NARATIF NUSANTARA SIRI 40 – MENGAPA ISLAM PERLU MENGAMBIL-ALIH SEMULA KEPIMPINAN ILMU SEMASA DARI PERADABAN BARAT MODEN?

Sharing is caring

(NARATIF NUSANTARA SIRI 40)

MENGAPA ISLAM PERLU MENGAMBIL-ALIH SEMULA KEPIMPINAN ILMU SEMASA DARI PERADABAN BARAT MODEN?

Dr Amran Muhammad

Sukar untuk membayangkan umat Islam boleh menguasai kepimpinan global politik-negara, ekonomi-perniagaan, sosio-budaya, industri-teknologi dan ketenteraan-persenjataan dalam waktu terdekat melihat kepada penguasaan menyeluruh dalam bidang-bidang tersebut oleh Negara-Negara Barat. Ini ditambah pula dengan kelemahan dasar, institusi dan perlaksanaan yang sedia ada dalam bidang-bidang yang dinyatakan dikalangan Negara-Negara Islam. Monopoli dan dominasi Barat sejak lebih 300 tahun yang lalu dalam dunia politik-negara, ekonomi-perniagaan, sosio-budaya, industri-teknologi dan ketenteraan-persenjataan ini tidak lain telah dicetus dan dipacu oleh kepimpinan ilmu pengetahuan semasa yang mereka cipta, olah, kuasai, miliki, paksa dan sebar-luaskan seantero dunia termasuk dunia umat Islam. Barangsiapa yang menguasai ilmu pengetahuan semasa dia menguasai dunia seperti disebut oleh tokoh utama Revolusi Saintifik Abad ke 17, Francis Bacon bahawa “knowledge is power”(scientia potentia est).

Malangnya paradigma dan sistem ilmu pengetahuan berusia 300 tahun ini yang menghasilkan pelbagai ilmu-ilmu teoretis, praktikal dan teknologi kini telah menerbitkan pelbagai krisis dalam kehidupan manusia. Yang nampak jelas didepan mata ialah krisis pencemaran dan kemusnahan alam-sekitar serta krisis peperangan dan peralatan pembunuhan juga krisis kepenggunaan melampau dan cara-gaya hidup materialistik. Yang tidak nampak dimata tetapi kesannya sangat mendalam terhadap kehidupan manusia ialah krisis nilai, kebenaran dan tujuan ilmu pengetahuan itu sendiri. Terutamanya apakah hubungan penghasilan semua ilmu pengetahuan ini dalam skima kehidupan yang lebih besar berkait dengan persoalan-persoalan Ketuhanan, Keagamaan, Kejadian Alam, Manusia dan Diri-Individu itu sendiri. Sangat jelas sekali paradigma dan sistem ilmu semasa dengan segala cabang dan sub-cabangnya tidak menganggap persoalan-persoalan tersebut sebagai sebahagian dari cakupan atau skop pencarian atau perbahasan mereka. Tanpa disedari penolakan terhadap hal-hal tersebut menjadikan ilmu pengetahuan semasa bersifat sama ada agnostik (tidak tahu), skeptik (tidak pasti) atau atheis (tidak menerima) khususnya tentang Ketuhanan dan Kebenaran.

Ramai dikalangan sarjana, penyelidik dan pengamal ilmu pengetahuan semasa Muslim sendiri seolah-olah menganggap sifat dan tabi’at agnostik, skeptik dan atheis terhadap Tuhan dan Agama atau juga disebut Sekular sebagai sesuatu yang tidak boleh dielakkan dalam proses pencarian dan penghasilan ilmu. Mereka terperangkap dalam faham Positivisme Zaman Pencerahan Barat Abad ke 18 yang mempropagandakan ilmu pengetahuan sebagai suatu yang neutral, objektif, universal dan tidak berasaskan kepada mana-mana nilai Ketuhanan dan Keagamaan. Meskipun persoalan sarat-nilainya ilmu pengetahuan semasa yang telah mengalami proses sekularisasi telah lama diperkatakan oleh Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Tanah Air kita dan di peringkat antarabangsa dan beliau mengemukakan Agenda Islamisasi atau De-Westernisasi ilmu sebagai jalan-keluar bagi umat Islam, saranan dan gagasan besar ini masih belum nampak difahami oleh sarjana, penyelidik dan pengamal ilmu pengetahuan semasa Muslim apatah lagi untuk mereka menghayatinya.

 

Bagaimanapun kesedaran dan keinsafan untuk memperbetulkan semula perjalanan dan perkembangan ilmu semasa melalui Agenda Islamisasi atau De-Westernisasi Ilmu boleh dipertingkatkan sekiranya sarjana, penyelidik dan pengamal ilmu pengetahuan semasa Muslim dapat memahami trajektori/hala-tuju perjalanan dan perkembangan ilmu pengetahuan manusia sejak dahulu-kala serta melihat sikap pelbagai Peradaban Ilmu terhadap ilmu-ilmu yang mereka hasilkan dan membandingkan pula dengan sikap Revolusi Saintifk Abad ke 17 dan Zaman Pencerahan Eropah Abad ke 18 terhadap hasilan ilmu mereka. Pengetahuan tentang sejarah perkembangan ilmu pengetahuan manusia dan latar-belakang idea-idea yang mencetuskan ilmu pengetahuan menjadikan kita lebih peka terhadap sifat dan tabi’at sarat-nilai (value-laden) ilmu yang pasti terbit dari zaman dan lingkungan khusus oleh para ilmuan zaman tersebut. Ini kerana usia-hayat 300 tahun lebih ilmu pengetahuan semasa Peradaban Barat Moden meskipun nampak lama masih sangat muda dan pendek berbanding katakan 2500 tahun sejarah perkembangan ilmu pengetahuan Yunani (1000 tahun), Islam (1000 tahun) dan Eropah Abad Pertengahan (500 tahun). Ini tidak termasuk pula sejarah dan tradisi ilmu pengetahuan Peradaban lain seperti Cina, India, Afrika dan Amerika Selatan misalnya yang sudah tentu memiliki paradigma dan sistem ilmu mereka sendiri.

Sekiranya kita meneliti sejarah dan tradisi ilmu yang lebih panjang termasuklah Yunani, Islam dan Eropah Abad Pertengahan, paradigma dan sistem ilmu semasa arus perdana mereka sentiasa merujuk kepada persoalan pencarian dan penghasilan ilmu ke arah nilai-nilai yang tinggi berhubung dengan Ketuhanan, Keagamaan dan Kebenaran. Paling jelas dalam sejarah dan tradisi Islam, pencarian dan penghasilan ilmu adalah sebahagian dari usaha-usaha transformasi diri ke arah mengenal Maha Pencipta dan meletakkan diri-peribadi dalam kerangka interaksi harmoni Diri-Tuhan-Alam-Manusia. Nilai-nilai penyucian dan peningkatan diri serta tujuan-tujuan Ketuhanan, Keagamaan dan Kebenaran menjadi titik-mula dan titik-akhir proses pencarian dan penghasilan ilmu. Sebagai contoh dalam Ilmu Kalam, perbincangan tentang Alam Fizikal tentang penciptaan dan isi-kandungannya diasaskan dari faham kebenaran ilmu, faham hakikat kewujudan dan dihubungkaitkan dengan perbincangan Ketuhanan (Ilahiyat), Kenabian (Nubuwwat), Hari Akhirat (Sam’iyyat) malah Politik (Imamah). Dalam ertikata yang lain paradigma dan sistem ilmu semasa Islam bersifat bersepadu atau berintegrasi antara ilmu mengenai sifat kejadian alam fizikal dengan ilmu mengenai sifat dan perbuatan Tuhan. Perkara yang sama dalam menggabungkan persoalan alam fizikal dengan persoalan ketuhanan juga wujud dan berlaku dalam paradigma dan sistem ilmu Yunani dan Eropah Abad Pertengahan.

Bagaimanapun dalam paradigma dan sistem ilmu semasa, sama ada sains fizikal seperti fizik, kimia dan biologi atau sains sosial seperti ekonomi, politik dan psikologi, tidak terdapat langsung persoalan-persoalan Ketuhanan, Keagamaan dan Kebenaran dalam tujuan dan isi-kandungan ilmu-ilmu pelbagai ini. Malah sebarang usaha sama ada secara tersirat apatah lagi tersurat yang cuba mengaitkan Tuhan, Agama dan Kebenaran dalam proses pencarian dan penghasilan ilmu akan dianggap jahil dan jumud dari perspektif dunia ilmu semasa. Tidak ada jurnal dan penerbitan bertahap tinggi dan ternama ilmu-ilmu semasa yang pelbagai akan menerbitkan makalah dan penulisan yang berbicara tentang Tuhan, Agama dan Kebenaran sama ada dalam fizik, kimia, biologi, ekonomi, politik dan psikologi. Dalam ertikata yang lain, sarjana, penyelidik dan pengamal ilmu pengetahuan semasa Muslim hanya boleh mengungkapkan tentang Ketuhanan, Keagamaan dan Kebenaran di Masjid dan majlis-majlis agama tetapi menjadi agnostik, skeptik malah atheis tentang Tuhan, Agama dan Kebenaran di Makmal dan kuliah-kuliah Ilmu Semasa mereka. Dikotomi dan dualisme keperibadian sarjana, penyelidik dan pengamal ilmu pengetahuan semasa Muslim menjadi Islam dan Sekular dalam dua keadaan pemikiran dan tindakan adalah perkara yang lumrah sejak mula ilmu-ilmu semasa Barat ini ini sampai dan menyerap dalam dunia umat Islam.

Melihat kepada krisis alam nyata dan nilai yang terbit dari paradigma dan sistem ilmu semasa ciptaan Peradaban Barat, generasi muda sarjana, penyelidik dan pengamal ilmu Muslim perlu tampil kehadapan mengambil-alih kepimpinan ilmu semasa dengan mengemukakan sikap dan sifat ilmu bukan hanya dari tradisi Islam malah dari tradisi Yunani dan Eropah Abad Pertengahan, malah tradisi Cina, India dan lain-lain sebagai alternatif atau pengganti kepada ilmu semasa Peradaban Barat Moden ini. Generasi muda sarjana, penyelidik dan pengamal ilmu Muslim mestilah berusaha keluar dari sifat takjub, taklid dan taksub yang membuta-tuli dengan ilmu semasa Barat. Selain dari ilmu semasa Barat, banyak lagi ilmu-ilmu Islam, Yunani, Eropah Abad Pertengahan, Cina, India dan Afrika yang juga merupakan Hikmah yang perlu dipelajari dan mungkin lebih bermakna dan berguna dari ilmu semasa Barat Moden 300 tahun lebih ini. Generasi muda sarjana, penyelidik dan pengamal ilmu Muslim mestilah memeriksa mengapa ilmu Barat Moden selepas Revolusi Sains Abad ke 17 dan Zaman Pencerahan Eropah Abad ke 18 menjadi sekular. Dan seterusnya pada Abad ke 19 dan ke 20 menjadi obses terhadap positivisme, saintisme, anti-metafizik dan anti-etika/nilai.

Mengambil-alih kepimpinan ilmu semasa Peradaban Barat Moden bukan bermakna, generasi muda sarjana, penyelidik dan pengamal ilmu Muslim mesti menjadi Menteri Pendidikan, Naib Canselor/Rektor Universiti atau Pengarah/Ketua Makmal Penyelidikan. Malah adalah lebih malang bila ramai dikalangan Menteri Pendidikan, Naib Canselor/Rektor Universiti atau Pengarah/Ketua Makmal Penyelidikan di Negara-negara Islam sangat takjub, taklid dan taksub terhadap positivisme, saintisme, anti-metafizik dan anti-etika/nilai dalam pemikiran dan amalan ilmu mereka. Ketika idea-idea dekolonialisasi ilmu sedang giat dibicarakan, mereka masih terperangkap dengan ilmu para penjajah walaupun telah sekian lama merdeka. Ketika idea-idea positivisme dan saintisme telah lapuk dalam falsafah Barat, mereka masih bersungguh-sunguh berbicara tentang penghasilan bilangan dan pengukuran kuantiti, bermati-matian membina sistem managerialisme dan regim Taylorisme dalam empayar ilmu mereka. Misalnya tujuan utama pencarian dan penghasilan ilmu di universiti ketika ini ialah untuk memperolehi keuntungan bukan kebenaran. Malah tujuan untuk memasuki universiti itu sendiri ialah untuk menyediakan kemahiran pekerjaan bukan untuk menyediakan pengetahuan tentang kebenaran kepada mahasiswa.

Mengambil-alih semula kepimpinan ilmu semasa bermaksud membebaskan diri dari belenggu penjajahan ilmu asing, membina semula makna, tujuan, hiraki dan skima ilmu sesuai dengan ajaran agama, memasukkan dalam ilmu semasa hakikat-hakikat utama dalam kehidupan tentang Tuhan, Agama dan Kebenaran setidak-tidaknya untuk bilion generasi muda umat Islam. Inilah jihad ilmiyyah dan maknawiyyah generasi muda sarjana, penyelidik dan pengamal ilmu Muslim Abad ke 21 bagi menggalas kegagalan generasi Abad ke 20 sebelum ini memikul tanggungjawab yang sangat penting untuk umat manusia iaitu mempelopori dan mempertahankan Ilmu untuk tujuan Ketuhanan, Keagamaan dan Kebenaran dan menghindarkan Ilmu yang mengakibatkan Agnostisme, Skeptisme dan Atheisme atau Sekularisme.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 40)


Sharing is caring

Comments

comments