Sharing is caring

*Mengembalikan Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah Dalam Menangani Kemunculan Kelompok Dan Fenomena Anti-Tradisi, Anti-Otoriti dan Anti-Intelektual Semasa*

(NARATIF NUSANTARA SIRI 19)

Dr Amran Muhammad

Kemunculan kelompok dan fenomena beragama Pascamodenisme dikalangan sebahagian kecil tetapi menjolok umat Islam semasa dimanifestasikan dengan sikap penolakan mereka terhadap peranan tradisi, otoriti dan rasionaliti dalam memahami dan menghayati agama Islam. Kekecewaan terhadap situasi politik, sosial dan ekonomi dunia umat Islam, kekaguman terhadap kebebasan berfikir dan kemajuan material di Barat, dan kejahilan terhadap tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam menjadi faktor utama yang menyebabkan penolakan mereka terhadap tradisi, otoriti dan rasionaliti beragama dalam Islam yang telah wujud sejak lebih 1000 tahun yang lalu. Atas nama Tajdid atau Pembaharuan, Islah atau Pembaikan, Reformasi dan seumpamanya, kelompok Pascamoden beragama ini menyangka pendekatan mereka bakal membawa perubahan, kemajuan serta mengeluarkan umat Islam dari belenggu kejumudan dan kemunduran.

Sesuai dengan aspirasi Pascamodenisme yang menolak segala bentuk Jalan Cerita Besar/Utama atau Grand Naratif atau Metanaratif atau Meganaratif yang memandu halatuju pemikiran dan pergerakan individu dan masyarakat dalam menjalani kehidupan beragama, kelompok agamawan juga ulama Pascamoden lebih berminat mencuba-cuba dan membina naratif-naratif kecil kefahaman dan penghayatan Islam yang sengaja dikeluarkan dari Metanaratif arusperdana Islam khususnya Ahli Sunnah wal Jamaah. Dalam banyak hal kelompok Pascamoden beragama ini lebih meraikan pendekatan agama yang mencetuskan polemik, percanggahan dan pertentangan bukannya resolusi, kesalingan dan penyelesaian yang lazimnya berlaku dalam Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pelbagai tradisinya terutama tradisi pokok akidah, fekah dan akhlak.

Berdepan dengan kecenderungan beragama Pascamodenisme kontemporari yang menawarkan naratif-naratif Islam yang terpisah-pisah (misalnya naratif hadis, naratif fekah, naratif salafi, naratif sufi, naratif politik, naratif motivasi malah naratif neo-muktazilah) dari keaslian sifat dan tabiat menyeluruh lagi bersepadu Metanaratif Islam – Iman-Islam-Ihsan, maka sangat perlu untuk dikembalikan Metanaratif komprehensif lagi holistik arusperdana Islam yang telah dibentuk dan dikembangkan oleh Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak sekian lama dan terbukti menghasilkan pencapaian keilmuan, kerohanian dan ketamadunan yang tinggi bagi umat manusia. Sekurang-kurangnya Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan kesepaduan Iman-Islam-Ihsan ini dapat menampung kelompongan atau kekurangan yang sering timbul dalam naratif-naratif juzuk atau pecahan kefahaman dan penghayatan Islam ini.

Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berdasarkan kepada Hadis Jibril yang mashur menggabungkan sekaligus kesemua pokok-pokok ajaran Islam iaitu Iman-Islam-Ihsan yang kemudiannya dikembangkan oleh ribuan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam disiplin keilmuan khusus Usuluddin atau Ilmu kalam, Fekah dan Usul-Fekah, Tasawuf dan Tarikat merupakan formulasi Metanaratif Islam yang berstruktur lagi sistematik dan akhirnya menghasilkan kesinambungan tradisi, kewibawaan otoriti serta kehalusan rasionaliti yang sehingga kini tidak mampu ditandingi apatahlagi ditukarganti dengan naratif-naratif serpihan dan picisan yang diwar-warkan oleh para penggerak tajdid dan islah sejak 100-200 tahun yang lepas.

Setelah sekian lama umat diperdengarkan dengan teriakan tajdid dan islah melalui naratif-naratif kecilan dan runcitan yang tidak nampak-nampak perubahan dan kemajuan pemikiran dan pergerakan umat dek kerana sempitnya cakupan dan terhadnya rujukan gagasan dan wawasan naratif tersebut, maka sudah sampai masanya umat Islam, para umara’ dan ulama’ merendahkan diri untuk belajar menggali sekaligus mengembalikan Metanaratif seni-binaan struktur dan sistem agama Islam ini khususnya Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah yang selama ini ditinggalkan, dipinggirkan malah diperlekehkan oleh kelompok tajdid dan islah Pascamoden beragama ini.

Seruan mengembalikan Metanaratif Arkitektonik Ahli Sunnah Wal Jamaah ini bukanlah bermaksud kita sekadar bernostalgia atau beretorik tetapi melihatkan kepada kegagalan naratif-naratif percubaan sebelum ini dan kekeliruan umat yang bakal mendatangkan kebosanan terhadap sifat, tabiat dan hakikat beragama (fenomena skeptisme, atheisme, hedonism dan lain-lain yang sedang meningkat dikalangan umat), maka usaha-usaha terancang dan tersusun kearah penjelasan malah penambahbaikan Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah sesuai bagi Abad ke 21 perlu dimulakan dari sekarang. Apatah lagi dunia global masakini yang semakin hari semakin berleluasa fenomena radikalisme, ekstremisme, terorisme, rasisme, anarkisme dan atheism mendambakan satu formulasi agama yang komprehensif dan holistik dalam menangani isme-isme ini.

Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah dari dimensi IMAN meliputi pemahaman akidah, usuluddin atau ilmu Kalam sewajarnya bersumber dari tradisi, otoriti dan rasionalisasi Imam Ash’ari, Imam Maturidi, Imam Baqillani, Imam Juwayni gurunya Imam Ghazali, Imam Razi, Imam Sanusi dan ramai lagi Imam-Imam Asha’irah-Maturidiyyah yang sehingga kehari ini ajaran akidah mereka dianuti lebih 80% umat Islam diseluruh dunia.

Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah dari dimensi ISLAM yang berhubungan dengan perlaksanaan ibadat dan mumalat semestinya bersumberkan dari tradisi, otoriti dan rasionalisasi Imam Syafie’, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad juga Imam Juwayni, juga Imam Ghazali dan ramai lagi Imam-Imam Fekah dan Usul-Fekah Mazhab yang empat yang juga melibatkan lebih 80% umat Islam global.

Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah dari dimensi IHSAN yang berkaitan dengan penyucian hati dan peningkatan akhlak yang mulia sudah tentu bersumberkan dari tradisi, otoriti dan rasionalisasi Imam Junayd dan guru beliau Imam Muhasibi yang diikuti oleh Imam Talib al-Makki juga Imam Ghazali, Imam Syazili, Imam Ibn Ataillah Sakandari, Imam Abu Madyan, Imam Ibnu Arabi, Imam Rabbani serta ramai lagi Imam-Imam muktabar dalam aliran tasawuf dan tariqah termasuklah Imam Abdul Samad Palembani di Nusantara ini.

Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah ini jika menurut Hadis Gibril tersebut juga perlu memasukkan dimensi AKHIR ZAMAN sebagai penjelasan dan pencirian terhadap sifat, tabiat dan hakikat Islam dalam menghadapi fenomena dan tanda-tanda Akhir Zaman sama ada dalam menghadapi cabaran luaran dari Pemikiran dan Peradaban Barat, atau cabaran Dajjal dalam pelbagai manifestasinya malah cabaran dalaman dari hawa nafsu dan godaan syaitan dalam menyesat atau melalaikan visi dan misi keagamaan umat Islam ketika ini.

Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah ini yang merangkumi pokok-pokok ajaran Islam iaitu IMAN-ISLAM-IHSAN-AKHIR ZAMAN yang difahami dan dijelaskan oleh ribuan ulama’ dalam tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah ini tentu sahaja lebih lengkap, berwibawa dan dirasionalisasikan secara sistematik dan berstruktur sehingga terbina darinya disiplin-disipin ilmu yang berkembang serta boleh terus dikembangkan sehingga kehari ini oleh para ulama’ semasa. Inilah yang dimaksudkan dengan Metanaratif yang berakar-umbi dari tradisi yang panjang lagi sahih, memiliki kewibawaan berdasarkan otoriti ilmu dan amal berdasar tradisi Islam serta dibina dari asas-asas ontologi, epsitemologi dan aksiologi yang jelas yang tidak wujud dalam naratif-naratif Islam yang baru-baru dan dalam percubaan ini.

Para ulama’, umara’ dan umat Islam mestilah disedarkan gejala anti-tradisi, anti-otoriti dan anti-intelektual yang dicetuskan oleh naratif-naratif Islam semasa meskipun atas niat dan hasrat murni Tajdid dan Islah tidak berupaya menghadapi realiti Islam sebagai sebuah Agama Peradaban yang kompleks yang telah muncul dan berkembang lebih 1000 tahun yang lalu dengan segala kekayaan keilmuan, kerohanian dan ketamadunannya. Dengan sekadar berbekalkan perkakasan mudah lagi simplistik tidak mungkin naratif-naratif tajdid dan islah semasa boleh menggarap kecanggihan perisian keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam tanpa dilengkapi dengan perkakasan aras tinggi Metanaratif Ahli Sunnah Wal Jamaah.

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*

Source


Sharing is caring

Comments

comments