari takrif/definisi Islam tidak menjadi kelaziman kefahaman dan penghayatan Islam di rantau Nusantara Kepulauan Melayu sejak lebih 500 tahun yang lalu. Kelaziman ini perlu dipelihara oleh semua pihak yang prihatin terhadap bahaya pendekatan pendekatan “pemurnian” atau “puritanisme” tekstual literal yang dari masa ke semasa timbul dan menerbitkan keresahan umat Islam di Malaysia. Bagi menjamin kestabilan dan kesinambungan Islam di Malaysia yang lebih terbuka dan meraikan kemajmukan, maka naratif Islam Nusantara ini perlu dikekalkan dengan segala penambahbaikan dari kita mengambil naratif yang asing dari umat Islam wilayah ini.

Ahli politik, pembuat dasar dan intelegensia umat mestilah memiliki gambaran yang lebih luas dan dalam tentang sejarah perkembangan Islam sebagai sebuah perabadan besar yang mencorakkan kehidupan manusia dan dunia. Kefahaman dan penghayatan Islam tidak boleh ditumpukan hanya kepada nas-nas Al-Quran, hadis-hadis dan fatwa-fatwa fekah secara tekstual semata-mata malah ia mesti meliputi kefahaman terhadap tekstual yang dilatarbelakangkan dengan konteks yang tertentu khususnya dalam rujukan Islam sebagai Iman-Islam-Ihsan atau Akidah-Fekah-Tasawwuf yang lebih menyerlahkan sifat dan tabi’at Islam sebagai sebuah agama yang bersistem, berdisiplin dan bermetodologi. Malah pengambilan teks-teks al-Qur’an, al-Hadis dan Fatwa Fekah tanpa merujuk kepada sistem, disiplin dan metodologi tradisi akidah-Fekah-Tasawwuf (asalnya Iman-Islam-Ihsan) akan menerbitkan kejanggalan dan ketidakserasian dengan semangat dan ruh Islam sekiranya dibuat secara adhoc, dipaksakan dan tempelan.

Sama ada kita suka atau tidak, para ulama, agamawan dan asatizah mesti mengakui Islam dan umat Islam Malaysia berdepan dengan cabaran besar dalam mengungkap, memahami dan menghayati Islam ketika ini. Perlu diadakan dialog dan interaksi antara para ulama, agamawan dan asatizah dengan ahli politik, pembuat dasar dan intelegensia untuk menghurai, menjelas dan menegaskan takrif/definisi Islam yang lebih meluas dan mendalam disebabkan Islam bukanlah sebuah agama rutin dan ritual yang simplistik seperti buku resepi memasak yang boleh dipetik-petik begitu sahaja. Hanya dengan dialog dan interaksi yang terbuka tetapi penuh hormat antara satu sama lain sahaja sifat dan tab’iat Islam sebagai Rahmat Kepada Sekalian Alam itu benar-benar menjadi kenyataan dan bukan slogan dan retorik kosong semata-mata. Saat ini adalah masa dan ketikanya untuk dialog dan interaksi kerana umat Islam di Malaysia perlu bergerak kehadapan mengisi perubahan politik dan memasuki Abad baru ke 21.

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati kesejahteraan, keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 49)

 


Sharing is caring

Comments

comments