Sharing is caring

SIRI 32 – PEMBINAAN AKIDAH DAN PEMIKIRAN ISLAM GENERASI TN50: TIGA PERANAN KALAM JADID
Dr Amran Muhammad

 

Generasi Muda Melayu Muslim Malaysia hari ini memiliki kelebihan untuk mempertahankan jatidiri dan warisan keislaman Nusantara yang berakar dan merimbun sejak lebih 1400 tahun lalu yang tumbuh dari tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam. Kelebihan ini tidak dimiliki oleh generasi ibubapa mereka yang bermula dari sekitar tahun 1970an diheret kedalam fenomena aktvisme dakwah dan harakah yang berorientasikan siasah, syariah, retorik dan sentimen. Justeru percanggahan, perpecahan dan kekeliruan dikalangan aktivis dakwah dan harakah semasa yang dinamakan sebagai Fenomena Pasca-Islamisme tidak lain adalah hasil akibat kelompongan ilmiah, ruhaniah dan hadharah umat untuk 30-40 tahun yang lepas. Justeru bagi menghadapi cabaran kehidupan 30-40 tahun akan datang pula Generasi Pelapis Belia semasa tidak boleh sama sekali mengulang kesilapan yang sama yang dilakukan oleh Generasi sebelum mereka iaitu meminggirkan khazanah dan warisan dari tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam yang sungguh berharga dan sangat bermakna itu.
Generasi Muda Melayu Muslim Malaysia hari ini bukan sahaja memiliki kelebihan berbanding dengan Generasi Ibubapa mereka, malah mereka memiliki kelebihan berbanding dan Generasi Muslim sebaya mereka di Tanah Arab, Benua Indo-Pakistan, Afrika, China, Amerika Syarikat, Eropah dan Australia disebabkan Generasi Muda Islam di wilayah-wilayah yang disebutkan ini memiliki pelbagai isu yang menyukarkan mereka untuk terdedah kepada kekayaan tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam. Generasi Muda Muslim Wilayah Arab misalnya, sedang bergelut dalam persoalan keamanan dan survival kehidupan akibat konflik dan krisis politik yang melanda Wilayah mereka. Generasi Muda Muslim Wilayah Amerika, Eropah dan Australia pula sedang mengalami tekanan diskriminasi dan juga islamophobia yang semakin meningkat akibat kecenderungan ekstremisme masyakarat Barat yang menjadi-jadi sekarang ini. Justeru bila survival dan kelangsungan hidup menjadi lebih mendesak persoalan keilmuan, keruhanian dan ketamadunan tidak menjadi keutamaan mereka.

Generasi Muda Melayu Muslim Malaysia hari ini berpotensi menyambut bendera dan obor tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam yang sebenarnya tidak memiliki Tuan-Tuan atau Pemilik-Pemilik Khusus ketika ini sekiranya mereka dengan segera meninggalkan cara-gaya hidup plastik dan kosmetik yang sering dikaitkan dengan mereka iaitu hidup bersantai, bertele-tele dan inginkan segalanya dengan instant atau segera semata-mata hatta dalam hal-hal agama. Generasi Melayu Muslim wajib sedar tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam tidak boleh mereka miliki atau hayati dengan pendekatan gelak-ketawa, lawak-jenaka, uraian-airmata dan perasaan sebak didada sepertimana yang kita lihat ditonjolkan malah dipaksakan jika tidak dibayar merata-mata di program dan media popular hari ini. Generasi Melayu Muslim wajib sedar dan faham tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam hanya boleh digarap dan dikecapi dengan persediaan dan latihan ketajaman akal-pemikiran, kesucian hati-nurani dan ketangkasan tindak-tanduk yang kesemuanya ini adalah anti-tesis bagi pendekatan gelak-ketawa, lawak-jenaka, uraian-airmata dan perasaan sebak didada yang menjadi menu santapan “keilmuan, keruhanian dan ketamadunan” umat ketika ini.

Dalam konteks ini tidak ada perkara yang lebih mendesak dan mustahak sekiranya kita benar-benar ingin membina Generasi Masadepan Umat Melayu dalam era dan proses Transformasi Nasional 2050 yang lebih dikenali sebagai TN50 melainkan persoalan akidah dan pemikiran Islam yang perlu disediakan dan dibekalkan kepada mereka. Akidah dan pemikiran Islamlah yang bakal menjadi batu asas dan kerangka binaan berfikir dan bertindak mereka dari sekarang sehingga ke tahun 2050 dan malah selepas itu. Akidah dan pemikiran Islamlah yang menjadi “Standard Operating Programme and Procedure”, struktur, kayu-ukur dan penanda-aras bagi setiap perancangan dan perbuatan yang ingin mereka lakukan. Justeru sudah semestinya persoalan pembinaan akidah dan pemikiran Islam menjadi satu komponen utama yang perlu mendasari kefahaman kita terhadap usaha-usaha TN50 lebih-lebih lagi kepada Generasi Melayu Muslim yang menjadi majoriti dalam masyarakat negara kita.

Sebagai permulaan kita boleh mengambil pelajaran dari kandungan dan pengisian tradisi keilmuan akidah atau usuluddin yang juga dikenali sebagai disiplin Ilmu Kalam untuk menyediakan Generasi Melayu Muslim yang lebih rasional dan sistematik atau berstruktur dalam memahami pokok-pokok keagamaan, keimanan dan ketuhanan. Tradisi Ilmu Kalam untuk 1400 tahun yang lalu telah menyediakan satu kaedah yang tersusun lagi berkesan dalam pembinaan akidah dan pemikiran Islam dengan keupayaannya mengharmonikan antara peranan wahyu dan akal menjadikan ia bukan sahaja bersifat wasatiyyah malah berupaya membina peradaban Islam. Pengajian dan pendidikan Akidah dan Pemikiran Islam Abad ke 21 bukan sahaja perlu menyediakan bekalan pertahanan akidah dan pemikiran Islam tetapi juga boleh juga menyediakan Pembina tamadun dan peradaban kemanusiaan yang pelbagai dimensi.

Pertama bagi Generasi Melayu Muslim secara keseluruhannya diperingkat publik, kitab-kitab muktabar Ilmu Kalam yang sesuai untuk massa dan popular seperti Umm al-Barahin Imam Sanusi, Jawharah al-Tawhid Imam Laqqani, Aqaid al-Nasafiyyah Imam Taftazani dan Iqtisad fil ‘Itiqad Imam Al-Ghazali melalui pendekatan tradisi syarah dari matan sewajarnya diperkenalkan, ditalaqqikan dan disyarahkan kepada mereka. Begitu juga kitab-kitab Ilmu Kalam yang masyhur di Nusantara seperti Faridatul Fara’id Imam Ahmad al-Fathani dan Durr al-Fara’id Imam Nuruddin al-Raniri perlu disebarluaskan dikalangan Generasi Muslim semasa. Pendekatan tradisi syarah dari matan kitab-kitab Kalam ini adalah permulaan penting bagi pengukuhan dan pemantapan akidah dan pembentukan pemikiran Islam Generasi Muda.

Kedua bagi Generasi Melayu Muslim pada peringkat yang lebih strategik khususnya dalam pembinaan muafakat atau konsensus nasional, Pendekatan tradisi al-farq baina firaq atau mihal wal-nihal sangat berguna dalam menerang dan menjelaskan kepelbagaian bentuk pemikiran dikalangan umat Islam juga bukan Islam supaya Generasi Muda ini mendapat pendedahan terhadap orientasi, asal-usul, kaedah berfikir serta hujah-hujah golongan pelbagai ideologi ini. Termasuk dalam tradisi ini kitab Maqalat Islamiyyin Imam Al-Asha’ri itu sendiri, Al-Farq baina al-Firaq Imam Abu Mansur al-Baghdadi dan Al-Mihal wal-Nihal Imam Al-Shahrastani. Pendekatan tradisi al-farq baina firaq atau mihal wal-nihal Ilmu Kalam berupaya menjadikan Generasi Muslim lebih tajam pemikiran mereda bila berdepan dengan idea, isme dan ideologi terkini seperti pascamoden, liberalism, relativisme, atheisme dan lain-lain juga telah dibincangkan sebahagiannya oleh Imam-Imam Ilmu Kalam atau Mutakallimun dahulu lagi.
Ketiga bagi Generasi Melayu Muslim pada peringkat akademik dan penyelidikan analitik mereka boleh terlibat menyumbangkan ilmu-ilmu baru melalui pendekatan tradisi hasyiah/hawasyi atau supercommentary iaitu syarah atas syarah seperti yang dilakukan oleh Imam Fakharuddin Al-Razi dalam Muhassal, Imam Al-Taftazani dalam Maqasid dan Imam Abdul Rahman Al-Iji dalam Mawaqif. Pendekatan yang menjurus kepada penghuraian epistemologi dan ontologi dan juga aksiologi yang dilakukan oleh Imam Fakharuddin Al-Razi, Imam Taftazani dan Imam Abduk Rahman Al-Iji sangat relevan dalam konteks perbahasan sains dan falsafah moden semasa seperti faham atomisme, occasionalisme, kesedaran (consciousness) dan seumpamanya. Pendekatan tradisi hasyiah/hawasyi atau supercommentary iaitu syarah atas syarah ini membuktikan betapa Mutakallimun atau ulama-ulama Kalam Islam bukan sahaja menjelaskan persoalan akidah dan pemikiran dalam konteks memahami agama semata-mata malah mereka menunjukkan bagaimana akidah dan pemikiran ini juga berguna untuk membina kefahaman terhadap alam semesta dan penghasilan ilmu-ilmu baru.

Kesimpulannya tiga pendekatan tradisi Ilmu Kalam ini (1) tradisi syarah dari matan, (2) tradisi al-farq baina firaq atau mihal wal-nihal dan (3) tradisi hasyiah/hawasyi atau supercommentary iaitu syarah atas syarah boleh memberikan sumbangan yang penting lagi bermakna bagi membina akidah dan pemikiran Islam Generasi TN50 sekaligus membuktikan bahawa akidah dan pemikiran Islam selama-lamanya relevan dan berupaya diungkapkan dalam konteks terkini di peringkat publik dan massa, strategik malah politik dan akhirnya akademik dan analitik. Inilah peranan dan sumbangan paling besar yang boleh diberikan oleh para sarjana, pakar dan tokoh akademik dan bukan akademik bidang akidah dan pemikiran Islam dalam menzahirkan satu bentuk Kalam Jadid atau Ilmu Kalam Baru sesuai dengan kehendak dan tuntutan zaman dan lingkungan.

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam* (NARATIF NUSANTARA SIRI 32)


Sharing is caring

Comments

comments