The 1st Kuala Lumpur International Kalam Symposium (KLIKS 2016)

Realiti geo-politik antarabangsa Abad 21 yang semakin rumit menyaksikan pertembungan pelbagai hala berlaku melibatkan bukan hanya kuasa politik, ekonomi dan ketenteraan malah juga pengaruh agama, pemikiran dan ideologi. Penularan aliran pemikiran baru seperti neo-liberalism, pascamodernism, anarkis dan relativis agama disamping penerusan aliran konvensional seperti rasionaliti Zaman Pencerahan, modernism dan positivism akan mencorak dan mencetak pemikiran dan kehidupan umat manusia abad ini. Agama, pemikiran dan ideologi memainkan peranan penting sama ada untuk meleraikan kerumitan pertembungan pelbagai hala ini ataupun juga bagi mengusutkan lagi kerumitan yang sedia ada. Justeru dalam menghadapi cabaran agama, pemikiran dan ideologi serba-rencam ini pengungkapan atau artikulasi agama khususnya Agama Islam bagi umat Islam sangat perlu diperbaharui agar terus relevan, dinamik dan kontemporer dalam menanggapi kemelut pertembungan agama, pemikiran dan ideologi masakini.

Ilmu Kalam atau nama lainnya Ilmu Usuluddin atau Ilmu Tawhid adalah disiplin ilmu Islam yang mempunyai sejarah dan tradisi yang panjang lagi kaya dalam membina akidah dan pemikiran umat Islam dalam menangani pelbagai bentuk aliran-aliran agama, pemikiran dan ideologi. Dalam tradisi keilmuan aliran Ahli Sunnah wal Jamaah yang didokongi hampir 90 peratus umat Islam di seluruh dunia, Ilmu Kalam telah terbukti berjaya mewariskan kesinambungan faham akidah dan pemikiran Islam yang ilmiah, rasional dan sistematik yang memanifestasikan ciri-ciri wasatiyyah, keharmonian, perpaduan dan kemajuan yang berjaya mencipta Peradaban Islam yang disegani untuk berabad-abad lamanya.

Malangnya Abad 20 yang baru berlalu telah meninggalkan kesan yang sangat parah dalam dunia umat Islam iaitu hilangnya keupayaan umat untuk mengungkapkan atau mengartikulasi faham akidah dan pemikiran Islam yang relevan, dinamik dan kontemporer sebaliknya didominasikan dengan retorik politik dan pelampiasan amarah bukan sahaja dalam kehidupan sosio-politik malah juga dalam kehidupan dan penghayatan agama. Sudah tiba masanya pengungkapan dan artikulasi lebih rasional, ilmiah, sistematik dan intelektual tentang akidah dan pemikiran Islam dalam mendepani cabaran-cabaran pertembungan agama, pemikiran dan ideologi yang pelbagai ini dipaparkan dalam ruang-ruang awam umat Islam dan juga bukan Islam sebagai bukti hikmah dan rahmah Agama Islam.

Diatas kesedaran ini maka, Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI) Malaysia dengan kerjasama Kalam Research & Media (KRM) UAE telah mengambil inisiatif menganjurkan SIMPOSIUM KALAM ANTARABANGSA KUALA LUMPUR DARI 22 – 24 MAC 2016 atau The 1st Kuala Lumpur International Kalam Symposium (KLIKS 2106). KLIKS yang sulung ini akan menampilkan dua tokoh terkemuka Ilmu Kalam semasa iaitu Profesor Dr Aref Ali Nayed dan Shaykh Dr Saeed Foudeh. Persidangan mengenai Ilmu Kalam yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia ini sekaligus akan meletakkan Malaysia dibarisan hadapan dalam usaha mewujudkan persefahaman, keharmonian dan keamanan sejagat dalam dunia penuh konflik ketika ini melalui pendekatan ilmiah penuh hikmah dan berpaksikan rahmah agama Islam itu sendiri.

Simposium yang turut disokong oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WAAG), Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Institute for the Study of Islamic Thought and Civilisations (INSISTS), Universitas Darussalam Gontor (UNIDA), Universitas Ibn Khaldun Bogor (UIKA), Majelis Intelektual dan Ulama Muda Indonesia (MIUMI) dan Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) disamping IKIMFM dan TVIKIM sebagai rakan media akan dipenuhi dengan pelbagai sesi ilmiah termasuk Majlis Ucaputama di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Bengkel Epistemologi di IKIM, Muzakarah Para Ulama’ anjuran bersama IKSIM, Majlis Makan Malam di Putrajaya dan pelancaran buku-buku ilmiah Ilmu Kalam. Adalah menjadi harapan ISSI dan KRM agar penganjuran Simposium Kalam Antarabangsa Kuala Lumpur ini akan mengorak inisiatif baru kepada penyegaran dan pemugaran serta pembaharuan dalam dunia Ilmu Kalam, Usuluddin, Tawhid, Aqidah dan Pemikiran Islam dalam mendepani pertembungan agama, pemikiran dan ideologi semasa. InshaAllah.

DR AMRAN MUHAMMAD

Pengarah Urusan ISSI / Pengarah KRM Asia Tenggara

Untuk maklumat lanjut tentang KLIKS 2016

sila layari http://www.issimalaysia.org.my/