SIRI 9 – AGENDA AKIDAH DAN AKHLAK AL-GHAZZALI ASAS KEPADA PERLAKSANAAN SYARIAH DAN SIASAH YANG LEBIH BERMAKNA

Sharing is caring

*AGENDA AKIDAH DAN AKHLAK AL-GHAZZALI ASAS KEPADA PERLAKSANAAN SYARIAH DAN SIASAH YANG LEBIH BERMAKNA*

 

(NARATIF NUSANTARA SIRI 9)

 

Dr Amran Muhammad

 

Abad ke 20 yang lalu menyaksikan perjuangan dan perdebatan umat Islam lebih tertumpu kepada persoalan perlaksanaan syariah dan siasah berbanding dari pembinaan akidah dan akhlak khususnya pada suku terakhir Abad ke 20. Bermula sekitar tahun 1970an, isu-isu siasah seperti tuntutan menegakkan Negara dan Daulah Islam dan isu-isu syariah seperti tuntutan melaksanakan syariah dan hudud menjadi obsesi atau ketaksuban bagai ramai dikalangan ulama, sarjana, ahli politik, professional dan aktivis gerakan Islam. Malah dalam banyak hal para ulama, sarjana, ahli politik, professional dan aktivis gerakan Islam terlalu disibukkan dengan persoalan hukum-hakam dan kuasa politik sehingga mengabaikan kepentingan kejelasan iman dan ketinggian pekerti sebagai agenda utama umat bagi menghadapi cabaran dan realiti semasa.

 

Memasuki Abad ke 21 umat Islam yang berada dalam defisit akidah dan akhlak yang teruk juga tidak memperolehi pencapaian yang boleh dibanggakan dari tumpuan mereka terhadap perlaksanaan syariah dan siasah Islam. Rata-rata dikebanyakan negara-negara Islam kedudukan syariah masih belum lancar perlaksanaannya serta belum diterima sepenuhnya oleh pelbagai pihak. Manakalah gagasan dan wawasan menegakkan negara dan daulah Islam masih tidak jelas hala-tujunya serta terus-menerus menjadi polemik dikalangan umat Islam itu sendiri tentang keperluan dan aplikasinyanya dalam konteks kehidupan moden dan global hari ini.

 

Yang jelas kini umat Islam sedang menghadapi serangan dan krisis akidah yang besar. Faham, pemikiran dan pendekatan yang mengganggu-gugat asas-asas akidah umat khususnya bagi Ahli Sunnah wal Jamaah seperti atheism, pascamodenisme, liberalisme, sekularisme, positivisme, evangelicalisme, zionisme, muktazilah baru, khawarij aka DAESH/ISIS, baru, mujassimah baru, wahhabisme, literalisme agama, syiah, ajaran-ajaran batiniyyah dan pelbagai lagi bentuk faham, pemikiran dan pendekatan neo-ages ini merupakan cabaran artikulasi dan formulasi akidah untuk menghadapinya bukan dengan kaedah syariah dan siasah secara tepat dan tuntas.

 

Begitu juga kini umat Islam sedang berdepan dengan fenomena keruntuhan akhlak seperti gejala rasuah dan salah-guna kuasa yang berleluasa, fenomena LGBTIQ dikalangan generasi muda, kegilaan kebendaan, penagihan dadah, seks bebas remaja-belia, buli, penderaan dan seumpamanya yang sekali lagi pendekatan syariah dan siasah tidak berupaya menanganinya secara bersepadu dan menyeluruh kerana ia melibatkan peranan diri-individu dan keluarga yang diluar dari jangkauan dan pengawasan perlaksanaan syariah dan siasah.

 

Dari apa yang jelas berlaku didepan mata kita ketika ini, pengharapan dan tumpuan kepada syariah dan siasah semata-mata tidak berupaya memberi jaminan kepada kewujudan sebuah masyarakat Islam yang menghayati Tauhid dan mengenal Allah SWT juga menghayati Mahabbah Rasul dan meneladani akhlak Baginda SAW. Inilah antara pokok ajaran Imam Al-Ghazzali yang terkandung dalam Ihya Ulumuddin iaitu kehidupan beragama tidak hanya boleh dilandaskan kepada luaran dan zahiriyyah amalan keagamaan melalui syariah atau fekah juga melalui siyasah atau kuasa tanpa disertai dengan kefahaman dan penghayatan dalaman atau maknawiyyah berdasarkan akidah atau keimanan dan akhlak atau kesempurnaan sifat-sifat Nabi SAW.

 

Imam Al-Ghazzali dalam menggagaskan Ihya Ulumuddin sebagai satu agenda tajdid dan islah sangat menyedari peranan akidah dan akhlak yang sangat berkait rapat dengan soal psikologi dan hati/jiwa nurani dalam menentukan keikhlasan yang akan diterjemahkan dalam perlaksanaan syariah atau pengamalan fekah. Begitu juga amalan dan budaya siasah dan politik yang tidak berakar umbi dari faham psikologi dan akhlak Islam hanya akan melahirkan golongan “haiwan politik” semata-mata hatta atas nama politik Islam atau siasah Islamiyyah.

 

Justeru sudah sampai masanya untuk kita menilai faham dan pendekatan syariah dan siasah ini supaya ianya memberi perhatian besar dan utama kepada persoalan akidah dan akhlak. Ancaman dan serangan akidah dan akhlak yang dihadapi oleh umat ketika ini tidak mungkin boleh kita tangani dengan pendekatan syariah dan siasah jika dilihat dari kerumitan dan kepelbagaian aliran pemikiran dari dalam dan luar Islam yang membentuk ancaman dan serangan akidah dan akhlak ini. Yang lebih penting persoalan akidah dan akhlak ialah persoalan pembinaan dan perubahan dalaman insan yang tidak boleh dipaksakan melalui hukum syariah dan kuasa politik semata-mata.

 

Jadikanlah Abad ke 20 dunia umat Islam yang hampa pengukuhan akidah dan tandus pembinaan akhlak dek kerana menumpukan kepada syariah dan siasah yang lebih bersifat luaran meskipun tidak dinafikan kepentingannya tanpa keinsafan dan kesedaran akidah dan akhlak yang tinggi mengakibatkan umat ini mengalami krisis dalaman akidah dan akhlak yang bakal menentukan survival agama dan umat Islam itu sendiri dalam persaingan sengit faham, pemikiran, dan tingkah-laku kemanusiaan Abad ke 21.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*


Sharing is caring

Comments

comments