Participants - A Quest for Methodology Workshop 1

Sharing is caring

Download PDF

Ihya’ Ilm al-Kalam: Metode Penyelidikan Ilmu Kalam
Kalam Transdisciplinary Research – Workshop 1

Pada 3 Ogos 2016, Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI) telah menganjurkan sebuah bengkel sehari dari jam 9 pagi ke 5 petang di pejabat ISSI-KRM di Chancery Place, Putrajaya. Lebih kurang 30 orang pensyarah dan pengkaji dari Jabatan Usul al-Dīn, Jabatan Agama Islam dan Fakulti-fakulti lain seperti BioEtika, Psikologi dan Sains & Teknologi dari beberapa universiti tempatan dan juga Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah dijemput hadir. Antara universiti-universiti yang terlibat adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM). Ketua Eksekutif ISSI, Dr. Amran Muhammad memulakan program dengan memperkenalkan tujuan dan halatuju ISSI dalam menghadapi berbagai cabaran era ini, terutamanya ancaman pemikiran Liberalisma dan Salafi-Wahabi.

Pembentangan Dr. Amran Muhammad tersebut disambut baik dengan pelbagai komen, soalan, cadangan dari para peserta yang terdiri dari pakar bidang masing-masing, dan juga gabungan pelbagai bidang (multi-disciplinary). Mereka bersependapat bahawa pada peringkat tunas kebangkitan ilmu kalam (ihya’ ‘ilm al-kalam), dua kumpulan ulama perlu bekerjasama dalam menghasilkan kertas kerja dan juga pembentangan dan perkongsian dalam bidang masing-masing. Kumpulan pertama terdiri dari mutakallimūn, yakni pakar bidang Kalam atau falsafah analitik Islam yang aktif menghasilkan kertas kerja yang mendasari tajuk kalam tulen, contohnya persoalan sebab (causality), keberjadian (ontologi) dan perbincangan ketuhanan (ilahiyyat) atau ‘theology’ yang mempraktikkan istilah-istilah ulama tersohor zaman silam seperti Imam al-Ghazālī, Imam al-Bāqillanī, Fakhr al-Dīn al-Rāzī dan ramai lagi. Kita bertuah kerana dikalangan ilmuwan di rantau Asia Tenggara ini kini sudah ramai mutakallimūn yang boleh dirujuk ilmunya seperti Dr. Amran Muhammad, Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah, Dr. Aldilla Dato Isahak, Dr. Megawati Moris, Dr. Hamid Zarkasyi (Indonesia) dan yang lain-lain.

Bagi ahli-ahli akademik dalam cabang ilmu kontemporer, sebahagian peserta berpendapat bahawa mereka harus terus menggunakan istilah teknikal bidang mereka dan menyampaikan teori-teori tunjang bidang mereka mengikut kerangka dan metode penyelidikan moden. Ini adalah satu-satunya cara bagi mereka memindahkan pemahaman yang jitu berkenaan bidang mereka tersebut kepada rakan-rakan kerja dari bidang pengajian Islam amnya, dan bagi ahli-ahli kalam khususnya. Disuatu peringkat kelak, rakan-rakan ilmuwan bidang ilmu kontemporer pastinya dapat mendalami kerangka pemikiran bidang kalam mengikut dirangka madhhab Ash’ari-Matūrīdī sehinggalah ilmuwan-ilmuwan ini dapat membina penyelidikan mereka sendiri dengan menggunakan kerangka pemikiran yang sama seperti ulama-ulama zaman silam. Inilah yang akan membebaskan ilmuwan-ilmuwan Islam dari dikotomi ilmu yang membelenggu. Contohnya ketika perbincangan, ada peserta yang menyebut bahawa metode induktif (istiqrār) tidak dapat digunakan seiring dengan metode deduktif (istidlāl) dalam penyelidikan moden, sedangkan ianya perkara biasa dalam kerangka penyelidikan Islam yang diterajui oleh ahli kalam sejak abad ke-8 lagi, dan ianya berpaut rapat dengan pemahaman metafizika Islam.

Hakikatnya setiap bidang ilmu adalah kurniaan Maha Pencipta. Maka wahyu itu, al-Qur’an dan juga hadith Rasulullah adalah sumber ilmu yang paling utama. Pancaindera makhluk pula adalah sumber ilmu yang ternyata penting, malahan ianya dianggap yang terpenting sekali bagi golongan falsafah logical positivists, seperti yang dibincang disini. Sumber ilmu yang lain adalah penggunaan aqal dan ilham yang tercetus tanpa diduga, dimana kedua-dua sumber ini berkait rapat dengan pemahaman yang cenderung kearah metafizik. Disebabkan itu, beberapa peserta turut menyuarakan kepentingan metafizik sebagai asas pemahaman ilmu kalam. Walaupun, mereka tidak sebulat suara dalam semua aspek perbincangan, para peserta bengkel ini tetap bersatu dalam usaha menghasilkan kertas kerja yang bersandarkan ilmu kalam dalam lingkungan kemahiran masing-masing, yang diistilahkan sebagai kalam transdisciplinary hub. Ianya meliputi lingkungan Epistemologi dan pendidikan, Etika dan Hak Asasi Kemanusiaan, Ekologi dan Pembangunan yang stabil, Ekonomi dan Kesejahteraan Umum, Psikologi dan Kerohanian, Politik dan Pentadbiran Awam, Perbandingan Agama dan Dialog Antara-Agama. Buat masa ini, lingkungan (hub) Perbandingan Agama dan Dialog Antara-Agama akan diberi perhatian utama memandangkan hubungan kemasyarakatan yang semakin meruncing di tanahair dewasa ini. Kesemua kertas kerja hasil penulisan ilmuwan-ilmuwan ISSI akan diterbitkan didalam satu jurnal pilihan yang dilanggan di universiti-universiti tempatan. Judulnya akan diumumkan kemudian. ISSI mengalu-alukan sumbangan dana dan sokongan padu dari masyarakat, agar dapat menerbitkan jurnalnya sendiri tidak lama lagi. Walaubagaimanapun kertas-kertas kerja yang telah lengkap akan di paparkan di laman web ISSI yang boleh dipaut disini.

Download PDF

Sharing is caring

Comments

comments