SIRI 6 – MENCARI SEBUAH MANUAL KEHIDUPAN MUSLIM ABAD KE 21: MENGAPA TIDAK IHYA ULUMUDDIN IMAM AL-GHAZZALI

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

MENCARI SEBUAH MANUAL KEHIDUPAN MUSLIM ABAD KE 21: MENGAPA TIDAK IHYA ULUMUDDIN IMAM AL-GHAZZALI

(NARATIF NUSANTARA SIRI 6)

Dr Amran Muhammad

Ramai tidak menyedari dunia hari ini sedang mengalami kemelut pemikiran dan tingkah-laku yang sangat dahsyat yang dimanifestasikan dalam bentuk permainan politik ‘Post-Truth’, keganasan atas nama Islam ‘Islamic Terrorism’, kecelaruan dan kehidupan arnakis ‘Post-Modernism’ dan juga kecenderungan nafsu pasca-haiwan ‘LGBTIQ’ dan seumpamanya. Ramai juga gagal memahami mengapa ‘grand-narrative’ atau jalan-cerita besar kehidupan sangat penting dalam membentuk bukan sahaja visi dan misi insan tetapi juga jati-diri dan ruh-perjuangan dalam kehidupan mereka. Jalan-cerita besar ini menjadi penyuluh dan kompas bagi manusia mendepani kehidupan yang serba mencabar dan memperdayakan ini.

Semua masyarakat, bangsa dan negara yang kuat serta bertahan lama memiliki jalan-cerita besar kehidupan berdasarkan ideologi, falsafah, sejarah, budaya juga agama masing-masing. Satu cara untuk melemahkan dan memendikkan jangka-hayat sesebuah masyarakat, bangsa dan negara ialah dengan menghapuskan atau menjauhkan jalan-cerita besar kehidupan mereka dari kehidupan seharian mereka. Inilah yang sedang berlaku dalam kebanyakkan masyarakat, bangsa dan negara umat Islam iaitu proses langsung dan tidak langsung dan kadang-kadang dilakukan oleh cerdik-pandai mereka sendiri untuk melenyapkan jalan-cerita besar kehidupan dengan menyibukkan umat Islam dengan hal-hal titik-bengik, polemik dan perdebatan rantingan agama yang tidak pernah kunjung selesai.

Sehingga ke hari ini kesarjanaan Islam sejak awal abad ke 20 yang sering sahaja berteriak tentang tajdid dan islah masih gagal menghasilkan sebuah kitab yang boleh menandingi Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali secara umum mahupun secara terperinci. Kesarjanaan Islam abad ke 20 atas slogan pembaharuan dan reformasi masih belum berupaya malah secara kolektif menghasilkan sebuah kitab seperti Ihya Ulumuddin yang boleh menjadi ‘grand-narrative’ atau jalan-cerita besar kehidupan muslim. Masih belum dijumpai tokoh-tokoh tajdid dan islah kesarjanaan Islam abad ke 20 yang boleh mengungkapkan jalan-cerita besar kehidupan muslim berserta dengan lorong-lorong kecil dan simpang-siur yang bakal umat Islam lalui dalam menjalani kehidupan mereka seperti yang dilakukan oleh Imam Al-Ghazzali.

Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali adalah kitab klasik dan juga buku kontemporari yang memperhalusi jalan-cerita besar untuk umat Islam hidup secara sempurna sebagai hamba dan khalifah Allah di atas mukabumi. Ia berguna di zaman Imam Al-Ghazzali (Abad 11-12), relevan di zaman Shaykh Abdul Samad Palembani (Abad 17-18) dan lebih diperlukan oleh muslim di Abad ke 21 ini. Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali tiada tandingan sebagai Ensiklopedia Kehidupan Muslim dari bangun tidur sehingga tidur semula dan dari sejak lahir sehingga menemui kematian. Malah buku-buku psikologi dan motivasi kontemporari tidak akan mampu menandingi perincian Ihya Ulumuddin dalam mengatur kehidupan serta memberi tip-tip kejayaan dalam kehidupan bukan hanya di dunia ini malah lebih penting di akhirat kelak.

Bahaya, bahana dan bencana ‘Post-Truth’, ‘Islamic Terrorism’,‘Post-Modernism’, dan ‘LGBTIQ’ yang sedang melanda umat Islam ketika ini tidak mungkin boleh ditangani sekadar dengan pendekatan ceramah dan kuliah popular, santai, penuh lawak-jenaka dan gelak ketawa yang dipacu oleh media komersial semata-mata. Serangan dan ancaman ‘ism-ism’ tersebut yang terbit dari hasil pemikiran dan keilmuan Barat Sekular memerlukan jawaban dan respon keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam untuk dihadapi. Ceramah dan kuliah popular oleh selebriti segera agama mungkin boleh menarik emosi dengan retorik penyampaian tetapi tidak dapat menjamin akal-budi pendengar dan penonton dapat menganalisis dan mensistemisasikan faham agama secara bermakna dan berkekalan dalam kehidupan mereka bila berdepan dengan situasi dan cabaran khusus.

Yang jelas Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazzali menyediakan satu asas psikologi dan kosmologi yang penting bagi umat Islam membina pandangan dan pengalaman kehidupan Islam mereka yang tidak boleh diungkapkan oleh pendekatan populis, segera dan komersial ceramah dan kuliah agama. Melihat kepada kepincangan penyediaan struktur pemikiran dan analisis kefahaman Islam kepada umat melalui pendekatan psikologi dan motivasi semasa, mengapa tidak Ihya Ulumuddin dijadikan rujukan memandangkan kekuatan analisis, kehalusan penjelasan dan juga keutuhan kerangka visi dan misi Islam yang jelas terkandung dalam penyampaiannya.

Imam Al-Ghazzali mengklasifikasikan Ihya Ulumuddin sebagai sebuah Kitab Muamalah atau Buku Manual atau Buku Kerja dalam melaksanakan kehidupan Islam secara lahiriyyah dan batiniyyah. Kesemua 4 Bahagian yang setiap satu mengandungi 10 Bab jika diteliti adalah Manual Psikologi, Sosiologi, Etika dan Politik yang sangat diperlukan oleh bukan sahaja umat Islam malah orang bukan Islam dalam menghadapi kemelut ‘Post-Truth’, ‘Islamic Terrorism’,‘Post-Modernism’, dan ‘LGBTIQ’. Sekiranya kita gagal merujuk Ihya Ulumuddin sebagai Manual kehidupan semasa, tidak mungkin kita akan menjumpai buku yang lebih baik darinya.

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*

Comments

comments