(NARATIF NUSANTARA SIRI 39) PERUBAHAN/ISLAH/REFORMASI/TRANSFORMASI DIRI-PERIBADI MESTI MENDAHULUI PERUBAHAN/ISLAH/REFORMASI/TRANSFORMASI POLITIK-NEGARA

Sharing is caring

(NARATIF NUSANTARA SIRI 39)

PERUBAHAN/ISLAH/REFORMASI/TRANSFORMASI DIRI-PERIBADI MESTI MENDAHULUI PERUBAHAN/ISLAH/REFORMASI/TRANSFORMASI POLITIK-NEGARA

Dr Amran Muhammad

Para politikus sering menyangka serta mengangan-angankan dengan sekadar melaung-laungkan “perubahan/islah/reformasi/transformasi” kehidupan masyarakat akan berubah menjadi lebih baik sekiranya mereka dipilih sebagai pemimpin. Demi mencapai impian tersebut para politikus menanam dalam benak masyarakat hanya dengan perubahan politik-negara melalui batang-tubuh mereka sahajalah masyarakat akan menikmati suasana hidup yang lebih baik dari sebelum ini. Hakikatnya setelah puluhan tahun para politikus tersebut mendendangkan slogan dan retorik perubahan/islah/reformasi/transformasi, begitu jugalah puluhan tahun nasib dan keadaan masyarakat berada pada takuk yang sama dek kerana propaganda perubahan/islah/reformasi/transformasi tidak lebih dari ungkapan kosong yang tidak membawa apa-apa makna yang boleh merubah dalaman diri-diri masyarakat apatahlagi batang-tubuh dan jiwa-nurani para politikus itu sendiri. Ini kerana menjadi *Sunnatullah* juga *Hikmah Silam* malah *Hukum Alam* bahawa perubahan/islah/reformasi/transformasi hakiki mesti dimulakan dengan perubahan diri-peribadi bukan perubahan politik-negara.

Perubahan/islah/reformasi/transformasi diri-peribadi yang dicontohkan oleh Baginda Rasullullah SAW dengan para sahabat RA hanya menghasilkan buah-buah politik-negara pada fasa kedua Kenabian Baginda SAW. Aristo ‘Mu’allim al-Awwal’ Failasuf Yunani Kuno membentangkan Etika Nicomachea terlebih dahulu sebelum membicarakan Gagasan Politik beliau. Aflatun ‘Ilahi’ juga berbuat hal yang sama dalam Republik beliau. Faham baiki/ubah diri-peribadi dahulu kemudian baru ubah politik-negara ini diikuti oleh hampir kesemua ulama agung Islam seperti Ibn Sina, Farabi, Miskawayh, Ghazali, Ibn Khaldun dan ramai lagi. Malah Shaykh al-Akbar Tasawwuf Ibnu ‘Arabi banyak menyebut tentang bagaimana penguasaan Kerajaan Alam Zahir Manusiawi ini sekadar manifestasi keupayaan pengawalan Kerajaan Jiwa-Nafsu Peribadi dipandu oleh Kerajaan Naungan Ilahi. Dalam Tradisi Hikmah Silam dan Islam, kebolehupayaan Kerajaan/Pemerintahan/Governan Makrokosmos bergantung-kuat kepada Kerajaan/Pemerintahan/Governan Mikrokosmos. Dunia dan alam hanya boleh diubah oleh diri dan peribadi individu.

Tentu sekali bagi para politikus, para penyokong mereka dan kelompok pengkaji tidak ketinggalan gerombolan pundit politik semasa, faham Kerajaan Diri-Peribadi mesti mendahului Kerajaan Politik-Negara dianggap asing dan tidak lagi relevan. Justeru tidak menghairankan sekali mengapa dunia politik-negara hari ini menjadi serba-keliru lagi caca-marba dek kerana visi dan tradisi politik-negara Islam dan juga Silam yang menekankan perubahan/islah/reformasi/transformasi diri-individu secara bersepadu antara Dalam Diri Insan, Tuhan, Manusia dan Alam tidak lagi menjadi keutamaan kaedah berpolitik manusia moden dan pascamoden semasa. Malah mungkin Machiavelli, pencetus pemikiran politik “oportunis” dan “manipulatif” boleh terbangun dari kubur beliau menyaksikan para politikus semasa berpolitik yang diluar jangkauan pemikiran beliau sendiri. Kemunculan idea-idea pascakebenaran, pascafakta dan “fake news” yang dipromosikan oleh ramai politikus hari ini tentu sahaja lahir dari faham skeptik, relativistik dan agnostik sebagai musuh bagi struktur dan sistem nilai-nilai murni dan mulia dalam kehidupan politik-negara zaman berzaman.

Masyarakat awam, orang ramai dan rakyat jelata mestilah difahamkan bahawa perubahan/islah/reformasi/transformasi hakiki adalah bersifat *Maknawi* iaitu berhubungan dengan perubahan/islah/reformasi/transformasi kualiti jati-diri dalam berinteraksi dengan Diri sendiri, Tuhan, Manusia lain dan Alam sekeliling. Apa yang sering digembar-gemburkan sebagai perubahan/islah/reformasi/transformasi *Materi* oleh para politikus hanya bersifat luaran dan tidak berkekalan lama dalam merealisasi hakikat insan sebagai Hamba dan Khalifah Allah di muka bumi ini malah kadangkala boleh menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan jika mereka tidak berjaga-jaga. Masyarakat awam tidak boleh sama sekali membiarkan mereka digembala oleh para politikus yang mereka sendiri bukan sahaja tidak mementingkan malah kadang-kala tidak mengetahui kedudukan diri-individu mereka sendiri berhubungan amanah-amanah terhadap Diri-sendiri, Allah, Alam dan Manusia apatah lagi mengorbankan amanah-amanah ini demi kepentingan politik dan kuasa. Orang-ramai mesti menginsafi umur-hayat mereka adalah seketika begitu juga umur-hayat para politikus juga sementara, justeru jika puluhan tahun mereka masih belum boleh memiliki visi dan tradisi kehidupan individu dan keluarga yang dinaungi oleh manifestasi Ketuhanan, Kenabian dan Hari Kemudian, usah diharap kehidupan politik-negara akan menikmati kemuliaan dan keutamaan tersebut. Rakyat jelata mesti menerima hakikat sama ada ia dinamakan politik pembangunan, politik agama hatta politik baru yang progresif dan inklusif tanpa disertai dengan pengungkapan yang jelas mengenai perubahan/islah/reformasi/transformasi Diri-Peribadi dalam menghayati visi dan tradisi Islam dan Silam Mikrokosmos dan Makrokosmos, Kerajaan Duniawi-Manusiawi tidak akan membawa kehidupan kita kemana-mana! Apatah lagi menjadi lebih bermakna sesuai dengan sifat dan tabiat kita sebagai Hamba dan Khalifah.

Krisis politik-negara umat Islam masakini juga menjadi krisis politik-negara umat manusia diseluruh dunia terutamanya dengan berakhirnya Era Politik Demokrasi Liberal Barat yang selama ini dicanangkan sebagai satu-satunya kaedah berpolitik dan bernegara terbaik umat manusia Barat dan Timur. Berkembangnya gerakan Fasis atau “Ultra-Rights”, fundamentalis agama Kristian dikalangan kelompok Evangelis, fenomena diskriminasi melampau terhadap umat Islam, Islamofobia, ketidakupayan menyantuni kepelbagaian budaya dan agaman, munculnya golongan liberal-hedonis dan anarkis baru semuanya menunjukkan bahawa ideologi Demokrasi Liberal Barat sedang mengalami zaman penghujungnya. Justeru amat malang jika terdapat dikalangan para politikus dan kelompok umat Islam sendiri yang beria-ia menjadi pejuang Demokrat dan Liberal disaat ideologi ini sedang bermasalah di tempat asalnya. Alangkah lebih baik jika para pengkagum naif Demokrasi dan Liberal Muslim ini merenung tradisi dan visi politik-negara Islam dan Silam sebagai alternatif politik-negara yang lebih bermakna dan berguna kepada umat.

Umat Islam dan para politikus Muslim mesti terus diperingatkan bahawa mereka sepatutnya memahami dan menghayati tradisi dan visi politik-negara Islam kerana persoalan Kepimpinan dan Kepengikutan adalah sebahagian dari Amanah Agama malah menjadi sebahagian dari perbahasan Akidah dan Pemikiran. Kepimpinan dan kepengikutan bukanlah hal keduniaan dan kebendaan semata-mata. Abad ke 20 misalnya, menyaksikan betapa para pemimpin dan umat Islam terlalu disibukkan dengan slogan, retorik dan propaganda perubahan/islah/reformasi/transformasi politik-negara secara luaran tanpa disertai dengan tradisi dan visi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam menjadikan situasi umat Islam tidaklah lebih baik berbanding awal Abad ke 20 dahulu. Dan sekiranya slogan/retorik dan propaganda perubahan luaran politik-negara dan masyarakat dimainkan dengan lagu dan muzik yang sama hari ini dengan mengabaikan perubahan *Dalaman Diri-Peribadi Individu* maka Abad ke 21 umat Islam tidak akan berbeza dengan Abad sebelum ini.

Tentu sekali oleh kerana sukar dan lambatnya perubahan/islah/reformasi/transformasi *Diri-Peribadi*, maka para politikus dan pengikut mereka tidak berminat menumpukan terhadap persoalan sangat mendasar ini. Ini jika dilihat dari kacamata kepentingan jangkapendek para politikus dan pendokong mereka memanglah selari dengan kepentingan mereka. Tetapi jika dilihat dari kepentingan umat Islam dan Agama Islam itu sendiri, ini akan merugikan umat Islam dan Agama Islam dari segi jangkapanjang seperti yang kita saksikan pada hari ini. Sebagai contoh, ramai politikus dan penyokong politik Islam semasa gagal melihat apatahlagi mengungkap krisis Politik Demokrasi Liberal Barat dan berterusan menjajanya untuk hidangan umat Islam semasa. Sedikit sekali politikus Islam dan pengikutnya yang berupaya menawarkan hikmah-hikmah tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam dan asyik mengulang-ulang istilah “islah”, “tajdid”, “maqasid” dan segala macam “fiqh” yang bila diperhalusi tidak lain dari adaptasi pemikiran Demokrasi Liberal Barat. Tidak kedapatan politikus Islam yang berupaya mengungkap visi dan tradisi Islam sebagai wahana perubahan/islah/reformasi/transformasi yang mereka cita-citakan.

Di Barat itu sendiri, tokoh pemikir semasa yang terkenal Jurgen Habermas menyebut masyarakat Barat kini hidup dalam Dunia Pasca-Sekular sebagai reaksi kepada kegagalan Rasionaliti, Sains dan Modeniti sejak Zaman Pencerahan Abad ke 18 melenyapkan peranan dan pengaruh agama melalui Sekularisasi sehingga ke hari ini. Justeru hari ini Agama masih tetap relevan dan utuh sebagai faktor penentu aturan kehidupan manusia meskipun mereka berdepan dengan pelbagai tentangan hebat Rasionaliti, Sains dan Modeniti. Faham Pasca-Sekular Habermas ini sewajarnya mengingatkan para politikus Islam bahawa sikap tidak mengendahkan peranan dan pengaruh Islam dalam kaedah berpolitik serta dasar-dasar politik mereka akan mengundang padah-besar untuk kehidupan umat Islam dimasadepan. Malah telah diperakui oleh ramai sarjana bahawa faktor Agama Kristian khususnya kelompok Evangelis memainkan penentu utama dalam politik Amerika Syarikat ketika ini meskipun Negara tersebut dianggap paling moden, demokratik, rasional, liberal dan sekular dimata dunia selama ini. Justeru sebarang idea dan cadangan memisahkan peranan dan pengaruh Islam dalam politik-negara Malaysia adalah tidak berpijak pada kenyataan dunia global.

Walaupun Islam akan terus kekal sebagai faktor utama politik-negara Tanah Air, selagi gagasan perubahan/islah/reformasi/transformasi *Diri-Individu* tidak diangkat keatas melebihi *Politik-Negara* secara dasar dan perlaksanaannya, maka selagi itulah masyarakat awam, orang-ramai dan rakyat-jelata tidak akan dapat mengubah/mengislah/mereformasi/mentransformasi jiwa-raga mereka sesuai dengan sifat dan tabiat mulia dan murni Islam dalam *Diri-Peribadi-Individu* mereka.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 39)


Sharing is caring

Comments

comments