Sharing is caring

Download PDF

*Perutusan Tahun Baru 2017: Tradisi Asha’irah-Maturidiyyah Sebagai Naratif dan Alternatif Menghadapi Ancaman Mujassimah-Muktazilah Abad ke 21*

Ramai yang menyangka tradisi Asha’irah-Maturidiyyah sudah lapuk sebagai tradisi akidah dan pemikiran Islam yang berupaya menjawab kekeliruan dan kecelaruan akidah dan pemikiran umat pada hari ini.

Tetapi sekonyong-konyong ada orang menyebut kewujudan “tempat yang tidak bertempat”(al-makan al-‘adami) bagi menggambarkan sifat kewujudan Allah SWT, maka kecenderungan menjisimkan Allah SWT ini dengan sesuatu akan mengembalikan kita kepada kepentingan peranan Asha’irah-Maturidiyyah dalam membendung kesesatan kecenderungan ini.

Ramai juga yang menganggap tradisi Asha’irah-Maturidiyyah sudah usang sebagai satu pendekatan akidah dan pemikiran bagi menghadapi cabaran liberalisme, pluralisme, anarkisme dan pascamodenisme yang mula merebak sebagai pemikiran Muktazilah bentuk baru dikalangan masyarakat Islam.

Tetapi mengingatkan bahawa para ahli Kalam Asha’irah-Maturidiyyah pernah memperihal sekaligus membanteras golongan ilhadi (atheisme), dahri (materialisme), la adri (skeptisme/agnostisme), indi (nihilism/relativisme) dan sufastai (sophisme), maka tentu sekali penjelmaan semula pelbagai akidah dan pemikiran keliru lagi celaru ini boleh ditangani berpandukan pendekatan tradisi Asha’irah-Maturidiyyah.

Deja vu kepada tradisi Asha’irah-Maturidiyyah akibat kemunculan semula akidah dan pemikiran neo-mujassimah dan neo-muktazilah ketika ini menjadi lebih jelas berdepan dengan kebangkitan neo-khawarij ala ISIS dan kelompok Shi’ah yang juga agresif dalam mempengaruhi umat.

Dalam tradisi keilmuan Islam, para ahli Kalam atau Mutakallimun yang telah membina disiplin Ilmu Kalam terbukti berjaya mengungkapkan akidah dan pemikiran Islam secara rasional dan sistematik dalam membanteras akidah dan pemikiran keliru dan celaru Mujassimah, Muktazilah, Khawarij dan Shi’ah sekaligus.

Kemunculan neo-Mujassimah, neo-Muktazilah dan neo-Khawarij dewasa ini jelas membuktikan bahawa tradisi Asha’irah-Maturidiyyah masih belum mati malah sangat diperlukan bagi mematahkah hujah-hujah songsang kelompok-kelompok akidah dan pemikiran bida’ah ini yang semakin menular dalam masyarakat Islam.

Berdasarkan “track record” tradisi Asha’irah-Maturidiyyah, ia bukan sahaja terbukti boleh menghadapi cabaran mujassimah, muktazilah dan khawarij malah ideologi dan “isme” lain seperti ilhadiyyah, dahriyyah, la adriyyah, indiyyah dan sufastaiyyah. Ideologi dan “isme” ini dalam konteks semasa menjelma menjadi atheisme, materialisme, skeptisme, nihilisme dan seumpamanya.

Persoalan kepelbagaian ideologi dan “isme” yang boleh merosakkan akidah dan pemikiran umat sama ada yang datang dari dalam umat sendiri seperti neo-mujassimah, neo-muktazilah dan neo-khawarij juga shi’ah atau yang datang dari luar umat seperti liberalisme, pluralisme, anarkisme dan pascamodenisme memerlukan pendekatan keilmuan yang komprehensif dan holistik untuk menghadapinya.

Kekuatan tradisi Asha’irah-Maturidiyyah terbina dari kesinambungan kesarjanaan tokoh-tokoh seperti Imam-Imam Asha’ari, Baghdadi, Baqillani, Juwayni, Ghazali, Razi, Nasafi, Shahrastani, Taftazani, Iji, Jurjani, Sanusi dan ramai lagi yang tidak putus-putus hampir 1000 tahun. Untuk tempoh 1000 tahun ini tradisi Asha’irah-Maturidiyyah telah menampilkan penjelasan yang rasional dan sistematik mengenai akidah dan pemikiran Islam sehingga ianya diterima oleh hampir 90% dari umat Islam diseluruh dunia.

Cuma pada abad ke 20, tradisi Asha’irah-Maturidiyyah ini mula disaingi oleh aliran akidah dan pemikiran baru sama ada dari kelompok modenis-reformis atau pun salafiyyah-wahhabiyyah yang menganggap tradisi Asha’irah-Maturidiyyah ini sebagai bida’ah lagi menyesatkan kerana kononnya menggunakan akal, logik dan falsafah Yunani dalam penghuraiannya.

Kedangkalan modenis-reformis dan salafiyyah-wahhabiyyah dalam menanggapi keperluan mengungkapkan akidah dan pemikiran Islam secara rasional, analitikal dan sistematik dalam menyahut cabaran kepelbagaian kekeliruan dan kecelaruan akidah dan pemikiran akhirnya menjadikan umat Islam menjauhi peranan akal, logik dan kaedah analisis (burhan) dalam memahami agama Islam.

Akibatnya umat Islam mudah terjebak kepada pendekatan emosi, retorik dan populis berbanding dengan pendekatan rasional, logik dan sistematik dalam penghujahan beragama mereka. Hilangnya daya rasionalisasi, analisis dan sistemisasi akhirnya menyebabkan umat menjadi simplistik dan mudah mencari jalan-jalan potong atau “instant” dalam kehidupan beragama mereka. Ini termasuklah golongan ekstremis dan teroris yang mengambil potongan-potongan ayat al-Qur’an bagi menjustifikasikan keganasan mereka.

Sudah tiba masanya bagi umat Islam untuk merujuk kembali kepada pendekatan tradisi akidah dan pemikiran Asha’irah-Maturidiyyah dengan segala pembaharuan dan penambahbaikannya bagi menghadapi cabaran dan ancaman akidah dan pemikiran yang sedang mereka hadapi ketika ini.

Memandangkan cabaran dan ancaman akidah dan pemikiran ini terbit dalam bentuk yang hampir sama jika tidak sama seoenuhnya maka para sarjana akidah dan pemikiran Islam hanya akan membuang masa sekiranya mereka ingin “re-invent the wheel” atau mencari pendekatan lain bagi memecahkan kekeliruan dan kecelaruan akidah dan pemikiran Islam semasa.

Malah agak sukar untuk dibayangkan sebuah disiplin ilmu baru akidah dan pemikiran Islam yang boleh menandingi kedalaman, keluasan serta kepelbagaian hujah yang telah diberikan oleh para sarjana Ilmu Kalam dalam membetulkan kekeliruan dan kecelaruan akidah dan pemikiran umat sejak 1000 tahun yang lalu.

Justeru bila kita mendapati abad ke 20 adalah abad yang mana serangan terhadap akidah dan pemikiran Islam adalah paling dahsyat, ianya juga seiring dengan peminggiran dan penolakan terhadap tradisi Asha’irah-Maturidiyyah oleh kepentingan-kepentingan tertentu.

Kembali kepada kefahaman dan penghayatan akidah dan pemikiran tradisi Asha’irah-Maturidiyyah dengan segala pembaharuan dan penambahbaikan boleh menjadi langkah paling munasabah dan bijaksana bagi pengukuhan akidah dan pemikiran umat Islam di abad ke 21 ini sebagai naratif dan alternatif baru menggantikan akidah dan pemikiran modenis-reformis dan salafiyyah-wahhabiyyah yang menemui kegagalan di abad ke 20 yang baru berlalu.

*Dr Amran Muhammad (ISSI)*

Source

Download PDF

Sharing is caring

Comments

comments