Sharing is caring

Download PDF

KENYATAAN MEDIA ISLAMIC AND STRATEGIC STUDIES INSTITUTE (ISSI) 3 OGOS 2016

*PERKENALKAN SUBJEK KETAMADUNAN LEBIH SESUAI DARI ‘KENALI AGAMA LAIN’ DI SEKOLAH*

Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI) merujuk kepada saranan Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) Datuk Azman Amin Hassan yang mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mewujudkan subjek ‘interfaith understanding’ ataupun ‘kenali agama lain’ bagi membolehkan para pelajar sekolah lebih memahami dan menghormati pelbagai fahaman agama di negara ini. Bagaimanapun ISSI berpandangan subjek ‘kenali agama lain’ mestilah diajar dalam konteks yang lebih luas meliputi perkembangan dan pencapaian tamadun-tamadun yang dibina dari ajaran-ajaran agama tersebut.

Pendekatan Ketamadunan akan memberikan  perspektif sejarah, pemikiran, budaya juga keagamaaan yang lebih luas berbanding dengan pendekatan ‘kenali agama lain’ yang lebih bersifat doktrinal atau dogmatik. Pendekatan doktrinal dan dogmatik yang sempit sekiranya tidak dilaksanakan dengan berhikmah akan mengundang salah-faham dan kekeliruan serta boleh mencetuskan ketidak-selesaan bagi agama-agama yang terlibat.

Sebagai langkah permulaan ISSI berpendapat subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia  (TITAS) yang pernah dahulu diwajibkan kepada semua pelajar IPTA dijadikan asas bagi penyediaan isi-kandungan subjek Ketamadunan ini. Bagaimanapun memandangkan subjek TITAS semakin terpinggir di IPTA maka ia perlu diperkukuhkan semula dalam bentuknya yang lebih global dan kontemporari lebih-lebih lagi bagi menanggapi isu-isu ekstremisme dan terrorisme yang sering dikaitkan dengan Agama dan Tamadun Islam dan umatnya. Ratusan para pensyarah TITAS dan juga para pensyarah bidang Perbandingan Agama di IPTA seluruh negara yang telah memiliki set pengetahuan dan kemahiran bagi mengajar subjek Ketamadunan sewajarnya digemblengkan kepakaran mereka sebagai jurulatih kepada guru-guru sekolah yang bakal terlibat dalam pengajaran subjek baru ini.

Pengajaran subjek Ketamadunan yang juga merangkumi komponen ‘kenali agama lain’ tersebut tidak boleh diajar oleh guru-guru yang pendedahan mereka kepada pengetahuan dan kemahiran ketamadunan agak terbatas meskipun mereka mungkin mahir dalam subjek agama masing-masing. Ini kerana keterbatasan mereka terhadap set pengetahuan dan kemahiran ketamadunan akan menyebabkan mereka cenderung untuk tidak berlaku saksama ataupun objektif dalam menjelaskan agama-agama lain.

ISSI menyeru pihak Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan mengorak-langkah yang lebih positif dan pro-aktif dalam membina subjek Ketamadunan yang merangkumi juga komponen ‘kenali agama lain’ demi membina generasi masadepan rakyat Malaysia berfikiran terbuka, meraikan kepelbagaian serta hidup bersama secara aman-damai meskipun masih kekal dengan identiti dan tradisi agama yang mereka anuti masing-masing. Ini semua perlu dilaksanakan dengan mengambil-kira konteks kehidupan dunia global tanpa-sempadan kontemporari yang berkehendakkan Malaysia memiliki generasi rakyat yang peka terhadap kewujudan tamadun-tamadun besar dan pelbagai dunia dengan sejarah, pemikiran, budaya dan agamanya yang rencam.

Usaha memperkenalkan subjek Ketamadunan ini sangat penting bagi membolehkan generasi masadepan rakyat meraikan kepelbagaian tamadun masyarakat lain tanpa rasa kekok atau mengalami kejutan diwaktu yang sama terus bangga dengan identiti dan tradisi agama mereka sendiri. Malah lebih penting lagi subjek Ketamadunan ini boleh menjadi benteng ‘pencerahan juga pencegahan’ bagi generasi masadepan rakyat tentang bahaya arus-deras sekularisasi dan globalisasi yang sedang giat membaham dan menelan sifat dan hakikat keberadaan semua agama-agama di dunia termasuk agama Islam dan juga agama bukan Islam.

Download PDF

Sharing is caring

Comments

comments