DIALOG SEKOLAH KALAM SIRI 1 Muqqaddimah Dr. Amran Salam teman-teman dan pelajar…

Sharing is caring

DIALOG SEKOLAH KALAM SIRI 1

Muqqaddimah Dr. Amran
Salam teman-teman dan pelajar Sekolah Kalam ISSI, memandangkan kehadiran yang agak ramai, saya tidak berpeluang mendapat maklumbalas atau persoalan berhubung kuliah saya daripada semua pelajar. Hal ini sangat penting untuk saya mengetahui sejauh mana saudara-saudari memahami atau tidak penyampaian saya.
Justeru, saya mencadangkan supaya saudara-saudari mengemukakan persoalan atau kemusykilan dalam group ini atau pm kepada saya. Sebahagian soalan-soalan mungkin saya rangkumkan jawapannya dan jika ada persoalan yang tidak dapat saya jawab, saya mempersilakan sahabat-sahabat para pensyarah yang mahir dalam isu berkenaan untuk menjawabnya.
Pendekatan soal-jawab ini memang sebahagian daripada tradisi Kalam kita bagi menghilangkan segala syubhah (keraguan) yang timbul di benak pemikiran. Kalam itu sebagai wacana, discourse atau artikulasi burhani dengan dalil (bukti) aqli, naqli dan inderawi tentang ‘Risalah Keimanan’ kita bagi menghapuskan syak wasangka.
Para asatizah juga dijemput sama kerana Zeitgeist (Semangat Zaman) yang berbeza memerlukan mereka untuk mengungkapkan aqidah dan pemikiran Islam dengan Kalam Baru yang tetap berakar dari Kalam Klasik.

SOALAN: Mengapakah Revolusi Perindustrian tidak berlaku dalam dunia Islam?

Dr. Amran: Saya percaya terdapatnya ‘Knowledge of the Day’ atau ‘Paradigmatic Knowledge’ yang diperlukan bagi menjayakan Revolusi Perindustrian yang tidak dimiliki atau dikuasai oleh Umat Islam.

Peserta: Isu ini ada dibincangkan secara umum dalam buku Why Nations Fail (Daron Acemoglu & James Robinson) tanpa memfokuskan kepada dunia Islam.

Peserta: Kesan buruk Revolusi Perindustrian ada disebut dalam artikel ‘Pollution Kills More People than Anything Else’ yang ditulis James Conca.

Peserta: Melihat kesan buruk sahaja tanpa mengambil kira kesan positif merupakan satu penilaian yang bias. Impak-impak buruk seperti pencemaran dan consumerism inilah yang ditentang oleh sosialis dan ahli agama yang orthodox.

SOALAN: Mengapakah Revolusi Perindustrian bermula di Britain dan tidak di tempat lain di Eropah?

Peserta: Daron Acemoglu & James Robinson menyebutkan dalam Why Nations Fail bahawa antara semua negara dalam tempoh abad ke-17 hingga ke-18, hanya Britain yang mempunyai suasana sosial dan politik yang kondusif untuk penumbuhan aktiviti-aktiviti industri berskala besar. Boleh juga dipertikaikan sama ada ‘teknologi yang membawa revolusi’ atau ‘revolusi yang membawa teknologi’? Selain itu, adakah perubahan landskap sosial di Britain yang membawa kepada kebangkitan kemajuan sains dan teknologi atau sebaliknya?
Britain yang juga kuasa ekonomi besar pada zaman itu mempunyai power base yang besar dan sumber yang banyak untuk libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemajuan dan pembangunan manakala tamadun Islam (dan sebahagian besar dunia ketika itu) masih tersangkut dalam kemunduran serta dihalang oleh penjajahan Eropah yang bersifat opresif dan ekstraktif.
Dua pengarang itu mengusulkan kewujudan dua bentuk pentadbiran sosial masyarakat, sama ada inklusif atau ekstraktif. Masyarakat yang inklusif lebih mudah menerima kemajuan berbanding masyarakat ekstraktif. Oleh sebab itu, Austria-Hungary dan Rusia agak lambat maju berbanding Eropah Barat yang mengalami revolusi politik kesan siri peperangan Napoleon Bonaparte. Begitu juga, tamadun Islam lambat maju kerana sistem Khilafah dan pemerintahan di Iran bersifat opresif, sedangkan dunia Islam lain dijajah oleh Barat.
Jared Diamond pula dalam Guns, Germs and Steel, menyebut aspek geografi dalam isu kemajuan sesuatu bangsa dan membesarkan skop persoalan tadi kepada ‘Mengapakah ada benua yang lebih maju berbanding benua lain?’ Menurut pembentangannya, benua Eropah mempunyai kelebihan strategik yang membolehkannya menjadi kuasa dunia meskipun lambat.
Saya juga ingin mempersoalkan, adakah falsafah yang memajukan sesuatu masyarakat dari aspek teknologi atau adakah falsafah itu hanya satu by-product dan sekadar contributing factor dalam kemajuan? Kalau dilihat sejarah dunia, kebolehan untuk berfalsafah dan berteknologi hanya muncul dalam tamadun yang stabil dari segi ekonomi dan politik.

SOALAN: Barat berkembang maju melalui logik Yunani sehingga berjaya mencapai Revolusi Perindustrian dengan terlumpuhnya pengaruh Agama Kristian. Mengapakah Islam yang melalui beberapa zaman Khilafah (Golden Age) mengalami kejatuhan, sedangkan menurut Dr. Amran falsafah tidak mati dalam dunia Islam Sunni?

Dr. Amran: Revolusi Perindustrian abad ke-18 terbit dari Revolusi Sains abad ke-15/16 sebagai penolakan terhadap Sains Aristotle terutamanya setelah Teori Revolusi Heliosentrik Nicolaus Copernicus menggantikan Teori Geosentrik Aristotle. Galileo Galilei, Roger Bacon, Francis Bacon dan Isaac Newton antara pelopor-pelopor sains baru yang Bukan Aristotle (Non-Aristotelian). Metod-metod eksperimentasi dan intervensi Sains Moden bertentangan dengan abstraksi dan observasi Sains Aristotle. Saya berpendapat bahawa Sains Aristotle yang dimiliki dan dikuasai ilmuwan Islam ketika itu dalam banyak hal sudah hilang keupayaannya untuk menanggapi perubahan baru dunia ilmu pengetahuan di Barat yang telah membina alternatif kegiatan ilmu yang baru yang disebut Francis Bacon sebagai ‘New Organon’ menggantikan Organan lama Aristotle.
Peserta: Saintis-Filosof maju berkembang dalam Islam apabila Khalifah cenderung menyokong dan menjadi patron kepada perkembangan ilmu yang dikatakan ilmu sekular itu. Tetapi, berlaku kejatuhan kerajaan Islam dan kehilangan saintis-filosof kerana wujudnya korupsi dan alasan kononnya ingin kembali menghidupkan ilmu agama. Jelas bahawa dunia Islam jatuh selepas menuju kemuncaknya. Saya tidak percaya dunia Islam maju dengan pemahaman agama yang orthodox dan orthodox yang saya maksudkan bukanlah dalam ertikata jumud atau salafi. Idea Islamic Golden Age itu sendiri sedang dipertikai. Ramai yang mengkritik idea ini.

Peserta: Sekitar abad ke-18 hingga ke-19, Umat Islam berpecah kepada tiga kuasa besar, Uthmaniyah, Safawi dan Mughal yang saling bermusuhan. Permusuhan Safawi-Uthmani menjadi punca terputusnya jalan ilmiah Umat Islam antara timur dan barat, maka ilmu Islam di India terputus dari Timur Tengah. Setelah Battle of Vienna 1683 (Kekalahan Uthmani), boleh dikatakan seluruh Umat Islam berada dalam mod defensif yang barangkali menjadi pemangkin kepada gerakan fundamentalisme yang muncul sekitar zaman itu. Umpama haiwan yang tersepit, akan mula bertindak liar. Revolusi tercetus di Eropah kerana mereka berada dalam mod ofensif dan menjajah. Sains pun makin tampak peranannya dalam mendominasi dunia.

Peserta: Pemerintah menjadi patron kepada ahli sains ketika mempunyai dana yang banyak. Apabila pusat perdagangan di negara-negara Islam mulai layu, sumber kewangan berkurangan. Maka, pembiayaan untuk aktiviti sains beransur-ansur hilang. Situasi ini diburukkan lagi dengan peperangan di antara pemerintah-pemerintah Islam. Ini antara sebab-sebab yang dikemukakan George Saliba.

Peserta: Dalam hal ini, bagi saya kurang tepat. Pada zaman Umayyah, perang pemberontakan lebih banyak berlaku. Begitu juga pada zaman Abbasiyah yang mana perang pemberontakan tetap galak berlaku, tetapi ia tidak mematikan semangat ilmu ketika itu.

Dr. Amran: Pelbagai faktor (multi-factors) politik, ekonomi, sosial, geo-politik yang menyebabkan kemerosotan peradaban Islam ini kita nyatakan sebagai faktor-faktor luaran. Faktor ketandusan failasuf-saintis dalam dunia Islam yang merupakan faktor epistemologi perkembangan sains ini kita nyatakan sebagai faktor dalaman. Kedua-dua faktor luaran dan dalaman ini saling berkait dalam mencari punca kemerosotan ilmu dan peradaban Islam. Saya bersetuju bahawa apabila pemerintah tidak serius dengan ilmu, agama akan dipergunakan untuk kepentingan kuasa dan korupsi akan berleluasa dan seterusnya, ilmu dan peradaban akan merosot dalam sesebuah masyarakat. Bagaimanapun, dalam konteks Revolusi Sains dan Revolusi Perindustrian, dunia Islam yang sekadar berbekalkan paradigma sains Aristotle sedia ada yang dikatakan sekular itu serta dinaungi Khalifah pun tidak mampu mencetuskan revolusi seperti di Barat.

SOALAN: Jika Barat menjadi maju dengan menolak metod Logik Falsafah Aristotle (Logik Burhani), adakah Umat Islam mundur kerana masih menggunakan Logik Burhani?

Dr. Amran: Falsafah atau Sains Aristotle dan Logik (Mantiq) Aristotle merupakan dua perkara berbeza. Barat menolak Falsafah dan Sains Aristotle tetapi terus menerima Logik Aristotle sehingga abad ke-19 dengan munculnya Logik Simbolik. Saya berpandangan bahawa kebanyakan Ahli Falsafah/Kalam Muslimin jelas menjadikan Ilmu Mantiq sebagai ilmu alat dan bukan sebahagian dari falsafah dan semestinya terdapat penambahbaikan terhadap Logik Aristotle, tetapi terasnya masih sama seperti yang terdapat dalam Posterior Analytics Aristotle misalnya.

Peserta: Jika saya tidak silap, dalam buku Islamic Science and The Making of the European Renaissance, George Saliba ada membincangkan faktor kemunduran sains dan teknologi Islam, antaranya penemuan ‘new trade routes’ oleh Barat yang menyebabkan kemunduran ekonomi Islam sepanjang ‘silk road’dan begitu juga penciptaan mesin.

Peserta : Terdapat satu framing effect jika mengaitkan Revolusi Perindustrian dengan falsafah, sedangkan masih agak samar mana yang dahulu antara kemajuan dan falsafah. Yuval Noah Harari dalam Sapiens ada menyebut tentang ‘perkaitan kompleks Sains-Tentera-Industri’.
Peserta: Jika kita boleh katakan dan bersetuju bahawa Revolusi Perindustrian tiada kaitan dengan falsafah, atau bahawa hubungan antara kemajuan dengan falsafah agak samar, seperti itu jugalah tiada kaitan antara agama dan kemajuan atau teknologi. Agama adalah agama. Kalam adalah kalam. Saya skeptikal bahawa ilmu kalam adalah asas untuk maju sebagai sebuah tamadun. Bagi saya agama, kalam, teknologi dan tamadun semuanya hal-hal berbeza yang kadang-kala bersangkutan dan kadang-kala tidak. Berkaitan sumbangan Rene Descartes dalam era Enlightenment, mereka maju dengan sekularisme dan meletakkan Injil ke tepi.

Peserta: Secularisme sememangnya lebih maju daripada Injil yang palsu. Tetapi Al-Quran dan agama Allah yang suci bersih lebih sempurna dan jauh lebih hebat dari secularisme.

Peserta: Tidak patut dikatakan Al-Quran lebih hebat dari sekularisme dan tidak layak diperbandingkan begitu kerana ia adalah Ad-Din. Mengasingkan agama dengan kehidupan manusia adalah bertentangan dengan kehendak Al-Quran. Biar tiada Revolusi Perindustrian atau kemajuan kebendaan sekali pun, yang penting Ad-Din itu wajib diperjuangkan dalam setiap genap kehidupan.

Peserta: Tidak patut dibanding-bandingkan wahyu dengan fahaman manusiawi. Saya hairan dengan aqidah mereka yang mempunyai fahaman yang merasakan kemajuan itu di dalam kebendaan.

Peserta: Bagi mendapatkan pemetaan pemikiran yang jelas, perkaitan agama dengan sains dan teknologi perlu dijelaskan hubungannya, khususnya pada aspek apakah agama tidak boleh dipisahkan dari sains dan teknologi. Hal ini dibicangkan ramai scholar, termasuk Hossein Nasr, Alparslan Acikgenc, Muhammad Naquib Al-Attas dan Osman Bakar. Peranan kalam dalam membangun peradaban serta penekanan terhadap sifat Islam sebagai agama kosmopolitan sangat berkait dengan kefahaman terhadap ‘faham tamadun, ilmu dan agama’. Sebaiknya kita memahami apa sebenarnya peradaban dalam kaca mata Islam dan apakah civilization orang Barat (terutamanya). Sememangnya tamadun Islam mengalami kemunduran dan aras tanda masa ini serta faktornya masih diperdebatkan.
Terdapat ciri-ciri peradaban yang mengandungi aspek-aspek masyarakat, negara, kota, institusi-institusi, undang-undang, pendidikan, kemajuan sains dan teknologi dan sebagainya. Namun, perbezaan antara Islam dan Barat tidak terikat hanya kepada fakta dan peristiwa sejarah, tetapi juga falsafah dan gagasan yang dibawa bersama. Apakah gagasan Al-Quran dan ‘falsafah peradaban’ dalam Islam? Apakah ciri-ciri peradaban yang dikehendaki Tuhan dan bukan dakwaan orang-orang agama (kalau dilihat konteks agama gereja abad pertengahan)?

SOALAN: Tepatkah untuk menyatakan bahawa ahli Sains Barat yang memperkenalkan ‘experimental methods’? Bagaimana kaedah eksperimen pula di Cina dan di India?

Dr. Amran: Memang benar Ibn Haytham, Al-Biruni dan ramai lagi saintis Islam sudah melakukan eksperimen tetapi saya menyentuh tentang keperluan paradigma ilmu yang memungkinkan sains baru tercetus. Secara umumnya, Sains Islam ketika itu masih berada dalam paradigma Fizik Aristotle, Astronomi Ptolemy dan Geometri Euclid yang kesemuanya ditolak pada zaman Revolusi Sains dan seterusnya Revolusi Perindustrian.

Peserta: Experimental methods sememangnya tidak diperkenalkan oleh Barat, tetapi final form yang menjadi panduan utama masyarakat sains telah disempurnakan oleh mereka.

Peserta: Bukan orang Barat yang memperkenalkan ‘experimental methods’, dan bukan juga orang Islam yang memperkenalkannya kerana semuanya saling bersentuhan. Tanpa Timur, tiada Barat. Tanpa Barat, tiada Timur.

Dr. Amran: Seperti juga ilmu logik, jika disebut bahawa logik itu universal dan semua manusia memiliki kaedah berfikir, namun yang telah menyempurnakannya atau yang menjadikannnya sebagai disiplin ilmu pengetahuan adalah Aristotle, bukan orang Islam.

SOALAN: Bolehkah dikatakan Aristotle menggunakan kaedah deduktif manakala kaedah sains moden lebih bersifat induktif?

Peserta: Sains itu induktif dan deduktif. Kaedah yang lebih dominan perlu dilihat pada zaman.

SOALAN: Adakah Barat sebenarnya maju dengan segala keruntuhan terhadap rukun kehidupan?

Dr. Amran: Jelas bahawa peradaban dan ilmu Barat yang menguasai dunia hari ini. Umat Islam pula berada pada tahap peradaban dan keilmuan yang tidak boleh kita banggakan.

SOALAN: Benarkah penulisan kitab Ar-Risalah Imam Syafie tidak berpandukan mana-mana metod logik Aristotle?

Dr. Amran: Setahu saya, tiada sarjana yang mengaitkan antara Al-Risalah Imam Syafie dan Logik Aristotle. Sebaliknya Imam Ghazali yang memperkenalkan logik dalam Usul Fiqh. Boleh rujuk tesis Dr. Fauzi Hamat (Universiti Malaya) untuk melihat peranan Al-Ghazali memasukkan logik dalam Usul Fiqh kitab Al-Mustasyfa beliau.

Penutup Sesi (Dr. Amran)

Perbincangan-perbincangan ini sangat penting dan menarik, sesuai dengan matlamat dibuka Sekolah Kalam. Saya berpendapat kita perlu terus bersikap terbuka, berhemah dan berhikmah dalam ber‘kalam’. Saya sangat berbesar hati mendapat pelajar-pelajar yang kritikal tentang Ilmu Kalam dan tradisi Islam secara umumnya. Saya menganggap perbincangan seperti ini penting bagi menentukan sama ada Projek ‘Tajdid Kalam / Kalam Jadid’ ini viable, relevan dan kompetetif untuk abad ke-21 ini. Saya juga mengharapkan para pelajar Sekolah Kalam sentiasa berlapang dada dan bersabar mendengar, meniliti dan mengemukakan hujah masing-masing. InSyaAllah kita semua akan diberkati dan dirahmati Allah dalam ‘jihad ilmiyyah’ kita ini.



Source


Sharing is caring

Comments

comments