ANTARA ENAM KEBERSAMAAN DAKWAH DAN IDEOLOGI NARATIF MODENIS DAN NARATIF SALAFI A…

Sharing is caring

ANTARA ENAM KEBERSAMAAN DAKWAH DAN IDEOLOGI NARATIF MODENIS DAN NARATIF SALAFI ABAD KE 20

(NARATIF NUSANTARA SIRI 22a)

Dr Amran Muhammad

Memahami logik pemurnian Islam, kembali kepada sumber asli Qur’an dan Sunnah dan Zaman Salaf formulasi Naratif Modenis dan Naratif Salafi

1. Penolakan terhadap akidah Asha’irah dan Maturidiyyah
2. Penolakan terhadap fekah bermazhab yang empat
3. Penolakan terhadap tasawwuf dan tarekat
4. Penolakan terhadap tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam
5. Penolakan terhadap tradisi dan otoriti agama
6. Penolakan terhadap Syama’il dan Mahabbah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian Muslim

Jika kebersamaan silsilah dan geneologi Naratif Modenis dan Naratif Salafi menunjukkan betapa evolusi, mutasi malah hibridisasi kedua-dua naratif ini adalah cetusan fenomena setempat dunia Arab diawal abad ke 20, kebersamaan dakwah dan ideologi Naratif Modenis dan Naratif Salafi pula akan menjelaskan bagaimana kedua-dua naratif ini dalam banyak hal berkongsi bentuk, kandungan dan halatuju pemikiran mengenai tajdid dan islah. Dalam konteks ini untuk ke sekian kalinya, Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, Pemberontakan Umat Arab, Kemuncak Rasionalisme Sains dan Budaya Barat Moden, Penjajahan Kuasa Barat, Kemunduran politik, ekonomi dan sosial umat serta Keinginan untuk kembali kepada jatidiri dan kemurniaan Islam merupakan faktor-faktor utama yang melatari pembentukan dan kebangkitan dakwah dan ideologi kedua-dua naratif ini.

Sepertimana silsilah dan geneologi Naratif Modenis dan Naratif Salafi mengalami evolusi, mutasi dan hibridisasi bergantung kepada pengaruh setempat dan aktivisme tokoh-tokoh penggeraknya, dakwah dan ideologi Naratif Modenis dan Naratif Salafi juga memanifestasikan variasi atau kepelbagaian sikap, pegangan, pendirian dan keyakinan mereka terhadap pokok-pokok agama Islam tertakluk kepada ketokohan dan keilmuan nara sumber atau sumber rujukan mereka. Kewujudan variasi juga spesiasi pegangan Naratif Modenis dan Naratif Salafi yang mungkin kelihatan bertentangan antara satu sama lain bagaimanapun jika ditelusuri dengan teliti tetap akan menjelmakan kebersamaan pada satu spektrum dan genesis yang sama.

ENAM kebersamaan dakwah dan ideologi Naratif Modenis dan Naratif Salafi yang cuba dikemukakan dalam tulisan ini merupakan contoh-contoh klasik lagi ma’ruf atau maklum bagi mereka yang melazimi atau berpengalaman dengan khazanah dan tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terhasil dalam pemikiran dan peradaban Islam sejak hampir 1500 yang lalu. Malah ENAM kebersamaan ini merupakan penolakan atau penentangan sentral Naratif Modenis dan Naratif salafi terhadap Naratif Ahli Sunnah Wal Jamaah atas slogan “tajdid dan islah” bagi membuka pintu “ijtihad” dan membasmi “taqlid” dikalangan umat Islam. Hampir keseluruhan masa 100 tahun abad ke 20 dunia umat Islam bukan sahaja dimonopolikan dengan retorik dan polemik ENAM kebersamaan ini malah juga dimomokkan betapa ENAM kebersamaan inilah punca kemunduran dan kejatuhan dunia umat Islam justeru perlu dihindari atau dinyahkan dari diri peribadi umat Islam secara individu dan kolektif.

PERTAMA: Penolakan terhadap akidah Asha’irah dan Maturidiyyah. Akidah Asha’irah dan Maturidiyyah pada dasarnya adalah rasionalisasi dan sistemisasi nakliyyah/khabariyyah (Al-Quran dan Al-Sunnah/Hadith), aqliyyah (akal) juga hissiyah (inderawi) para ulama akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu Asha’irah dan Maturidiyyah terhadap Rukun Iman yang Enam bagi memudahkan umat Islam membina struktur pandangan alam mereka serta menghasilkan keyakinan mengenai hakikat-hakikat kewujudan yang wajib diimani oleh mereka secara mutlak tanpa keraguan. Oleh kerana Naratif Modenis dan Naratif Salafi menyangka projek kefahaman dan komitmen ontologi keimanan ini dicedok dari pemikiran Yunani serta berbentuk logik dan falsafah, kedua-dua naratif ini menolak dan menentang Akidah Asha’irah dan Maturidiyyah sebagai kufur dan syirik (bagi Naratif Salafi) dan tidak relevan dan ketinggalan zaman (bagi Naratif Modenis) selain dari kedua-dua Naratif menganggapnya sebagai rumit dan menyukarkan kefahaman umat. Akibatnya 100 tahun ini, muslim kehilangan daya kekuatan rasionalisasi dan sistemisasi keimanan serta tandus platform ontologi kehidupan mereka yang boleh dikembangkan kepelbagai dimensi kehidupan yang lain.

KEDUA: Penolakan terhadap fekah bermazhab yang empat. Amalan fekah ibadah dan muamalat berpandukan salah-satu dari empat Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali pada dasarnya juga adalah rasionalisasi dan sistemisasi malah lebih penting pendisiplinan kaedah dan kaifiyat beramal-ibadah-muamalah Rukun Islam yang Lima bagi umat Islam yang dikelilingi dengan kepelbagaian dapatan nas-nas hukum-hakam yang kadang-kala kelihatan bercanggahan antara satu sama lain. Melalui kekuatan dan kekayaan Ilmu Usul-Fekah, para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dikalangan ahli usul-fekah dan fekah memformulasi pendekatan terbaik dan munasabah bagi mempermudahkan penghayatan amal Islami umat secara konsisten dan koheren bergantung kepada Mazhab tertentu yang mereka ikuti. Oleh kerana Naratif Modenis dan Naratif Salafi menyangka kaedah dan kaifiyat fekah bermazhab ini menjerumuskan umat Islam kepada Lembah Taqlid buta dan berbahaya dalam kehidupan beragama, maka umat Islam mestilah keluar dari belenggu Taqlid Mazhab ini dan melaksanakan Ijitihad mereka sendiri. Justeru Naratif Modenis dan Naratif Salafi mencanangkan agar pintu Ijtihad dibuka kepada umat Islam dan bagi Naratif Salafi yang mendapati manhaj dan amalan-amalan dalam Mazhab yang berasaskan kepada pendekatan usul-fekah tertentu sebagai sesat dan bidaah kerana tidak terdapat dalam Al-Qur’an dan Al-Sunnah atau Hadis Sahih. Akibatnya kini umat Islam berlumba-lumba untuk menjadi ahli hadith dan berpolemik dalam menentukan ketepatan dan kesahihan amal-ibadah-muamalah mereka dan menganggap usul-fekah, Mazhab fekah dan taqlid sebagai tidak lagi relevan bagi mereka.

KETIGA: Penolakan terhadap tasawwuf dan tarekat. Berdasarkan Hadis Jibril yang terkenal yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai kedatangan Jibril mengajarkan agama Islam kepada umat Islam, para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah mengambil gabungan Iman-Islam-Ihsan sebagai binaan lengkap agama Islam melalui Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan sebagai juga Rukun penting bagi kesempurnaan agama dan ini terhasil melalui formulasi ruhaniyyah ahli tasawwuf dan tarekat dikalangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sekali lagi oleh kerana Naratif Modenis dan Naratif Salafi menyangka tradisi tasawwuf dan tarekat berasal dari Yunani, Kristian dan Hindu, kedua-dua Naratif ini menolak keperluan tasawwuf dan tarekat dalam dakwah dan ideologi tajdid dan islah mereka. Dalam konteks ini, Naratif Salafi terus menyesatkan tasawwuf dan tarekat ini sebagai amalan penyembah kubur dan malah mensyirikkan ahli tasawwuf dan tarekat. Akibatnya umat Islam hilang sumber rujukan keruhanian, pembersihan kejiwaan malah terapi psikologi yang telah menjadi bidang kecemerlangan tradisi tasawwuf dan tarekat dan terpaksa bergantung dengan tip-tip motivasi dan psikologi Barat yang rapuh dari sudut kejiwaan apatahlah lagi keagamaan mereka.

(Bahagian Akhir Bersambung Pada Siri 22b)
*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*



Source


Sharing is caring

Comments

comments